" Kau rasa kita nampak apa selepas mati ye?" soal Raymond secara tiba-tiba. Aku yang tengah sedap menjamu mee sup hampir sahaja tercekik. Entah dari mana-mana datang soalan tu.
" Entah, sebagai orang Islam, aku percaya aku masuk syurga selepas mati," aku membalas, sambil menghirup air di sebelah, harapkan dapatlah lega sikit tekak aku yang perit ni.
" Orang macam kau masuk syurga?" soal Raymond kembali, sambil tersenyum sinis.
Aku mengeluh panjang. Raymond memang selalu keluar ayat tajam. Macam manalah aku boleh bersahabat baik dengan si mulut celaka ni.
" Bagi aku pula, aku rasa tak ada apa-apa untuk selepas mati. Kosong. Gelap. Itu je. Kita je yang hancur jadi debu,"tutur Raymond tanpa ditanya.
" Yelah, sebab kau atheist," balasku kembali.
" Macam mana lah aku tak boleh jadi atheist. Kau tengok jelah Bandar Kersani ni. Seluruh bandar ni macam setinggan. Sempit, kotor. Kiri kanan kau tak nampak lansung benda yang kau boleh suka. Dah tu kat luar tu pulak, asyik nak berperang je tak habis-habis. Dalam keadaan macam ni teruk pun kau boleh percaya Tuhan lagi?" soal Raymond kembali.
Kecik besar je aku pandang si pendek ni. Boleh pulak masa-masa macam ni dia nak berfalsafah. Dengan tindik kat hidung, tatu kat kepala, rambut warna pink. Jaket pun pakai denim yang koyak, seluar pun pendek, ada hati si Raymond nak berhujah.
" Dia bukan setakat percaya je Raymond. Percaya dalam Islam kita panggil iman, dan iman tu lah yang selamatkan aku kat luar sana," balasku kembali.
" Salah...yang selamatkan kau kat sana tu yang ada kat tepi tali pinggang kau tu," balas Raymond kembali.
" Kau nak aku keluarkan ke?" balasku kembali mengugut. Dalam hati memang aku dah lama dah nak acu pistol ni kat muka Raymond.
" Eh tak nak, tak nak. Aku tanya je, kau ni emosi pulak," balas Raymond, lalu menunduk kembali menandakan perbincangan mereka sudah pun berakhir.
Aku hanya mampu menggeleng, dan kembali menghabiskan mi sup di depanku. Tak lama selepas itu, si pelayan bar datang, membawakan secawan minuman.
" Martini, untuk kau Azrahel," tutur Michael, si pelayan bar.
" Siapa bagi?" soalku kembali.
" Tu, kau nampak tak perempuan yang pakai gaun merah tu?" soal Michael kembali.
Aku dan Raymond kedua-duanya menoleh. Jelas kelihatan di satu sudut, seorang perempuan sedang duduk berseorangan. Dia memakai gaun merah, kena sekali dengan rambut merahnya di atas kepala. Di lehernya tersemat indah sekalung rantai bertatahkan permata.
" Masuk Charon pakai barang kemas, siapalah yang bijak sangat tu," tutur Raymond, seperti biasa ada sahaja komen tajamnya.
" Korporat tu, dan maksudnya ada kerja untuk aku," aku membalas lalu bingkas bangun dan meletakkan Q-bit di depan pengimbas.
37,000 kredit
" Makan mi kosong pun dah 30,000 kredit? " monolog ku sendirian, tapi aku tak berani nak bersuara depan Michael.
" Weh, kau kata nak belanja aku makan?!" soal Raymond kembali, memprotes bila melihat aku hanya membayar untuk seorang.
" Tak jadi, mulut kau macam celaka," tuturku, menghirup martini, lalu terus berlalu pergi.
*********
Aku perlahan-lahan mengemudi ruang Charon yang sempit ini. Kiri kanan ada sahaja orang, sama ada yang duduk, yang sedang berdiri, atau sekadar berdansa mabuk.
Keadaan Charon yang sempit ini sesuai untuk orang setinggan macam aku dengan Raymond je. Jadi kehadiran wanita bergaun merah ini memang nampak janggal.
Orang selalu mencari aku untuk mencari sesuatu. Aku ni setakat jadi orang tengah. Sebab apa yang mereka cari ada kat luar sana. Tempat yang bahaya dan dibedil perang hampir setiap hari, maka akulah tempat mereka berpaut.
Mereka panggil aku Penjejak Kubur. Sebab aku perlu mengemudi kubur untuk mendapatkan mayat waris mereka. Yelah, dah dunia hari-hari berperang, kubur adalah medan perang.
Ada yang kata majoriti kematian di dunia pada ketika ini adalah kerana perang. Jadi orang-orang macam aku ni penting. Ditambah pula dengan lokasi Bandar Kersani ni yang strategik.
Dulu cikgu geografi aku pernah cakap, yang Bandar Kersani ni di bawah Empayar Aglican. Kita orang ni empayar terbesar dunia. Tapi malangnya Perikatan Tussaud dan juga Virsago Bersatu tak akan membiarkan Aglican terus bermaharajalela.
Jadi berterusanlah ketiga-tiga negara ni berperang. Sebab asal perang pun aku dah tak ingat dah, cikgu sejarah aku pernah cerita dulu, tapi yelah, siapa suka dengar orang membebel dalam Q-bit MAYA.
Dia mula cakap je, aku terus tidur, tak pun bukak lagu. Biarlah dia membebel dalam MAYA seorang-seorang. Aku lagi suka cikgu geografi.
Dia pun pernah cakap yang Kersani ni betul-betul letak dekat sempadan Tussaud. Yang bandar kita orang ni benteng terakhir sebelum Metropolis Indera. Jadi memang kat luar tu hari-hari dengar bunyi bedilan.
Tapi bila mana ada bedilan, di situlah ada kerja untuk aku. Jadi Kersani ni boleh kata macam lubuk rezekilah untuk aku. Tapi tak semua yang mampu bayar Penjejak Kubur macam aku ni. Sebab kerja aku bahaya
Medan kubur kat luar sana tu tak pernah lekang dari perang. Oleh sebab itulah,kebanyakan orang membiarkan sahaja mayat waris mereka di luar sana.
Yang mampu bayar pun kebanyakannya golongan korporat, jadi dari jauh lagi aku dah boleh agak dah apa yang perempuan bergaun merah tu nak.
" Cik.....?" tuturku bila sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Bila dah dekat baru nampak yang mata wanita itu merah, tangannya pula, memegang tisu.
" Puan," tutur wanita itu membetulkan," Puan Regina Kohler, " sambungnya lagi.
" Boleh saya duduk?" soalku. Regina mengangguk.
" Apa yang boleh saya bantu?" soalku kembali, pantas.
" Saya nak awak cari suami saya,"
YOU ARE READING
Penjejak Kubur
Science FictionTahun 2099, dunia kini sedang bergelut dalam perang yang berpanjangan. 95% kematian di bumi ketika ini adalah di medan perang. Jadi dengan beratus juta mayat bergelimpangan di sana, siapa yang perlu menguruskannya? Ketika inilah wujudnya Penjejak K...