BAB 35 : KEHILANGAN
Kehilangan Sheronica benar-benar memberi impak yang amat besar kepada semua orang yang ada di situ. Salah seorang daripada penaung puak Huruf itu kini sudah tiada membuatkan keadaan menjadi lebih huru-hara. Orang yang boleh dikatakan mempunyai kepentingan kepada mereka.
Bahaya yang bakal mereka hadapi kini mula terasa. Sepertinya sudah ada bayangan yang mereka boleh bayangkan untuk apa sahaja yang bakal terjadi. Perasaan takut mula menyelubungi mereka tidak seperti sebelumnya. Apa yang mereka pasti, ada penceroboh yang telah masuk ke situ dan ia adalah Rusdi. Kematian Sheronica yang kelihatan seperti lemas telah membuktikan segala-galanya. Orang yang majoriti mereka mempercayai dia tidak bersalah. Yang mereka rasakan tidak akan mengkhianat. Akhirnya, ketakutann semua penaung puak itu sudah jelas.
Noorizan membuka pintu itu perlahan-lahan kemudian melangkah masuk ke bilik itu disusuli oleh Hisham dan Danish yang berada di belakangnya. Kelihatan Zulfiqar sedang baring di atas katilnya membelakangkan pintu. Esakan kedengaran jelas menunjukkan bahawa dia sedang menangis.
Izzudin pula sedang duduk di sebuah kerusi di sudut paling hujung bilik itu sambil berpeluk tubuh dan mengelamun sendirian. Agak mengejutkan lelaki itu berjaya menyembunyikan apa yang dia rasa saat ini. Noorizan memandang Hisham dan Danish sekali imbas kemudian duduk di katil Izzudin yang kosong sambil menarik nafas panjang. Tidak pasti hendak mula dari mana. Zulfiqar bingkas bangun kemudian mengesat air matanya apabila sedar mereka datang.
"Awak okey, Zul?" Danish segera mendekati kawan baiknya itu sambil menepuk bahunya.
Zulfiqar hanya mengangguk tidak menjawab. Entah apa yang perlu dijawab pada soalan itu.
"Izzudin..." panggil Noorizan yang lebih tertarik untuk tahu apa yang dirasakan oleh lelaki itu.
Tiada sahutan yang diterima. Dan perkara itu tidak mengejutkan mereka. Izzudin langsung tidak bergerak dari kedudukannya. Noorizan memandang Hisham yang berada di sebelahnya sekali imbas. Mereka dapat merasakan itu bukan masa yang sesuai untuk bercakap dengan lelaki itu.
"Kamu rasa ni memang perbuatan Rusdi ke?" Danish bersuara sambil berfikir seketika. Masih ragu-ragu dengan perkara itu walaupun sudah ada bukti nyata yang ditunjukkan.
"Kalau bukan dia siapa lagi." Hisham menjeling ke arah lelaki itu. Agak geram kerana masih cuba menyangkal.
"Kita tak nampak apa-apa kan?" Danish bersuara lagi. "Boleh jadi itu orang lain... Kita tak boleh buat spekulasi..."
"Tak cukup bukti lagi ke awak tak nak tuduh Rusdi?!!"
Serentak semua orang terdiam serta-merta. Izzudin kini sudah berdiri menghadap mereka dengan wajah bengang. Mata biru bersinarnya kelihatan mempunyai emosi yang lain dari biasa.
"Kenapa susah sangat awak nak percaya ini perbuatan dia??" Izzudin merenung Danish dengan mata yang dikecilkan.
"Saya bukan tak nak percaya tapi..." Danish menelan air liurnya memandang lelaki itu. Tahu serta-merta akan apa yang bakal terjadi jika dia masih cuba menyangkal. Dia mengeluh perlahan. "Saya pun tak tahu."
"Dengar ni..." Izzudin merenung mereka satu-persatu. "Ini adalah hakikat. Walaupun Rusdi adalah salah seorang daripada kita... Kita kena jadikan dia sebagai musuh tak kira macam mana pun."
Tiada seorang pun yang bersuara. Aura yang ada pada lelaki itu agak berlainan dari yang biasa.
"Itu saja caranya yang kita ada sekarang." tambah Izzudin. "Membunuh... Atau pun dibunuh."
YOU ARE READING
Huruf ✔
Fantasy"Buku ke-1 dalam TRIPLE H THE SERIES" #TheWattys2016 winner Ia mengisahkan mengenai satu kelompok yang kecil dengan gelaran HURUF (ALPHABET). Percaya atau tidak, mereka mempunyai kuasa ataupun keupayaan berdasarkan Huruf pada nama mereka. Ia b...