BAB 2 : MISI
Jika disebut mengenai kuasa atau sebarang kebolehan istimewa, amat mustahil bagi manusia biasa untuk memilikinya. Ia ditafsirkan sebagai satu fantasi atau mitos semata-mata. Ianya adalah kuasa Tuhan. Tapi siapa sangka ada insan-insan yang terpilih untuk memilikinya? Jika disimpulkan melalui logik akal, ia adalah dongeng dan hanya satu imaginasi yang sangat mengarut. Tapi inilah kebenaran yang berlaku saat ini. Kuasa luar biasa mula memilih tuannya sendiri.
"Aieyn!" panggil anak kecil itu apabila terpandang seorang kanak-kanak perempuan sebaya dengannya dan mempunyai rambut perang semula jadi yang diikat satu sedang berdiri tercengang memandang ke arah sesuatu.
"Aieyn..." budak bertocang itu keluar dari semak dan merangkul kanak-kanak perempuan itu tadi.
Budak berambut perang itu tidak memberi sebarang balasan sebaliknya masih memandang ke arah sesuatu dengan mulut ternganga. Matanya sudah tidak dapat dikelipkan lagi.
"Aieyn, kita mesti pergi dari sini." pekik budak bersanggul itu dari dalam semak dalam keadaan hampir separuh berbisik.
"A... A... Ay... Ayah."
Mereka memandang ke arah seorang lelaki tua yang kini sudah terbaring di tanah dengan mata terbeliak dan tidak sedarkan diri. Badannya kelihatan basah kuyup seolah-olah ditimpa hujan. Seorang wanita berumur lebih kurang tiga puluh tahun ke atas berdiri di sebelah lelaki itu sambil merenung mereka tajam dengan pandangan yang mengerikan tidak ubah seperti nenek kebayan yang ternampak mangsanya.
"Aieyn..." budak bertocang itu kembali memandang kanak-kanak itu. "Kita mesti pergi!"
Kedua-dua kanak-kanak yang sedang menyorok di dalam semak samun itu berlari keluar menuju ke arah mereka lalu menarik budak berambut perang itu. Budak itu hanya menurut sambil mengesat airmatanya dengan tenang. Memandang jasad ayahnya buat kali terakhir dengan satu perasaan yang akan difahaminya suatu hari nanti.
"Aieyn!! Aieyn!!"
Aieyn membuka matanya dengan pantas dalam keadaan yang tercungap-cungap seperti baru habis berlari tanpa henti. Jantungnya berdegup terlalu pantas saat itu. Dia memandang sekeliling dengan keadaan masih bingung kemudian menyapu mukanya tanpa sebab. Dia kini agak berpeluh. Bajunya agak basah dan lembap. Badannya terasa agak panas entah kenapa. Farra yang duduk di sebelahnya hanya memandang gadis itu risau. Mereka kini masih berada di dalam kereta.
"Kita kat mana sekarang ni?" Tanya Aieyn acuh tak acuh sambil cuba memandang ke luar.
"Kat kolej lah."
Aieyn kelihatan agak terkejut kemudian memandang sekeliling sekali lagi. Ramai pelajar sedang berlegar-legar di kawasan itu yang mana dia sendiri tidak perasan mengenai perkara itu tadi. Semuanya ingin menghadiri kuliah seperti biasa. Dia sudah tidak tahu bila dia mula tertidur.
"Awak ni kenapa? Mimpi lagi?" Tanya Farra sambil mengerutkan dahinya memandang Aieyn masih risau. Wajah gadis berambut perang itu kelihatan pucat seperti orang sakit. Keadaannya juga seperti tidak terurus.
Aieyn menarik nafas panjang kemudian memejamkan matanya seketika cuba untuk membetulkan minda dan juga pernafasannya. Baru sebentar sahaja dia terlelap. Mimpi buruk mula datang menyapa. Dan itu bukan kali pertama dia mengalami mimpi buruk seperti itu. Sudah berkali-kali. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membuang mimpi itu jauh dari hidupnya.
YOU ARE READING
Huruf ✔
Fantasy"Buku ke-1 dalam TRIPLE H THE SERIES" #TheWattys2016 winner Ia mengisahkan mengenai satu kelompok yang kecil dengan gelaran HURUF (ALPHABET). Percaya atau tidak, mereka mempunyai kuasa ataupun keupayaan berdasarkan Huruf pada nama mereka. Ia b...