Ruang menunggu ICU Hospital Kuala Lumpur di sapa suasana sayu tatkala Puan Marlia tiba dengan tangisan yang tidak berhenti sejak dia dalam perjalanan ke situ. Ibu mana yang tidak sedih apabila mendapati anaknya terlibat dalam kemalangan dan sedang berada di wad ICU kerana kecederaan yang teruk. Apatah lagi, itu adalah satu-satunya anak tunggal Puan Marlia. Fea yang sedang berdiri dengan baju yang dipenuhi darah Ian didakap erat oleh Puan Marlia serta-merta, meminta kekuatan untuk sama-sama menghadapi ujian itu. Ujian dari Allah yang tidak pernah terduga olehnya.
"Fea, macam mana boleh jadi macam ni Fea? Ya Allah, Aunty tak kuat kalau apa-apa terjadi pada Ian nanti." Ucap Puan Marlia sambil tersedu-sedu menahan tangis. Hanya Allah saja yang tahu betapa luluhnya hati Puan Marlia saat itu. Sesungguhnya dia tidak kuat.
"Aunty Marlia, Fea mintak maaf. Ni semua salah Fea. Kalau Fea tak melintas jalan dan biar Ian kejar Fea, mesti ni semua tak jadi. Fea mintak maaf sangat-sangat." Ucap Fea yang juga sudah merah matanya kerana menangis, menyalahkan dirinya di atas apa yang terjadi kepada Ian. Lupa segala perasaan marah dan kecewanya kerana pembohongan yang telah dilakukan Ian terhadap dirinya dan juga pada semua orang yang langsung tidak tahu akan sifat Ian yang sebenar.
Puan Marlia hanya menggelengkan kepalanya, tidak mahu menyalahkan gadis itu mahupun sesiapa. Dia juga tidak mahu tahu perkara sebenar bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Keadaan Ian lebih penting saat ni. Dia masih belum bersedia untuk kehilangan seorang lagi insan yang sangat disayanginya.
"Sama-sama kita doakan supaya Ian selamat ye." Ucap Puan Marlia lalu memeluk Fea kembali. Dengan perasaan sebak yang tidak mampu ditahan, Puan Marlia memejamkan matanya, berdoa semoga Allah memberinya kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut. Dan semoga anaknya yang sedang bertarung nyawa di dalam bilik ICU dapat diselamatkan.
Tidak lama kemudian, Reza dan Dato' Kamaruddin tiba di wad ICU dengan wajah yang cemas. Mereka juga terkejut apabila Fea menelefon mereka dengan suara yang tersedu-sedan, memberitahu bahawa Ian terlibat dalam kemalangan dan sedang berada di dalam wad ICU.
"Sofea.." Panggil Dato' Kamaruddin, mendapatkan anaknya yang sedang duduk bersama Puan Marlia dengan wajah yang sugul.
"Papa." Ucap Fea lalu bangun memeluk Dato' Kamaruddin.
Serentak dengan itu, pintu bilik ICU terbuka dan seorang doktor lelaki keluar sambil menanggalkan penutup mulutnya lalu bertanya, "Yang mana satu ahli keluarga kepada Ian Hanafi?" Soal doktor tersebut sambil memandang keempat-empat mereka.
"Saya, doktor. Saya ibunya. Macam mana dengan keadaan anak saya, doktor? Dia selamat, kan?" Soal Puan Marlia sambil mengelap air matanya, berharap anaknya selamat.
"Puan, saya harap puan tabah. Anak Puan berada dalam keadaan koma sekarang ni." Jawab doktor tersebut sambil tertunduk memandang lantai. Inilah situasi yang ramai para doktor sebolehnya tidak mahu berada, iaitu memberitahu ahli keluarga pesakit tentang keadaan pesakit yang mungkin tidak dapat diselamatkan.
Puan Marlia seakan tergamam dengan apa yang didengarnya ketika itu. Hampir saja dia rebah ke lantai namun bahunya dipaut oleh Fea apabila gadis itu mendapati Puan Marlia seakan mahu rebah. Dato' Kamaruddin dan Reza, masing-masing mengucap panjang menerima perkhabaran dari doktor itu.
