"ASSALAMUALAIKUM.."
Puan Marlia yang baru saja ingin ke dapur, terhenti langkahnya apabila mendengar orang memberi salam. Dulang berisi bekas minuman tetamu yang datang tadi segera diletakkan semula di atas meja di ruang tamu. Dia segera ke pintu hadapan untuk melihat siapa yang datang. Sejak dua minggu yang lalu, tak putus-putus tetamu yang datang menziarahinya atas pemergian Tan Sri Mukhriz.
"Waalaikumussalam." Puan Marlia mengamati susuk tubuh yang sedang berdiri sambil tersenyum kepadanya.
"Kamu ni kawan Ian ke?" Soal Puan Marlia sebaik saja mendapati tetamu yang datang itu adalah seorang lelaki muda dalam lingkungan umur Ian. Lelaki muda itu tersenyum sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam.
"Aunty Mar tak cam saya ke? Saya Reza, kawan Ian waktu sekolah dulu. Dulu kan selalu saya ke sini lepak dengan Ian." Ucap Reza sambil tersenyum ramah.
Dahi Puan Marlia berkerut sebentar. Dia mengamati wajah di hadapannya itu.
"Reza? Oh yelah. Ya Allah, Aunty Mar tak cam langsung. Lama sangat dah tak jumpa kamu. Wah, makin segak, makin handsome sekarang ye." Balas Puan Marlia sebaik saja mendapati lelaki itu adalah teman rapat anaknya sewaktu zaman persekolahan dulu.
"Eh, jemputlah masuk. Nanti Aunty panggilkan Ian ye." Pelawa Puan Marlia. Reza melangkah masuk ke dalam rumah setelah dipelawa. Sebaik saja Reza duduk di sofa, Puan Marlia segera naik ke tingkat atas untuk memanggil Ian yang mungkin sedang berehat di dalam biliknya.
Seminit kemudian Ian turun bersama Puan Marlia.
"Hei Reza. Bila kau balik sini?" Soal Ian sambil bersalaman dengan Reza. Kehadiran Reza membuatnya sedikit terkejut. Tak ada beritahu pun nak balik ke Malaysia, tiba-tiba dah terpacul je. Reza ketawa kecil.
"Aku baru sampai sini petang semalam. Saja nak surprise kau. By the way, takziah atas pemergian papa kau. Sorry tak sempat balik masa hari pengkebumian." Ucap Reza sambil menepuk perlahan bahu Ian.
"It's okay. Aku faham. Kau datang ziarah ni pun dah cukup bagi aku. Kau balik terus ke ni?" Tanya Ian. Rasanya belum cukup setahun pun.
"Yep. Kursusnya ditamatkan awal, awallah aku balik." Jawab Reza.
"Eh, jomlah kita borak kat anjung. Sambil-sambil tu boleh ambik angin luar." Pelawa Ian. Reza hanya mengangguk dan mengikuti langkah Ian. Puan Marlia tidak tahu berada di mana. Mungkin sedang membuatkan minuman untuk tetamu anak bujangnya itu.
"Lama dah aku tak menapak ke rumah kau ni. Daripada habis belajar sampailah hari ni. 10 tahun dah kan." Ucap Reza sambil memandang sekeliling.
Ian mengangguk dan turut memandang sekeliling. "Tapi tak banyak pun yang berubah kan. Tetap sama macam dulu." Balas Ian.
Tidak lama kemudian, Puan Marlia datang menatang dulang berisi minuman dan sedikit kuih untuk mereka jamu sepanjang perbualan nanti.
"Jemput minum Reza." Pelawa Puan Marlia sambil menghidangkan minuman yang dibawanya itu.
"Terima kasih Cik Mar. Susah-susah aje." Balas Reza sambil tersenyum.
"Tak ada yang susahnya. Kopi dengan kuih je. Lain kali kamu datang, Cik Mar masak yang sedap-sedap untuk kamu. Tapi pastikan datang bawak temanlah ye. Boleh Cik Mar kenal-kenal." Ucap Puan Marlia. Sempat lagi dia mengusik Reza.
