Secret I

2.7K 235 14
                                    

BAB : RAHSIA 


Sudah tiga hari berlalu, masih belum ada tanda-tanda orang yang mereka cari itu muncul semula. Tiada apa-apa perkara pelik yang berlaku menyebabkan misi pencarian mereka menjadi lebih panjang lagi. Mereka juga tidak dapat memastikan sama ada orang yang mereka cari itu adalah perempuan atau pun lelaki.

Farra dan Aieyn kini sudah muak dan menyampah berada di tempat itu. Jane pula masih lagi dengan rancangan jahatnya untuk mengenakan mereka. Gadis berambut perang itu hampir sahaja mengeluarkan kuasanya tetapi dihalang oleh Farra. Jika tidak, Jane pasti sudah menjadi debu. Sudah beberapa kali dia merancang untuk mengenakan Jane. Tapi semuanya tidak dapat dilaksanakan.

Hanya ada seorang yang berkelakuan aneh di mata mereka saat ini. Azim. Lelaki dengan rambut belah tepi dan berlesung pipit itu. Senyuman yang sentiasa terpapar pada wajahnya membuatkan orang sukar untuk melihat perangai anehnya. Dia sepertinya mula berminat dengan kisah hidup atau latar belakang kedua-dua gadis ini. Asyik bertanya perkara-perkara yang di luar jangkaan. Dia juga sudah tertangkap beberapa kali mengekori mereka. Tidak dapat diketahui apa motifnya.

Farra kini sedang duduk seorang diri di sebuah bangku di kawasan berumput itu. Dia memandang seketika jam ditangannya kemudian mengeluh perlahan. Aieyn yang sepatutnya berjumpa dengannya di situ masih belum muncul lagi. Menunggu adalah perkara yang paling tidak disukainya. Silapnya sendiri kerana tahu gadis berambut perang itu akan lambat tetapi dia tetap datang awal.

"Hai!"

Disapa secara mengejut seperti itu membuatkan Farra menoleh pantas sambil mendepakan tangan kanannya kepada pemilik suara itu. Kelihatan Azim sedang berdiri berdekatan agak terkejut dan sedikit tercengang sambil mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah Farra kini sedang mengacukan pistol ke arahnya. Dia mengangkat keningnya melihat gerak tangan gadis itu.

"Bertenanglah." Azim menurunkan semula tangannya setelah memastikan bahawa tiada apa-apa yang merbahaya ditangan Farra tanpa bertanya apa maksud gadis itu mengangkat tangannya seperti itu.

"Awak rupanya." Farra segera menurunkan tangannya sambil membuat riak wajah malu yang sebenarnya lebih kepada takut jika Azim bertanya soalan aneh lagi mengenai perkara itu.

"Ya." ujar Azim dengan senyuman sinis yang hanya dia sahaja tahu apa maknanya. "Saya."

"Lain kali jangan lah sergah saya macam tu!" bentak Farra cuba menyembunyikan riak curiganya. "Sapa lah dengan cara yang baik sikit."

"Saya ucap 'hai' pun tadi kan??" Azim cuba membela dirinya dengan riak wajah agak terkejut.

Farra hanya mampu mendengus tidak membalas.

"Tapi kan..." Azim melabuhkan punggung di sebelah gadis itu perlahan-lahan. "Kenapa awak halakan tangan awak pada saya macam tu?"

Farra menelan air liur hampir membesarkan matanya. Lelaki itu terlalu cepat menangkap apa sahaja tindakan asing mereka. Yang sebenarnya tidak dapat dijadikan benda serius pada orang normal.

"Maksud saya..." Azim sudah mula tersenyum sinis. "Tanpa ada apa-apa senjata pun. Kosong je. Lain lah kalau ada pistol tadi."

"Dah jadi kebiasaan." jawab Farra ringkas cuba mengekalkan riak wajah seperti tidak menyembunyikan apa-apa.

Azim tersengih sedikit. "Pelik juga kebiasaan awak ni."

Farra tidak membalas lagi. Dia sebenarnya tidak suka jika lelaki itu bersembang dengannya. Terlalu banyak soalan akan ditanya yang mana semuanya dia malas untuk menjawab. Dan yang paling penting, dia takut akan terlepas sesuatu yang membuatkan Azim lebih curiga.

Huruf ✔Where stories live. Discover now