BAB 10 : LAWAN PEDANG
Kereta besar berwarna hitam itu meluncur laju menyusuri jalan raya yang amat lengang itu. Di kiri dan kanan jalan hanya dipenuhi hutan belukar dengan kehijauan yang merimbun. Semakin lama mereka memandu ke depan, semakin tinggi kawasan yang mereka tuju itu dan kemudiaannya akan mencuram kembali. Ia seperti sedang balik ke kampung halaman yang berpuluh-puluh batu jauhnya.
Miezza memandu kereta itu dengan tenang sekali tanpa sebarang keluhan. Perjalanan mereka terasa amat jauh berbatu-batu dan amat memenatkan bila difikirkan. Sudah sebelas jam mereka memandu tanpa henti. Pada dua jam pertama, Aieyn yang memandu kereta itu kemudian digantikan oleh Farra yang memandu selama lima jam. Setelah itu, baru lah Miezza menggantikan tempatnya kerana risau memandang gadis berlesung pipit itu yang semakin lemah akibat mengantuk.
Miezza memandang cermin tengah itu sekali imbas untuk melihat orang-orang yang berada di dalam kereta itu sama ada masih hidup atau pun tidak. Aieyn dan Farra yang duduk di kerusi paling belakang sekali hanya merebahkan kepala di kerusi sambil memandang ke luar tingkap tidak bersuara. Lily dan Jyra yang duduk di kerusi tengah pula mengeliat baru bangun dari tidur yang lena sambil cuba memandang sekeliling. Rusdi yang duduk di sebelahnya hanya berdiam diri sambil memandang ke luar tingkap langsung tidak bersuara sejak mereka bertolak lagi. Lelaki itu langsung tidak tidur sepanjang perjalanan. Entah apa yang difikirkannya.
"Farra!"
Farra segera memandang Miezza dari belakang kerana gadis itu kini sedang memandu dan tidak dapat untuk melihat wajahnya. Dia hanya mampu memandang Farra melalui cermin tengah itu sahaja.
"Kenapa?"
"Ini ke tempatnya?" tanya Miezza serta-merta dengan dahi yang berkerut memandang sekeliling.
Farra segera mengalihkan pandangannya ke luar tingkap sambil membetulkan kedudukannya untuk melihat. Mendengar pertanyaan itu, yang lain juga turut melakukan hal yang sama. Miezza kini sudah memberhentikan keretanya di sebuah kawasan berumput hijau yang amat cantik dan luas.
Terdapat sebuah perkampungan kecil berada di hadapan mereka yang mana setiap inci tempat di situ diperbuat daripada kayu, papan dan juga daun nipah. Tempat itu sangat terpencil jauh daripada kota dan sukar untuk ke situ. Ia memerlukan masa berjam-jam untuk sampai ke tempat itu.
"Saya rasa ini lah kot." Farra menjawab dalam keadaan mengguman masih memandang sekeliling walaupun hakikatnya dia sendiri sebenarnya kurang pasti dengan jawapannya itu.
Satu-persatu mereka turun dari kereta itu sambil memandang sekeliling dalam keadaan bingung bagaimanapun udaranya amat nyaman sekali membuatkan mereka merasa amat tenang.
"Kita masih dalam negara kan?" Tanya Jyra tiba-tiba dengan dahi yang berkerut.
Tiada seorang pun yang menjawab soalan itu kerana masing-masing tidak tahu apa jawapan sebenarnya. Mereka hanya mampu mengikut peta yang mereka dapat daripada laman sesawang yang mereka jumpa sebelum ini.
"Ia nampak macam perkampungan orang asli." komen Lily sambil cuba menjenguk untuk melihat apa orang-orang di situ tengah buat.
Bentuk rumah mereka amat unik dengan rekaan tersendiri. Pakaian mereka juga sangat pelik dan agak ganjil bagi zaman moden seperti sekarang bagaimanapun ia kelihatan sedikit menarik. Aktiviti yang sedang mereka lakukan juga sangat jarang dilakukan di negara ini.
"Ah..." Aieyn menghirup udara di situ yang terasa amat segar sekali dengan senyuman lebar. "Udara seperti ini lah yang sangat baik untuk didiami."
Farra hanya menggelengkan kepalanya kerana gadis itu asyik membebel semasa mereka tinggal di kawasan sebelum ini yang asyik hujan tidak berhenti. Sekurang-kurangnya telinganya tidak perlu mendengar leteran memanjang dari gadis berambut perang itu dan mereka boleh tinggal dengan tenang.
YOU ARE READING
Huruf ✔
Fantasy"Buku ke-1 dalam TRIPLE H THE SERIES" #TheWattys2016 winner Ia mengisahkan mengenai satu kelompok yang kecil dengan gelaran HURUF (ALPHABET). Percaya atau tidak, mereka mempunyai kuasa ataupun keupayaan berdasarkan Huruf pada nama mereka. Ia b...