Bila meriam artileri dilancarkan, keadaan menjadi gegak gempita. Peluru bersimpang siur, letupan kedengaran di sana sini, dan kesemua orang bertempik bagai hari nak kiamat.
Tapi tidak Raqib. Raqib berlari-lari anak, melalui lorong-lorong kecil, menggunakan bangunan yang ada sebagai pelindung, menghampiri pasar gelap. Di depannya Megat, bersama dengan orang-orangnya, masing-masing dengan senapang di tangan.
Mereka menggunakan sebaiknya suasana huru-hara itu, bagi menyelindungkan kemaraan mereka. Tapi tak mudah, kerana di setiap sudut, ada sahaja polis yang berkawal.
"Berpecah," arah Megat, bila melihatkan ada sekumpulan polis yang sedang berkampung di depan sebuah rumah kedai.
Arahan Megat itu dipatuhi. Dan kumpulan mereka mula berpecah. Megat menghampiri polis-polis itu dari timur, dan Raqib dari barat.
Serangan mengejut itu membuahkan hasil. Kumpulan polis itu tumbang serta merta, mewujudkan jalan selamat untuk mereka semua.
Hanya dalam beberapa ratus meter sahaja lagi sebelum menghampiri pasar gelap. Tapi kemaraan mereka terhenti lagi bila melihat labah-labah besi gergasi yang kini sedang berkawal di pintu masuk pasar.
"Halim, sasarkan artileri ke depan pasar. Sekarang!" jerit Megat, tidak berlengah.
Bedilan demi bedilan menghentam labah-labah itu. Gegarannya kuat, sehingga menggenggarkan jantung mereka. Tapi labah-labah itu masih lagi bertahan, dengan perisai tenaga menampung setiap bedilan.
"Tak berkesan Megat! Kau kena serang dari dekat."
"Halim, lancarkan skuad rempit kita. Aku perlukan distraction," balas Megat kembali.
"Baik!"
Megat kemudiannya memandang orang-orangnya, termasuklah Raqib. "Ok, Siapa sukarela nak serang labah-labah tu?"
"Kau gila ke Megat? Besar tu!"
"Kenapa labah-labah tu masih boleh berdiri lagi? Dron yang lain dah tumbang," soal Raqib.
"Sebab ia bukan dron. Ia dipandu manusia," balas Megat.
Raqib memandang kembali pada labah-labah itu. Ia tak mempunyai banyak senjata di atasnya, tapi setiap senjata itu mampu menghancurkannya menjadi debu. Bagaimana dia mampu melepasi dengan selamat?
"Kalau tak ada, aku pergi sendiri," balas Megat lalu mula mengangkat senapangnya dan bergerak ke depan.
"Sekejap. Aku ikut," tutur Raqib lalu menurunkan dron kura-kuranya.
"Aku harap tu cukup nak tahan peluru berkaliber tinggi," komen Megat.
"Kita tengoklah kejap lagi macam mana," balas Raqib sambil menarik nafas yang panjang. Menghilangkan debar di jantungnya.
"Kau sedia?" soal Megat kembali.
Raqib mengangguk. "Lepas aku lumpuhkan labah-labah tu, aku terus masuk ke dalam. Aku ada benda yang perlu diselesaikan," jelas Raqib lagi.
"Kau ada idea?"
"Ya." Belum sempat Raqib menjelaskan dengan panjang lebar, beberapa buah motor sudahpun melintas di depan mereka. Masing-masing dengan pembonceng yang membawa pelancar peluru berpandu dan pemancar laser berkapasiti tinggi.
"Tembakan pelindung!!" jerit Megat sambil berlari ke bawah labah-labah yang sedang asyik menembak ke arah skuad motor yang sedang menyerangnya. Raqib mengikut dari belakang, sambil mengaktifkan perisai penyerap. Melindungi dirinya dan Megat.
Megat dan Raqib kedua-duanya dihujani peluru, tapi dengan perisai di depan, mereka mara tanpa getar. Megat membaling bom asapnya kebawah, mewujudkan kabus yang melindungi kedudukan mereka.
Dalam kabus yang gelap itu, Raqib menunjukkan senjata rahsianya.
"Pergi Raqib, aku lindung kau dari belakang," tutur Megat.
Raqib mengangguk, dan berlari keluar dari perisai pelindungnya. Dalam keadaan kelam kabut Raqib membaling bom EMP ke depan dan berlari sepantas kilat terus ke dalam pasar gelap.
***
Walaupun dikepung, Juliana lebih bersedia. Dia menghidupkan sut limunannya sebaik sahaja tembakan dilepaskan.
