Beginning I

4.8K 301 30
                                    

BAB 1 : PERMULAAN



Dentuman bunyi guruh jelas kedengaran seolah-olah satu letupan telah berlaku di sekitar kawasan itu. Ia bergema di setiap sudut ruang rumah kayu yang agak rapuh itu. Kilat sabung-menyabung tidak berhenti sejak menjelang senja tadi. Hujan lebat juga tidak berhenti membasahi bumi sejak petang lagi. Kedinginan amat terasa seolah-olah salji telah turun di negara yang tidak bermusim itu.

Farra membuka matanya perlahan-lahan. Mengelipkannya beberapa kali dengan agak lemah dan malas kemudian memandang sekeliling. Rumah itu sememangnya sunyi dan kosong tanpa ada apa-apa yang boleh diperhatikan. Gadis itu kini sedang bersandar di sebuah sofa berdekatan yang terletak berdekatan dengan unggun api yang tersedia di satu ruang betul-betul bertentangan dengannya. Dia menggosok mukanya dengan kedua-dua tapak tangan yang agak berpeluh walaupun suhu di tempat itu amat sejuk. Terasa seperti baru beberapa minit sahaja dia melelapkan matanya sebentar tadi.

Tragedi lima belas tahun dulu masih lagi berlegar difikirannya. Tragedi yang sering menghantuinya. Tragedi yang benar-benar mengubah hidupnya. Percaya atau tidak, itulah kenyataan yang harus dihadapi. Dia merenung seketika parut yang berada di lengan kanannya yang seolah-olah dirasakan terbakar sebentar tadi. Parut yang berbentuk ukiran satu huruf iaitu huruf 'F'.

Gadis berlesung pipit itu menarik nafas panjang kemudian mencapai secawan kopi yang terletak di atas meja sejak tadi dan kini sudah hilang kehangatannya. Kopi itu dibuat dengan air yang baru sahaja dimasak dengan panas menggelegak sengaja dibuat untuk menghilangkan rasa mengantuknya yang sukar ditahan.

Akan tetapi, dia langsung tidak dapat menahan dirinya daripada terlelap dan kopi itu langsung tidak membantunya walau sedikit pun. Dia terus sahaja meneguk kopi itu sehingga habis. Tidak mahu meninggalkan walau setitik pun. Baginya, kopi itu tidak berfungsi dengan baik kerana dia tetap tertidur walau sebentar.

Rumah yang terpencil itu terasa sunyi sekali kerana ia agak jauh dari kawasan bandar dan terletak di kawasan pedalaman. Di kiri dan kanannya langsung tiada rumah. Yang ada hanyalah hutan belukar. Rumah yang paling dekat pun terletak lebih kurang lima kilometer dari situ.

Rumah yang sudah agak usang itu diperbuat daripada papan yang kukuh bagaimanapun agak nipis untuk menghalang bunyi guruh yang kuat untuk masuk bergema. Di sekelilingnya pula hutan gelap menyelubungi. Terasa seperti rumah itu hendak roboh akibat angin kencang yang amat kuat.

Farra kini sedang mengelamun sendirian sambil merenung unggun api yang tidak dihidupkan apinya. Terlalu banyak perkara yang bermain difikirannya saat ini. Perkara yang bakal berlaku pada masa akan datang, begitu juga dengan perkara yang berlaku pada masa lalu. Perkara yang dia langsung tidak mahu fikirkan walau tidak dapat dielakkan. Dia masih lagi hanyut dalam dunianya sendiri sebelum pintu depan rumah itu direntap dengan kuat oleh seseorang seolah-olah ada serbuan sedang dilakukan.

Gadis itu segera menoleh untuk melihat siapa yang datang dengan tangan kanannya dibuka secara automatik dan dihalakan ke arah pintu itu. Seorang gadis berambut perang yang diikat satu agak tinggi sedang berdiri dengan baju hujan hanya merenungnya sambil mengangkat kening.

"Awak rupanya, Aieyn." Farra menarik nafas lega kemudian menurunkan semula tangannya.

Gadis yang bernama Aieyn itu tidak membalas sebaliknya hanya melangkah masuk ke ruang tamu setelah menutup pintu. Dia bernafas agak berat bagaimanapun berjaya disembunyikan oleh riak wajahnya yang serius. Dia meletakkan beg sandang yang agak basah akibat terkena hujan di atas meja berdekatan.

"Ada apa-apa berita?" tanya Farra yang dari tadi hanya menyoroti setiap pergerakan gadis berambut perang itu tanpa sebarang tujuan.

"Tiada." jawab Aieyn tanpa melihat wajah si penyoal. Dia sedang sibuk membuka jaketnya lalu terus menyangkut di sebatang paku yang terlekat di dinding. Wajahnya kelihatan berkerut tanpa emosi. "Awak?"

Huruf ✔Where stories live. Discover now