Secret II

2.7K 231 15
                                    

Bab 3 : Rahsia (Bahagian II)


Rumah kayu yang disewa oleh mereka itu agak terpencil dengan jarak yang sedikit jauh daripada rumah orang lain. Ia terasa sunyi sekali. Hanya bunyi cengkerik dan angin sepoi-sepoi sahaja yang kedengaran. Rumah itu sengaja dipilih oleh mereka bukan kerana ia jauh dan terpencil tetapi kerana harga sewanya yang murah.

Gadis berambut perang itu duduk di atas meja sambil merenung tajam ke arah lelaki yang kini sedang duduk menggigil ketakutan di sebuah kerusi. Pandangan Aieyn benar-benar menakutkannya seolah-olah boleh membunuh. Gadis itu kini seperti seorang perempuan yang bakal bertukar menjadi serigala jadian pada bila-bila masa sahaja. Farra pula hanya berdiri berdekatan sambil bersandar di dinding. Dia hanya memandang Azim agak bersimpati. Bagaimanapun renungannya mempunya tujuan yang lain. Mengenalpasti apa mahu lelaki itu. Sesekali dia akan memandang Aieyn untuk melihat apa gadis itu akan buat.

"Jadi, Azim..."

Azim agak tersentak apabila namanya disebut begitu oleh Aieyn.

"Apa yang awak tahu?"

Azim segera tunduk semula apabila dia merasakan mata Aieyn yang merenungnya kini seperti akan mengeluarkan benda tajam yang boleh membunuhnya serta-merta di tempat itu.

"Apa yang dah awak dengar??" Soal Aieyn lagi.

Farra hanya mampu memandang gadis itu sambil berharap yang Aieyn boleh mengawal kemarahannya.

"Atau ada apa-apa yang awak nak tanya." ujar Aieyn lagi.

Azim tidak menjawab sebaliknya masih tunduk membisu. Dia dapat merasakan jika dia membuka mulut untuk bercakap walau sepatah pun, nyawanya akan melayang serta-merta pada waktu itu juga.

"Saya tanya baik-baik ni, Azim." suara Aieyn kedengaran semakin keras. Giginya diketap kuat. "Jawablah. Bukannya saya tak tahu apa awak buat selama ni."

Azim membesarkan matanya.

"Bertanya soalan-soalan yang tidak sepatutnya orang biasa seperti awak akan utarakan." Aieyn masih merenung lelaki itu. "Mengekori dan memerhati setiap apa yang kami lakukan. Saya tak rasa semua itu awak buat saja je."

Farra hanya memandang Azim. Dia juga menantikan jawapan daripada lelaki itu. Ingin tahu kenapa dia berkelakuan seperti itu jika dia bukan dari kalangan mereka.

"Sa... Sa... Saya..." Azim merasa seperti hendak menangis. Farra hanya mampu memandang lelaki itu bersimpati. Kenapa lah lelaki itu mengikut mereka? Kenapa dia berkelakuan aneh? Kini dia tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu lelaki itu kerana jika Azim dilepaskan, mereka pula yang berada dalam keadaan bahaya.

"Lembap!" Aieyn mendengus kuat kemudian bingkas bangun. Dia menyambar kolar baju lelaki itu lalu mengheretnya keluar dari rumah itu.

"Aieyn!!"

Panggilan Farra langsung tidak dipedulikan. Aieyn masih lagi mengheret lelaki itu dengan perasaan marahnya yang membuak-buak. Azim hanya terkapai-kapai cuba bertahan. Dia cuba mengejar langkah Aieyn kerana jika dia berhenti, dia pasti akan mati tercekik dengan genggaman gadis itu yang amat kuat pada leher bajunya. Ini adalah pertama kali dia merasakan dirinya benar-benar berada dihujung nyawa. Farra hanya mampu mengejar mereka dari belakang bagi memastikan Aieyn tidak akan melakukan apa-apa perkara yang tidak diingini dan membahayakan.

Aieyn melepaskan genggamannya apabila mereka tiba di satu kawasan yang sedikit lapang. Azim jauh terjelupuk di lantai kerana Aieyn menariknya terlalu kuat menyebabkan pertahanannya lemah. Aieyn merenung lelaki itu serius sambil menggenggam buku limanya erat. Tidak semena-mena dia membuka genggaman tangan kanannya menyebabkan api marak menyala di situ. Azim tercengang tidak percaya dengan mulut ternganga. Dia membesarkan matanya memandang tangan kanan Aieyn yang kini berapi. Sesuatu yang sangat mustahil. Sesuatu yang tidak pernah dilihatnya selama dia hidup di muka bumi ini. Sesuatu yang luar biasa.

Huruf ✔Where stories live. Discover now