BAB 6 : KUASA CAHAYA
Farra meregang-regangkan otot lehernya yang kini sudah terasa sakit dan lengun. Sudah beberapa jam dia menghadap komputer ribanya itu untuk mencari maklumat. Miezza juga turut menghadap komputer riba miliknya sendiri bagi membantu gadis berlesung pipit itu untuk melakukan kerja. Aieyn hanya duduk kebosanan. Dia memang tidak tahu bagaimana hendak menggunakan peralatan canggih seperti itu dan dia memang tidak mahu melakukan kerja itu. Rumah sewa mereka itu juga kelihatan suram tanpa ada sebarang benda yang boleh menceriakan bila dipandang.
"Awak rasa betul ke salah seorang daripada puak Huruf ada di sini?" tanya Miezza ketika menyuapkan kekacang yang dibeli ke dalam mulutnya sambil memandang kedua-dya gadis itu silih-berganti.
"Kalau diikutkan cerita daripada budak Alex tu... Saya pasti ada seorang di sini." jawab Aieyn selamba sambil mengangkat bahunya. "Walaupun banyak sangat andaian mengarut yang dia buat."
"Tapi kamu rasa siapa yang membunuh dalam cerita lelaki tu??" tanya Miezza lagi. "Hantu yang satu tu ke... Atau yang baik. Saya pun dah tak tahu."
"Saya tak pasti. Tapi saya yakin orang yang menyelamatkan Alex tu adalah salah seorang daripada Huruf." Farra mencelah. "Takkan nak membunuh pula kan?"
"Tak mustahil." Selamba Aieyn bercakap tanpa memandang mereka.
Tiba-tiba sahaja kedengaran satu bunyi seperti bergerak-gerak dari atas meja di belakang sofa betul-betul di tempat gadis berambut perang itu duduk membuatkan apa sahaja yang Farra ingin katakan terhenti serta-merta. Satu cahaya kini menerangi ruangan bilik itu menyebabkan Aieyn segera mencapai beg sandangnya dan mengeluarkan satu kotak keperakan yang sentiasa diperiksanya setiap hari. Miezza dan Farra hanya mampu memandang sambil mengecilkan mata akibat kesilauan.
Perlahan-lahan Aieyn membuka kotak keperakan itu lantas mencapai seutas rantai yang kini sedang bercahaya terang. Rantai berbuah huruf 'B' itu bertukar menjadi debu perlahan-lahan sebelum hilang dari pandangan membuatkan Aieyn dan Farra segera mendengus perlahan.
"Kita dah terlambat lagi." keluh Aieyn.
Farra hanya mampu menarik nafas panjang tidak berkata apa.
"Okey..." Miezza kini agak kebingungan sambil tercengang memandang apa yang terjadi. Dia mengelip-ngelipkan matanya yang terasa perit akibat kesilauan cahaya tadi lalu memandang kedua-dua gadis itu silih-berganti. "Apa maksudnya tadi tu?"
Serentak mereka memandang ke arah gadis itu. Mereka baru perasan bahawa itu adalah pertama kali dia melihat kemusnahan rantai itu dan mereka juga belum memberitahunya mengenai hal itu.
"Rantai ni..." Aieyn menunjukkan rantai yang tergantung dilehernya. "Adalah seperti kita."
Miezza mengerutkan dahinya. "Maksudnya??"
"Jika kita mati... Ia juga akan turut musnah."
Miezza agak terkejut kemudian memandang kalungnya seketika lalu memandang kotak keperakan yang berada ditangan Aieyn. "Jadi maknanya..."
Aieyn dan Farra hanya mengangguk-angguk sebelum sempat Miezza menghabiskan kata-katanya.
"Pemiliknya dah..."
BANG!!!!!
Bunyi dentuman yang amat kuat bergema dari luar itu mematikan ayat Miezza dan juga menyebabkan ketiga-tiga gadis itu terkejut lalu berpandangan sesama sendiri dengan mata yang terbuka luas.
"KUNCI SEMUA RUMAH KAMU!!!"
Satu suara kedengaran menjerit di luar disusuli dengan bunyi derapan pintu dan tingkap yang direntap kuat dari segenap arah. Ketiga-tiga gadis itu tersentak lalu berlari ke untuk melihat apa yang terjadi. Kelihatan sisa-sisa orang berlari kelam-kabut masuk ke dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap.
Tidak sampai beberapa minit kemudian, jalan raya dan kawasan perumahan itu menjadi sunyi. Tiada seorang manusia pun yang kelihatan di mana-mana. Hanya kedengaran bunyi dentuman dan tembakan yang kuat entah dari mana. Ia kini seperti taman perumahan yang bakal dirobohkan tidak lama lagi.