"Maafkan kami, puan. Kami dah cuba yang terbaik. Sama-samalah kita berdoa supaya anak puan akan cepat tersedar dari koma." Ucap doktor itu lagi.
"Doktor, masih ada harapan kan untuk dia sedar semula?" Soal Reza, berharap.
"Maaf. Itu kami tidak boleh janji. Dia kehilangan banyak darah sewaktu pembedahan dan tulang rusuk kirinya retak. Kepalanya juga mengalami hentakan yang agak kuat sewaktu dia dilanggar dan jatuh di atas jalanraya. Semuanya bergantung kepada pesakit sekarang ni, sama ada dia kuat atau tidak berjuang untuk hidup." Jawab doktor tersebut, tidak mahu memberi harapan yang tinggi. Dia sendiri tidak pasti sama ada pesakit tersebut akan sedar atau tidak.
"Ya Allah. Sofea.." Ucap Puan Marlia, lalu dia menangis lagi sambil memeluk Fea erat. Bagaimana jika anaknya itu tidak akan sedar sampai bila-bila? Bagaimana dia mahu melalui semua dugaan ini? Dia tidak kuat.
"Sabar ye Aunty." Ucap Fea sambil menggosok belakang Puan Marlia lembut. Berharap wanita separuh usia itu kuat menghadapi ujian yang datang. Dia sendiri seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku ketika ini. Dengan hari perkahwinan mereka yang tidak lama lagi, lalu tiba-tiba dia mendapat tahu sesuatu yang mengejutkan tentang Ian, dan sekarang lelaki itu terbaring koma di dalam wad ICU. Semua itu benar-benar tidak terduga olehnya.
"Aunty nak masuk tengok Ian. Fea teman Aunty ye?" Pinta Puan Marlia lalu memegang tangan Fea, ingin mengajak gadis itu menemaninya masuk ke dalam wad ICU yang menempatkan anaknya.
"Aunty masuk dulu ye. Fea nak ke tandas sekejap." Ucap Fea lalu memandang Reza dan papanya, Dato' Kamaruddin.
"Abang Reza, papa.. salah seorang teman Aunty Mar masuk ye. Fea nak ke tandas sekejap." Pinta Fea. Setelah Dato' Kamaruddin memilih untuk masuk bersama Puan Marlia, Fea pun beredar untuk ke tandas.
Sampai di tandas, Fea membasuh mukanya dengan air paip lalu merenung dirinya di cermin.
"Aku.. aku tak bersedia nak tengok dia sekarang ni. Lepas apa yang dia akui dan apa yang terjadi pada dia sekarang adalah disebabkan aku, aku tak bersedia nak tengok dia. Aku masih marah tapi dalam masa yang sama, aku rasa bersalah dengan apa yang terjadi kat dia."
"Apa patut aku buat ni? Takkan saat-saat macam ni aku nak cakap dengan Aunty Mar yang aku nak batalkan perkahwinan sebab aku baru tahu siapa Ian yang sebenarnya? Takkan aku nak bongkarkan perangai sebenar Ian pada Aunty Mar waktu-waktu macam ni? Atau patut ke aku berdiam diri memandangkan Ian mungkin tidak akan sedar lagi?" Soal Fea pada dirinya yang berada di dalam cermin. Namun pantas dia menggelengkan kepalanya.
"Jahat ke aku berfikir macam tu? Fikir yang Ian takkan sedar lagi." Soalnya lagi.
"Astagfirullah al'azim.." Fea beristigfar lalu membasuh wajahnya sekali lagi hingga tudung yang dipakainya turut basah. Bajunya yang dipenuhi dengan kesan darah diabaikan saja.
*************************
Jahat ke Fea di mata korang? Kalau korang di tempat dia, apa reaksi korang?
YOU ARE READING
IAN HANAFI ✔
DragosteIan Hanafi Tan Sri Mukhriz.. Kisah silam cuba dilupakan. Dia mencari sebab untuk berubah. Namun ego setinggi puncak Himalaya itu tidak mudah untuk dirobohkan. "You step on my shoe, on my feet and you just make an innocent face?" Marah Ian pada gadis...