Kali terakhir aku melihat ayah menangis adalah ketika mak meninggalkan kami semua akibat kanser leher, dua puluh tahun lepas. Mungkin itu sahaja jalan yang terbaik: dengan menyerahkan semua takdir dan nasib pada Tuhan dan meredhakan pemergian itu. Mungkin kerana terlalu lama penderitaan yang ditanggung oleh orang yang dia paling sayang. Terlalu lama, hingga dia sendiri hampir tewas dengan dirinya. Mungkin betul peribahasa, "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya."
Tapi ayah redha, walaupun di balik pintu aku terdengar dia meraung teresak-esak dalam tangis, berbahasa hingga tak jelas butir. Namun tak lama kemudian, dia kumpul semua kekuatan yang ada dan simpan semua kesedihan itu jauh dari pandangan kami. "Hidup harus terus" katanya sambil kutip dan teruskan saki baki hidup, satu demi satu. Walaupun tak serupa seperti sebelumnya, namun dia cuba sebaik yang mungkin. Kagum aku melihat semangat ayah. Dan sejak itu, aku tak lagi melihat dia menangis.
Namun semalam, ada berita mengejutkan tentang kematian seorang teman. Aku menunduk, kebingungan. Lantas aku beritahu ayah kerana perlukan jawapan. "Sabarlah. Redha. Kita semua disini hanya menunggu waktu giliran. Untuk pulang, ke pangkal jalan." Katanya kepadaku, perlahan sebelum ke bilik air mengambil wuduk.
Dan di sebalik pintu, aku terdengar dia kembali menangis.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pagi, dan ritualnya.
Short StoryDengan tenang, itik berenang. Kalau lu cari bijaksana, memang tak ada. Nama pun "bijak-sana". Mesti la kat sana, kan? Kalau tak, memang gua dah lama petik "bijaksini".