"Sooooo. Berapa lama lagi kau nak duduk dalam kepompong kau tu? Dunia dah banyak berubah ni. Atau kau perlu masa lagi?"
Suatu masa dahulu, kau bertekad kepada diri untuk jadi dewasa sedewasanya. Kerana dengan kedewasaan, tak ada kongkongan atau limitasi ke atas diri kau. Kau punya kuasa total ke atas dirimu, dan segala keputusan adalah di tanganmu. Kau boleh ke sini dan ke sana, bergembira, berpesta, bermain cinta dengan sesiapa sahaja. Dan kalau patah hati pun, esok lusa baik lah. Harimu sentiasa dalam kawalanmu, kerana kau yang memilih. Kawan pun keliling pinggang. Semuanya menarik, segalanya indah: Lalu kau berfantasi dan berfantasi lagi, hingga kau jumpa dinding limitasi dan kau pecahkan, lagi dan lagi. Namun, kau lupa yang kau sedang melalui hidup dengan pantas dan bila tiba satu masa kau menyedarinya, kau telahpun terlepas semua zaman gemilangmu itu.
Lalu kau buntu. Bingung dengan sisa umurmu yang sekarang, kau kejar semula semua yang tercicir. Mana sempat kau capai, kau ambil. Kau mengejar sesuatu yang tidak terkejar. Hingga satu hari kau jatuh tersandung, tersembam muka dahulu dari fantasi dan terus ke dunia realiti. Dunia dimana ianya tak seindah imajinasi-imajinasi remajamu. Ianya kejam dan tidak pernah ada maaf. Lalu kau jadi phobia, paranoid dengan dirimu sendiri dan kemudian dengan segala kekuatan yang ada, kau salut dirimu kepompong dan sembunyikan dirimu, jauh dari semua orang.
Itu, ceritanya. Sudah aku tulis semuanya kisah hidupmu. Jadi berbalik kepada pertanyaan yang mula-mula tadi. Macam mana?
KAMU SEDANG MEMBACA
Pagi, dan ritualnya.
Short StoryDengan tenang, itik berenang. Kalau lu cari bijaksana, memang tak ada. Nama pun "bijak-sana". Mesti la kat sana, kan? Kalau tak, memang gua dah lama petik "bijaksini".