"Apa dah berlaku?" Miezza kebingungan masih memerhatikan rumah yang ada di situ satu-persatu.
"Tengok tu!"
Serentak Farra dan Miezza menoleh. Aieyn kini menuding ke arah satu tempat di mana cahaya kemerahan sedang berlegar-legar di atas udara.
"Jom!"
Aieyn mencapai jaketnya lalu segera berlari keluar tanpa menunggu apa-apa komen atau balasan dari mereka. Miezza pula memandang Farra yang hanya mengangguk kemudian berlari menyusul gadis berambut perang itu. Cahaya kemerahan itu semakin jelas kelihatan apabila mereka keluar. Bunyi tembakan di merata-rata tempat itu juga semakin kuat kedengaran. Mereka segera berlari ke arah cahaya itu untuk melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku.
Sesampainya mereka di sana, kelihatan beberapa lembaga berkelubung sedang melepaskan tembakan ke merata-rata tempat tanpa apa-apa sasaran. Mereka berpandangan seketika kerana sudah dapat memastikan misteri di bandar itu.
"Tolong!!!"
Serentak ketiga-tiga mereka tersentak. Mereka dapat mendengar jeritan seseorang dari segenap arah. Mata mereka kini liar mencari siapa pemilik suara itu dalam keadaan samar-samar.
"Alex!!"
Serentak Aieyn dan Farra memandang Miezza yang sedang menuding ke arah sesuatu. Lelaki berkacamata itu sedang terbaring di atas jalan raya sambil terinjut-injut menangis meminta tolong.
Salah satu daripada lembaga berkelubung itu berjalan perlahan-lahan mendekatinya. Ketiga-tiga gadis itu berpandangan seketika kemudian mengangguk tanda mereka harus bertindak. Farra terus sahaja menghalakan tangan kanannya ke arah lembaga berkelubung yang sedang berjalan menuju ke arah lelaki yang masih merangkak itu. Satu cahaya keperakan terpancar keluar dari tangan kanannya dan terkena tepat ke arah lembaga itu. Ia meletup serta-merta menjadi cecair berwarna kuning yang menggelikan dengan iringan jeritan yang kuat.
"Euwww!! Apa pula ni?" Farra kegelian apabila cecair berwarna kuning itu terkena di badannya.
Apabila tersedar mereka telah diserang, beberapa lembaga berkelubung tadi berjalan ke arah Alex kerana menyangka lelaki itu yang mengeluarkan kuasa tadi.
"Light!!"
Langkah Aieyn dan Miezza yang hendak membantu Alex terhenti apabila terdengar jeritan itu. Farra yang masih lagi membersihkan cecair yang terkena di badannya turut menoleh.
Satu cahaya berwarna kekuningan muncul entah dari mana menerangi hampir seluruh kawasan itu. Serentak ketiga-tia gadis itu menutup mata mereka dengan menggunakan tangan cuba melindungi mata daripada kesilauan cahaya yang dirasa boleh membutakan. Serta-merta lembaga berkelubung tadi ghaib satu-persatu entah ke mana perginya.
"Nanti!!" jerit Farra apabila kelibat yang mengeluarkan cahaya tadi berlari pergi dengan pantas dari situ.
"Miezza!" Aieyn memandang gadis itu. "Tolong bantu Alex."
Gadis berambut ikal itu tidak membantah dan terus sahaja berlari ke arah Alex yang kini terbaring di jalan raya tidak sedarkan diri. Aieyn memandang Farra kemudian mengangguk sebagai tanda isyarat mereka perlu bertindak. Mereka segera berlari menuju ke tempat kelibat itu lari.
Akan tetapi, tiba di satu lorong kelibat itu sudah tidak kelihatan lagi. Tempat itu kelihatan sunyi dan langsung tiada orang.
"Mana dia pergi?" tanya Aieyn agak tercungap-cungap kerana berlari terlalu pantas tadi.
"Tak tahu!" Farra kini terbatuk-batuk sambil cuba membetulkan sistem pernafasannya.
"Jangan bergerak!!"
A/n: Well, well, well... So, who do you think that person is?? Hahaha. Rasanya dah boleh teka kot. Senang je kali ni. Tak susah pun. Hehehe. Anyway, leave me your feedback. :)
> VOTE & COMMENT <
YOU ARE READING
Huruf ✔
Fantasy"Buku ke-1 dalam TRIPLE H THE SERIES" #TheWattys2016 winner Ia mengisahkan mengenai satu kelompok yang kecil dengan gelaran HURUF (ALPHABET). Percaya atau tidak, mereka mempunyai kuasa ataupun keupayaan berdasarkan Huruf pada nama mereka. Ia b...