"Inshaa Allah Cik Mar." Ucap Reza sambil tersenyum. Fikirannya melayang teringatkan Fea apabila Puan Marlia menyebut tentang 'teman'. Perasaan rindu menyelinap ke dalam hatinya. Belum sempat lagi dia bertemu dengan gadis itu.
"Mama aku ni Reza sebenarnya dah tak sabar nak bermenantu. Sunyi katanya." Ucap Ian mengusik mamanya pula.
"Memanglah. Nak tunggu kamu tu entah bila agaknya. Terpaksalah mama berharapkan orang lain." Balas Puan Marlia seakan merajuk. Reza ketawa kecil melihatkan gelagat kedua beranak itu.
"Tak apalah Cik Mar. Inshaa Allah, nanti adalah tu." Ucap Reza cuba menyedapkan hati Puan Marlia. Puan Marlia hanya tersenyum dan mengangguk. Dia tidak merajuk pun dengan anak bujangnya itu, cuma dia berharap saja. Semoga adalah gadis yang dapat membuka pintu hati anaknya itu.
Serta merta ingatannya melayang teringatkan Airina Sofea. Kalaulah gadis itu jadi menantunya...
"Kamu berbuallah dulu dengan Ian ye. Cik Mar nak naik ke bilik kejap." Ucap Puan Marlia. Reza hanya mengangguk.
"Jemput minum, Reza." Pelawa Ian sambil menghirup minumannya. Reza pun mencapai cawan minumannya lalu meniup kopi panas itu perlahan-lahan.
"So bila kau nak kembali bekerja?" Soal Ian sambil memandang Reza.
"Ermm. Bagi aku rehat dulu seminggu dua, boleh?" Soal Reza pula. Ian ketawa kecil.
"Aku dah agak dah. Tak ada hallah bro. Kau baru je sampai sini semalam kan. Rehat je dulu. Nanti bila kau dah ready nak handle kafe tu, kau inform je kat aku." Jawab Ian, memahami keadaan Reza yang baru saja pulang dari luar negara itu. Reza tersenyum lebar.
"Thanks bro." Ucapnya gembira.
"One more thing. Aku rasa aku nak propose Fea dalam masa terdekat nilah." Ucap Reza, menyampaikan hasratnya yang sudah terpendam sejak setahun yang lalu. Ian yang baru saja ingin menelan kuih seri muka ke dalam tekaknya tersedak serta merta mendengarkan hasrat Reza itu.
Reza ketawa kecil. Dia menghulurkan cawan minuman kepada Ian untuk menghilangkan rasa tersedak. "Kenapa bro? Aku macam tergesa-gesa ke?" Soal Reza, menyangka Ian tersedak kerana terkejut dengan keputusannya yang tiba-tiba itu.
Ian menggelengkan kepalanya setelah air di dalam cawan habis dihirupnya. "Taklah." Dalih Ian, walhal dia memang terkejut dengan keputusan Reza yang secara tiba-tiba itu. Kalaulah Reza tahu yang Ian sudah terlebih dahulu meluahkan perasaannya pada Fea, entah bagaimana pula reaksi sahabatnya itu. Tak mampu dia nak berhadapan dengan Reza. Dirinya dah boleh dianggap sebagai kawan yang tikam belakang kerana dia sendiri tahu yang Reza juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Fea.
"Kau serius ke ni?" Soal Ian.
"Seriuslah. Aku dah cakap dengan kau sebelum aku pergi Costa Rica lagi, kan? Aku memang betul-betul nak kat dia ni." Jawab Reza bersungguh-sungguh.
"Bila tu?" Soal Ian lagi.
"As soon as possible. Maybe lepas aku ambil alih SunShine Cafe." Jawab Reza.
Entah kenapa air liur yang ditelan terasa pahit di tekak Ian saat itu.
*************************
Ha Ian. Jaga jaga ☝
YOU ARE READING
IAN HANAFI ✔
RomansaIan Hanafi Tan Sri Mukhriz.. Kisah silam cuba dilupakan. Dia mencari sebab untuk berubah. Namun ego setinggi puncak Himalaya itu tidak mudah untuk dirobohkan. "You step on my shoe, on my feet and you just make an innocent face?" Marah Ian pada gadis...