Resah. Gelisah. Takut. Teruja. Bahagia. Gementar. Semua perasaan itu bercampur aduk di dalam hatinya. Risau jika rancangannya ini tidak berjaya.
"Kamu yakin nak lanjutkan semua rancangan ini?" Tanya Dato' Zawawi.
"Adam, jujur umi katakan yang umi tak yakin dengan semua ini. Kasihan dia," uminya yang duduk di sebelah suaminya pula bersuara.
"Umi, tolong jangan cakap macam tu. Tolonglah, umi... Adam perlukan sokongan dari ibu bapa Adam sendiri." Tipulah kalau Adam tidak rasa apa yang Datin Azura rasa. Tidak yakin. Tapi, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
"Umi tahu... Tapi bagaimana kalau dia tahu semuanya sebelum rancangan ini selesai? Dia pasti akan merasa tertipu. Kamu sendiri cakap yang dia pernah kecewa. Umi risau kalau dia kecewa untuk kali kedua."
"Umi, segalanya Adam serahkan kepada Allah. Umi dan ayah tolong doakan semuanya berjalan dengan lancar."
Dato' Zawawi cuma berdiam diri. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia membiarkan sahaja anak terunanya itu dengan pilihannya. Perasaan risau sebagai seorang ayah memang ada, tapi dia tidak boleh memaksa.
"Hmmm... iyalah. Hah, abang kamu mana? Dari tadi tak balik-balik lagi?" Tanya Datin Azura tiba-tiba kepada Adam.
"Tadi dia cakap dia keluar dengan Razeeta," Dato' Zawawi pula yang jawab.
"Razeeta?" Adam mengerutkan dahi. Siapa pula Razeeta yang dimaksudkan ayah? Tidak pernah dengar pun nama itu.
"Eh, takkan pasal abang sendiri kamu tak tahu? Razeeta tu teman wanita abang kamu, " Datin Azura memberitahu.
"Oh... tak tahu. Lagipun Adam jarang lepak dengan dia. Banyak kerja kat ofis. Adam naik atas dulu. Nak ke bilik."
"Hmm, iyalah," Dato' Zawawi membenarkan.
Adam segera berlalu ke biliknya. Badannya terus direbahkan atas katil. Kepalanya ligat berfikir, membuatkan dia sedikit pening. Mata dipejam untuk seketika bagi menghilangkan rasa lesu.
Tiba-tiba sahaja dia teringat tentang buku berwarna ungu itu. Sudah lama tidak diusik. Buku itu disimpan kemas di dalam laci.
Tanpa berfikir lama, buku itu dikeluarkan dari laci. Buku itu dibuka dan dibelek untuk mencari entri yang belum dibaca.
Seribu soalan berlegar di benakku
Apakah kesudahannya cerita ini?
Bilakah dapat melepas rindu,
menghurai sebak di dadaku?
Sekian lama mengadu nasib permintaan badan
Tapi gagal menemui kebahagiaan.
Hanya satu permohonanku,
berhenti sakiti hati dan diriku.Kecewa... Itulah apa yang pernah dilalui Astillah. Adam juga tahu rasanya apabila diri ditinggalkan oleh orang yang disayangi.
Sheiyla... Adam ditinggalkan oleh Sheiyla. Dulu sheiyla seorang gadis yang pendiam, comel, tidak banyak kerenah, berpakaian sopan dan wajahnya bisa memikat hati seorang lelaki. Dan lelaki itu ialah Adam.
Adam menyatakan perasaannya terhadap Sheiyla. Apa yang lebih menggembirakan bagi Adam apabila Sheiyla menerima cintanya. Dari situ, hubungan mereka baik-baik saja seperti pasangan yang lain.
Tetapi, belum sampai setahun mereka bercinta, Sheiyla semakin berubah. Sheiyla berubah menjadi orang yang kuat cemburu sampai-sampai Adam tidak boleh berkawan dengan mana-mana perempuan. Tapi demi Sheiyla, dia turuti saja kemahuan gadis itu.
Penampilannya juga lain. Dari berpakaian sopan, menjadi pakaian yang orang lain katakan 'tidak cukup kain'. Tapi Adam biarkan saja. Dia cuba berfikir positif. Dia berfikir, mungkin Sheiyla cuma ingin gayakan fesyen terkini.
Sampailah suatu hari, dia ternampak sheiyla bersama seorang lelaki. Hatinya membara melihat perlakuan manja Sheiyla ditujukan untuk lelaki itu. Hatinya lebih panas lagi apabila lelaki tersebut bertindak memeluk pinggang Sheiyla.
Tanpa berfikir panjang, Adam bertindak menumbuk wajah lelaki itu. Dari situ hubungan mereka terlerai. Sheiyla meninggalkan dirinya untuk lelaki lain. Dan lelaki itulah yang bernama Aaron.
Sekarang, siapa sangka Sheiyla pula yang ditinggalkan Aaron. Tidak tahulah sebabnya kenapa, asalkan Sheiyla sedar rasanya apabila ditinggalkan oleh orang yang disayangi.
Namun Adam tidak jahat sangat untuk bergembira atas penderitaan orang lain. Walaupun Sheiyla pernah sakiti hatinya, dia tetap doakan kebahagiaan perempuan itu.Tapi dia tidak akan kembali semula kepada Sheiyla kerana hatinya dimiliki oleh orang lain...
YOU ARE READING
Kau Yang Tercipta (Completed)
RomanceHadirnya tiga insan di dalam hidup Astillah Zarina membuatkan dirinya menjadi seperti 'roller coaster.' Kejadian yang tidak pernah terfikir oleh akal celik Astillah membuat dirinya menjadi rapuh. Selepas semuanya berlaku dia tidak mahu menerima sala...