Juliana dengan pantas berlari, bergerak ke arah kanan. Mengelak peluru yang sedang mencarinya.
Bilah pepatung yang sudahpun tersedia mula melibas, memotong raifal dan senapang. Letupan kecil terhasil, menyebabkan penyerangnya tercampak ke belakang.
Juliana menggunakan kesempatan yang ada itu untuk serentak melancarkan dronnya yang mula terbang, dan menembak penyerangnya. Pengawal yang masih ada mula bertempiaran, berundur ke belakang, mencari tempat berlindung.
Tapi Juliana lebih pantas. Dia sempat menarik ketua pengawal, dan meletakkan bilah pepatung ke lehernya. Pengawal itu semua berhenti serta-merta.
"Bagus. Kalau kau nak dia selamat, kau patut bagi aku lepas," tutur Juliana.
Ketua Pengawal itu tercungap-cungap, cuba meronta untuk melepaskan diri. Tapi kudratnya tak cukup kuat untuk melawan tangan besi Juliana.
Dengan termengah-mengah dia bertanya," Siapa kau?"
"Aku dari PERMATA. Aku datang sini mengikut jejak orang," jelas Juliana.
"Tak ada siapa yang kau perlu jejak kat sini. Orang kat sini bukan orang sebarangan. Orang terhormat," balas ketua pengawal, meronta tanpa henti.
"Orang yang aku jejak ni baru sahaja bunuh dua orang kat rumah mayat semalam," jelas Juliana lagi. Ketua pengawal itu berhenti meronta. Juliana mula melepaskannya dan memberi peluang kepada ketua pengawal itu untuk berbicara.
"Kau dari PERMATA?" soalnya
Juliana mengangguk.
"Bos kau tahu tak kau datang sini?" soalnya lagi.
Juliana menggeleng. "Tak. Aku ada cakap kat dia, nak ke Bumantara. Tapi dia tak bagi. Katanya leceh. Ada banyak birokrasi," balas Juliana lagi.
"Dan apa yang bos kau cakap tu betul. Kau patut minta kebenaran dulu. Ikut prosedurnya. Kau bukan boleh main terjah je macam ni," balas ketua pengawal itu lagi.
Juliana memandang ketua pengawal itu. Umurnya kelihatan seperti separuh abad. Tapi badannya tegap. Tinggi orangnya. Dan walaupun hanya seketika bergelut, Juliana tahu yang lelaki tua di depannya ini punya banyak pengalaman.
Maka hormat adalah jalannya.
"Maafkan saya tuan. Saya perkenalkan diri dulu. Nama saya Juliana, nama tuan?"
"Panggil aku Kapten Radbury. Dan aku tak boleh bagi kau jalan ke Bumantara," balas Radbury.
"Tapi saya terdesak tuan. Saya tak ada pilihan lain. Saya kesuntukan masa. Dan orang yang saya buru ni haus darah. Dia dahpun bunuh dua orang semalam, dan dia boleh bunuh ramai lagi kat Bumantara ni. Tak akan tuan nak biarkan orang macam tu bermaharajalela kat sini?" soal Juliana.
"Kau nak cakap apa? Kau ingat aku tak boleh buat kerja aku?" soal Radbury kembali.
"Tak, saya tak cakap macam tu. Saya berterus terang sahaja di sini. Orang yang saya buru ni, dijangkiti virus. Virus yang cukup merbahaya. Dan saya seorang sahaja yang ada ubatnya," jelas Juliana.
"Aku tak boleh nak percaya cakap kau ni. Tak konsisten. Sekejap kau cakap itu, sekejap kau cakap ni. Aku tak boleh bagi kau lepas," balas Radbury.
"Kalau tuan tak boleh bagi saya lepas, saya akan buka jalan saya sendiri," balas Juliana, sambil menunduk, mengambil posisi bersedia untuk menyerang. Pengawal-pengawal yang lain mula mengacukan senjata, melihat gerak langkah Juliana.
"Sekejap!" arah Radbury sambil mengangkat tangan.
"Aku pun tak nak orang aku mati sia-sia je kat tangan kau. Kau betul nak lepas?" soal Radbury.
Juliana sekadar mengangguk.
"Aku bagi kau lepas. Dengan syarat kau perlu berada di bawah pengawasan aku. Setuju?"
"Setuju."
YOU ARE READING
Penjejak Kubur
Science FictionTahun 2099, dunia kini sedang bergelut dalam perang yang berpanjangan. 95% kematian di bumi ketika ini adalah di medan perang. Jadi dengan beratus juta mayat bergelimpangan di sana, siapa yang perlu menguruskannya? Ketika inilah wujudnya Penjejak K...