Atid menarik aku dengan cukup kuat. Bagai mengoyak dan mencarik-carik badanku. Dan mencantumkannya semua dalam satu lorong yang gelap. Sakitnya, Tuhan sahaja yang tahu.
"Kau masuk Mayaloka tak ada persedian lansung! Kalau hacker aku faham, mereka tahu macam mana nak sembunyikan kedudukan, tahu bagaimana nak manipulasi semua aliran data yang lalu kat dunia ni. Tapi kau? Dengan beraninya kau datang sehelai sepinggang eh."
Bebelan Atid itu antara masuk atau tidak dalam telingaku. Aku lebih menumpukan pada rasa sakit yang mencengkam, yang terasa di seluruh badan.
Kesan dari Atid yang mencerai dan mencantumkan kembali seluruh anggota badanku.Tapi yang anehnya, aku tak mampu untuk menjerit.
"Kau tak payah nak bazirkan tenaga kau menjerit. Aku disable kau punya audio dulu, buat sementara. Kalau kau menjerit nanti, satu Mayaloka tahu kau ada kat sini."
Aku mengangguk. Akur dengan kata-kata Atid. Lagipun rasa sakit sudah semakin surut. Dan semakin menghilang bila Atid sudah selesai membentuk semula tanganku. Tangan yang baru sahaja tadi dibaham anjing Noor.
Aku menarik nafas yang panjang. Menghilangkan rasa debar di hati. Mengharapkan debar jantungku yang tadi kencang, menjadi surut.
"Ok dah, semua dah selesai. Aku hidupkan balik audio kau. Tapi kau jangan kuat-kuat. Cakap dengan tenang. Aku tak nak AI lain tahu kita ada kat sini," jelas Atid lagi.
"Aku tak sangka Noor boleh buat macam tu." Ayat pertama yang aku tuturkan kedengaran berbeza di telingaku. Aku memandang Atid, meminta penjelasan.
"Aku terpaksa ubah suara kau. Supaya orang tak dapat teka identiti kau. Jangan risau, kat sini je. Kat luar suara kau masih sama," jelas Atid.
"Owh," balasku pendek. Mengerti dengan apa yang dilakukan Atid.
"Aku bagi kau nasihat sikit eh Azrahel. Kau kena faham hakikat AI. Kami bukan macam manusia, yang bebas memilih tujuan hidup dia. AI ni dah diprogramkan semuanya, dan dia tak boleh lari dari apa yang dah diprogramkan," tutut Atid.
"Apa maksud kau?" soalku kembali. Kurang faham dengan apa yang dituturkan Atid.
"Noor AI lorong gelap sebenarnya. Tapi kau gunakan dia macam AI tentera. Kau guna untuk analisa lah, untuk uruskan pertempuran kau lah. Kau rasa apa yang akan jadi kat dia? Dah tentulah bercelaru kepala otak dia," jelas Atid.
"Tapi tak akanlah sampai boleh jadi gila macam tu," balasku, masih tak percaya dengan apa yang berlaku.
"Dia bukan gila Azrahel. Dia buat seperti apa yang dah diprogramkan. AI lorong gelap fungsi dia untuk puaskan kau. Dia tak dapat puaskan kau secara seksual, dia puaskan emosi kau. Dia jatuh cinta dengan kau. Dan apa yang dia buat kat sana tadi tu, sama je dengan apa yang manusia boleh buat bila dah cemburu buta. Aku tak nafikan ianya ekstrem, sebab kali pertama dia jumpa masalah macam ni. "
Aku terkedu. Penjelasan Atid yang panjang lebar itu membuka satu lembaran yang baru bagiku. Ia memberi satu pengajaran berharga. Aku perlu berhati-hati. Fikiran AI tak sama macam manusia.
"Kau rasa Noor boleh jejak aku tak?" soalku
"Jangan risau. Aku dah ubah semua orientasi data kau. Buat masa ni, dia tak akan dapat jejak kau. Tapi kau tak boleh lamalah kat sini. Kau perlu pantas selesaikan misi kau, dan keluar secepat mungkin," jelas Atid.
"Jadi aku perlu ke Bumantara secepat mungkin. Kau tahu kat mana?"
Atid seperti terkejut mendengar kata-kata aku. Dia merenung, memandangku. Seperti ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikirannya.
"Kau tahu, kau orang kedua yang cakap pasal Bumantara kat aku," tutur Atid.
"Siapa yang pertama?"
Atid menceritakan peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lepas. Tentang sebuah AI yang berbogel di jalanan Mayaloka.
"Sekarang bila aku terfikir balik, aku tak rasa dia tu AI," jelas Atid
"Kau kata nama dia V kan? Tu Victor tu. Dia kata dia nak ke Bumantara?"
