Suatu hari. Bila ditanya tentang hikmat dan kuasa adiwira yang dia idamkan. Dia tersenyum dan menjawab.
"Aku mahu kuasa untuk merentasi setiap cermin yang ada di dunia ini, supaya sekiranya aku rindu, aku boleh intai dan masuk kedalam mimpi setiap orang yang aku sayang, tanpa mengganggu perjalanan hidup seharian mereka. Seolah-olah aku ini halimunan, tapi sebenarnya tidak."
"Tapi kan media sosial sudah membolehkan kita membuat apa yang kau cakapkan tadi? Mengintai jiwa dan merasai perasaan orang tanpa perlu bersentuhan atau bertentang mata."
"Aku tahu, tapi ia tak sama."
"Jadi maksud kau, kau mahu hidup didalam cermin?"
"Ya. Tapi aku takut kalau cermin-cermin itu tiba-tiba retak seribu, disebabkan aku."
"Kenapa?"
"Aku takut aku sendiri yang pecahkan, kerana tak dapat menerima kenyataan sekiranya ada perubahan pada orang-orang yang aku sayang."
"Betul. Kau takkan dapat menghalangnya. Walaupun punya kuasa, tapi kau masih lagi manusia."
"Aku tahu. Sebab itu kuasa yang aku ada itu lambat laun akan membunuhku. Tapi ya, atas sebab yang sama, kerana aku juga masih lagi manusia: sentiasa punya rasa untuk mengawal dan menawan dunia, walaupun aku tahu yang aku takkan mampu."
Kemudian dia diam.
"...dan satu lagi."
"Ya?"
"Cemburu."
Kata dia, sambil ketawa besar.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pagi, dan ritualnya.
NouvellesDengan tenang, itik berenang. Kalau lu cari bijaksana, memang tak ada. Nama pun "bijak-sana". Mesti la kat sana, kan? Kalau tak, memang gua dah lama petik "bijaksini".