Hujan rahmat turun mencurah-curah pada malam itu sama seperti sebelumnya. Ia amat melenakan tidur kerana kedinginan menyelubungi tubuh. Yazid Shahidin masih lagi bersengkang mata merenung siling bilik dalam keadaan gelap gelita. Sekali-sekala dia akan memandang Shamsul Azim yang sedang lena tidur di katil sebelah tidak bergerak. Dia pula langsung tidak dapat melelapkan matanya. Banyak perkara yang bermain dimindanya pada ketika itu. Buat seketika, dia sudah mula lupa pada tujuan asalnya datang ke madrasah itu. Niatnya adalah untuk mendapatkan kembali cinta hatinya, Fatimah Az Zahra, yang dihantar ke situ untuk mengikut tunangnya. Tapi dia dapat rasakan satu perubahan yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Dia tertarik pada budaya di situ yang boleh dikatakan amat berbeza dengan gaya hidupnya sebelum ini. Budaya yang sepatutnya diamalkan sejak dulu lagi.
Yazid bingkas bangun dari katilnya. Dia memandang Shamsul sekali lagi yang sedang tidur kemudian menghidupkan lampu mejanya perlahan-lahan. Dia menarik nafas lega kerana tidak mengejutkan lelaki itu kemudian mencapai sebuah buku yang Shamsul pinjamkan padanya beberapa hari yang lalu iaitu, 'MARI BELAJAR SOLAT DAN KETAHUI MANFAATNYA'. Dia tidak tahu dari mana hendak mula mempelajari budaya di situ. Solatnya masih belum dapat dilaksanakan dengan baik. Baca surah Al-Fatihah juga belum tentu betul tajwidnya. Kadangkala dia rasa malu pada orang lain terutama Shamsul, rakan sebiliknya itu. Dia hanya menjadi 'pak turut' setiap kali solat tanpa tahu apa yang perlu dibuat. Dia langsung tidak tahu rukun dan bacaannya.
"Sampai bila nak tenung buku tu.?"
Yazid tersentak mendengar suara yang tiba-tiba memecah kesunyian malam itu. Dia memandang Shamsul yang kini sudah bangun dari katil. Shamsul menggosok-gosok mukanya kemudian memandang Yazid.
"Maaf... Saya buat awak terbangun ke.?" Yazid menjadi serba salah.
Shamsul tersenyum manis dengan wajah yang masih mamai. "Tak ada lah. Saya memang terbangun."
Yazid menarik nafas lega. Dia tidak tahu sama ada itu betul atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya lelaki itu tidak kisah.
"Buku apa yang awak baca.?" Shamsul memandang buku yang berada ditangan Yazid.
Lelaki itu kelihatan menggelabah kemudian menunjukkan muka depan buku yang dipegangnya itu kepada Shamsul. Shamsul segera mengukir senyuman lebar. "Alhamdulillah."
Yazid hanya melemparkan senyuman tawar. Dia tidak tahu sama ada dia patut dipuji atau apa.
"Kenapa ni.?" Shamsul mula perasan riak wajah Yazid yang tidak gembira.
"Tak ada lah, tapi..." Yazid tunduk seketika cuba menyusun ayat tidak yakin. "Saya malu."
"Malu pasal apa.?" Shamsul mengerutkan dahinya.
"Kamu semua pandai solat. Saya je yang tak pandai. Baca Al-Fatihah pun tajwid tak betul lagi."
Shamsul tersengih seketika. "Tiada perkataan terlambat untuk mula belajar, Yazid. Masih boleh lagi."
Yazid tidak bersuara. Dia hanya merenung kulit buku yang dipegangnya itu.
"Memang tak pernah solat ke sebelum ni.?" Tanya Shamsul tenang. Matanya kini sudah segar.
Yazid memandang Shamsul teragak-agak. "Solat jumaat kot. Tu pun saya tak tahu bila kali terakhir."
"Allahuakhbar."
Yazid mendengus perlahan. Dia tahu terlalu banyak dosa yang dia lakukan sebelum ini terutamanya meninggalkan solat lima waktu, ibadah yang menjadi tunggak utama untuk umat Islam.
YOU ARE READING
Hanya Di Dalam Doa ✔
SpiritualeBerdasarkan kisah cinta yang mengikut cara Islam. Ia mengandungi lapan kisah yang digabungkan dalam cerita ini dan masing-masing saling berkaitan. Setiap kisah mempunyai mesej yang tersendiri. Ia bermula dengan dua adik beradik yang masuk ke madrasa...