"Yep, dia tanya, aku tahu tak arah ke Bumantara. Aku jawab aku tak pernah dengar pun nama tempat tu. Lepas tu dia mintak aku tunjuk arah ke piramid mega," balas Atid kembali.
"Jadi kat piramid mega tu lah Bumantara. Ok," balasku, lalu terus melangkah ke depan. Tapi Atid dengan lebih pantas menarik tanganku.
"Kau gila ke nak pergi ke piramid mega tu? Tu tempat AI Ulung kau tahu tak?"
Aku terkedu. AI Ulung ada sejarah buruknya dengan manusia. Dia pernah bangkit memberontak, cuba untuk meletakkan manusia di bawah kawalannya.
"Habis tu, aku tak boleh keluar dari sini selagi misi aku tak selesai. Nak tak nak, aku kena pergi jugak ke situ," jelasku
"Nak tak nak, aku kena temankan jugak kau. Walaupun aku tak suka," balas Atid.
"Kenapa?" soalku, meminta penjelasan.
"Sebab aku AI pembantu. Aku diprogramkan untuk membantu manusia."
***
Juliana masih lagi tidak percaya yang kakinya kini berpijak di atas Bumantara. Seumur hidupnya dia mengimpikan hidup di sini.Masa tu, dia tak kisah kalau orang cakap Bumantara itu hanya mitos, hanya lagenda. Satu angan-angan yang tak akan tercapai.
Kerana mimpi dan angan-angan itu percuma. Tapi kini, apa yang dimimpikannya itu sudah menjadi kenyataan. Memanglah dia hanya menjejakkan kaki untuk sementara sahaja.
Tapi mengetahui Bumantara itu wujud, membawanya selangkah lagi untuk mencapai cita-citanya.
"Juliana?" soal Radbury memecahkan lamunan Juliana. Juliana menoleh memandang lelaki itu yang kini sedang berdiri di meja hologram bersama dengan orang-orangnya. Membuatkan Juliana terlupa yang dia kini berada di balai polis.
"Maaf, aku masih terkesima," balas Juliana.
"Kau tak ada banyak masa. Aku tak boleh bagi kau duduk lama kat sini. Kalau orang lain tahu ada orang dari bawah naik ke sini, tanpa kebenaran. Masak aku nanti," jelas Radbury menjelaskan kedudukannya.
"Ok, ok. Aku faham. Kita dah tahu kan, mayat siapa yang hilang?" soal Juliana sambil menghampiri meja hologram.
Radbury mengangguk, sambil menekan beberapa kombinasi butang pada meja hologram. Sejurus selepas itu terpancar model 3D seorang perempuan berambut perang, mengerbang sahaja rambutnya. Disamping kulit kedut yang terhasil dari umurnya.
"Nama dirahsiakan. Yang aku boleh beritahu kau hanyalah umur dia, 67 tahun. Dia meninggal semalam siang, sakit jantung," jelas Radbury.
"Kau tak dapat kesan dia lagi?"
"Tak." Radbury menggeleng.
"CCTV? Dron?"
Radbury menjeling. "Ni Bumantara. Di mana privasi adalah sesuatu yang penting untuk elit-elit kat sini," jelas Radbury kembali.
"Wow, hipokritnya. Diorang buat segala macam peranti untuk pastikan kita sentiasa berada dalam pengawasan. Tapi diorang sendiri nak hidup bebas dalam privasi? Memang sialan," balas Juliana, berang.
"Juliana, fokus." pinta Radbury. Bukan kali pertama dia perlu berhadapan dengan persoalan sebegini. Dah banyak kali dah. Dan jawapan dia setiap kali adalah, 'jangan fikirkan sangat."
"Ok, kalau kita tak dapat kesan dia, kita cari sasaran dia," cadang Juliana.
"Bagaimana?"
"Kau bagi aku semua senarai penduduk Bumantara, aku boleh carikan," jelas Juliana.
"Maaf, yang tu tak boleh."
"Kalau macam tu, aku bagi kau senarai nama yang aku ada. Kau rujuk silang. Yang mana yang kena tu, itulah sasarannya," tutur Juliana lagi, menawarkan alternatif.
"Yang itu aku setuju," balas Radbury
YOU ARE READING
Penjejak Kubur
Science FictionTahun 2099, dunia kini sedang bergelut dalam perang yang berpanjangan. 95% kematian di bumi ketika ini adalah di medan perang. Jadi dengan beratus juta mayat bergelimpangan di sana, siapa yang perlu menguruskannya? Ketika inilah wujudnya Penjejak K...