Keadaan sunyi sepi di dalam bilik mesyuarat itu. Ketegangan amat jelas dirasai. Ustazah Hadizah duduk di bahagian paling hadapan diiringi dengan Nur Amirah Hasanah di sebelah kirinya dan juga Sukarnain Muksin di sebelah kanannya. Miezza Nina Ashikin duduk berdiam diri sejak tadi tidak bercakap. Dia hanya menggenggam erat kedua-dua tangannya dari bawah meja berusaha menahan menangis dan segala perasaan yang datang. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyatakan rasa bersalahnya pada ketika itu.
Farra'Ain Wardina duduk di sebelahnya dengan dahi sedikit berkerut. Sekali sekala dia akan memandang Miezza kemudian berpaling pula ke sebelah kirinya untuk memandang adik kandungnya, Sarra'Ain Waheeda. Dia agak tersepit di dalam situasi itu. Sengaja diletakkan di bahagian tengah agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Anas Zulfiqar duduk betul-betul di hadapan mereka. Posisinya sama dengan Miezza. Rasa bersalah menguasai mereka. Dia hanya tunduk kaku tidak tahu hendak berbuat apa.
"Ustazah buat perjumpaan ni bukan niat nak membuka aib atau memalukan sesiapa..." Ustazah Hadizah bersuara lembut ditengah-tengah ketegangan itu. "Ustazah nak selesaikan perkara ni."
Tiada seseorang pun yang menjawab atau bergerak walau sedikit pun kecuali Farra yang kelihatan agak bingung. Gadis itu kelihatan tidak berapa senang duduk di dalam situasi itu.
"Kejadian baru-baru ni dah menjadi buah mulut orang ramai."
Kenyataan itu membuatkan mereka sedar apa perkara itu. Ia adalah kejadian di mana Sarra naik angin apabila mengetahui kebenaran mengenai tunangnya, Zulfiqar dengan Miezza.
"Ustazah tak nak perkara ni jadi macam ni." Ustazah Hadizah bersuara lagi. "Ustazah nak kamu selesaikan dalam ni dan jangan ubah apa-apa di luar nanti."
Masih tiada sesiapa memberi reaksi. Hanya Farra, Sukarnain dan Amirah sahaja yang seperti mendengar di situ, manakala yang lain hanya jasad berada di situ dan roh mereka di tempat lain.
"Apa yang saya tahu ini masalah Zul dengan Sarra." Sukarnain mencelah perlahan. "Dan Miezza terlibat sama ada secara langsung atau tidak."
Mendengar kenyaan itu, Miezza semakin menggenggam erat kedua-dua tangannya yang agak menggeletar.
"Saya dan Amirah berada di sini adalah sebagai ketua kamu..." Sukarnain memandang ketiga-tiga nama yang disebutnya itu satu-persatu. "Dan Farra pula sebagai kakak kepada Sarra."
Farra hanya mengangguk tanda faham. Amirah ada memberitahunya mengenai hal itu sebelum perjumpaan itu diadakan bagi mengelakkan salah faham berlaku. Akan tetapi, dia tidak tahu apa-apa mengenai kejadian baru-baru itu.
"Jadi sekarang..." Ustazah Hadizah meletakkan pen yang dipegangnya dari tadi lalu bersandar di kerusi dan memandang Zulfiqar. "Zul..."
Zulfiqar agak tersentak seketika apabila mendengar namanya dipanggil.
"Saya nak dengar awak beri penerangan." Arah Ustazah Hadizah serius.
Zulfiqar berdehem lalu mengangkat mukanya perlahan-lahan dan memandang Ustazah Hadizah. "Apa Ustazah nak saya terangkan.?"
"Apa kaitan awak dengan dua gadis ni dan semua cerita yang menimbulkan salah faham ni." Sukarnain menjawab bagi pihak Ustazah Hadizah.
Zulfiqar menarik nafas panjang. "Sarra adalah tunang saya."
Sarra mengangkat mukanya untuk memandang lelaki itu bercakap. Farra turut memandang Zulfiqar, manakala Miezza hanya tunduk kaku tidak bergerak.
"Dah lama." Sambung Zulfiqar. "Dah beberapa tahun. Kami dijodohkan oleh keluarga saya sebab mahu Sarra benar-benar menjadi ahli keluarga kami."
YOU ARE READING
Hanya Di Dalam Doa ✔
SpiritualeBerdasarkan kisah cinta yang mengikut cara Islam. Ia mengandungi lapan kisah yang digabungkan dalam cerita ini dan masing-masing saling berkaitan. Setiap kisah mempunyai mesej yang tersendiri. Ia bermula dengan dua adik beradik yang masuk ke madrasa...