Nana.

137 7 2
                                    

"Abang ni nama siapa? Satu kelas dengan kita kan?" Tanya dia, waktu pertama kali aku mengenali dia, pada tahun 2001.

Itu mukadimah sebelum kami menjadi kawan, kemudian dari kawan jadi sahabat. Orangnya kecil molek. Cilik tapi hati kering. Baik pekertinya, sentiasa tersenyum. Kalau ada masalah, dia akan pastikan yang dia akan tolong sampai habis. Dan disebabkan itu dia merupakan kesayangan beberapa orang pensyarah seni kerana kepetahan dia bercakap.  Selalu jadi teman kala nak berbicara soal hati atau hal-hal yang merepek. Macam mak-mak kalau beri nasihat. Kadang-kadang boleh juga bernanah telinga menahan kalau dia mula berleter. Tapi dia baik hati dan tak lokek budi.

Pernah sekali, waktu Kak Ramnah perlukan orang untuk berlakon teaternya, dia tampil untuk membantu. Tapi wataknya cuma watak tambahan, sebagai budak sekolah yang lalu lalang dalam naskah "Kena Main". Tapi dia suka, sampai hari-hari dia bercerita tentangnya. "Best wo jadi budak sekolah balik. Korang dah tak boleh dah. Nyehhh"

Dan kerana saiz badannya yang cilik itu, tak habis-habis dia kena usik dek kami. "Alah, Nana. Hang tu kecik. Hang sembunyi balik pasu pun lepas aih. Orang susah cari." Dia cuma senyum. Paling kurang, dia cakap "Jahatnya korang eiiii" atau "Kuang hajooo!" Sambil gelak gelak. Tak pernah ambil hati sekiranya kawan-kawan nakal mengusik.

Kami grad setahun lambat kerana masing masing kantoi beberapa paper. Jadi kami jadi rapat dan bila tiba waktu grad, batch kami yang betul-betul cuma ada 8 orang. Pahit manis semuanya bersama. Kemudian masing-masing bawa haluan masing-masing, cuba nasib untuk berdikari selepas grad. Dalam sibuk bekerja, ada masa kami berhubung. Tapi dia yang paling beria kalau nak ajak berjumpa. Masih cuba nak adjust untuk kawan-kawan lepak walaupun sibuk bekerja, dan cekalnya dia sampai kadang-kadang aku malu dengan diri sendiri. Yelah, masa 2006 dia kerja kedai printing dekat Jalan Pudu dengan gaji bersih cuma rm700 dan still boleh survive. Pergi mana-mana naik tren dan bas, tapi masih boleh senyum dan sampai kalau berjanji nak jumpa di mana-mana. Jarang orang boleh ikat perut macam tu. Sedangkan pada waktu itu kami yang bekerja jauh lebih mudah dan gaji selesa pun punya masalah yang macam macam.

Mungkin dia lebih menghargai nilai persahabatan jauh dari aku.

Kemudian dia bertukar dari satu kerja ke satu kerja, untuk kehidupan yang lebih baik. Dan dari dia seorang diri, bertemu pilihan hati dan kemudian menjadi kekasih, kemudian suami isteri, kemudian jadi bertiga, sampai jadi berempat. Dapat rasa sedikit bahagia. Hingga Allah uji dengan ujian yang paling besar.

Kanser payudara dan kanser tulang.

Kelu kami semua.

8 bulan berlalu.

Khamis pagi tadi, kau dijemput olehNya dan jujur, aku terkilan kerana tak sempat bertemu denganmu. Tak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal. Terima kasih kerana mengajar aku sedikit sebanyak tentang duniamu, tentang kekuatan, tentang sabar. Harap-harap nanti kita akan bertemu semula, Nana. Kirim salam kawan-kawan di sana. Aku akan menyusul nanti. Al-Fatihah.

Pagi, dan ritualnya.Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang