Seuntai rasa ditengah pekatnya malam

1K 50 4
                                    

Sesekali tuan, cuba kau susuri lorong sempit lagi sunyi di celahan bangunan.

Dan beritahu pada aku apa yang kau ketemu.

Nampak kah akan mata tuan sekujur tubuh yang tidur cuma beralaskan sekeping kotak. Tiada selimut, entahkan berapa ekor nyamuk yang sudah menghisap tubuh kering itu. Nyenyak tidurnya umpama tiada masalah.

Teruskan lagi perjalanan mu tuan. Nampak kah akan mata tuan satu sosok kering yang sedang asyik merenung bintang dilangit. Matanya sembab, wajahnya cengkung. Pernah ketika satu malam, aku hulur makanan kepada dia, terus dia menangis. Lalu aku ikut menangis. Mengenangkan aku yang cukup segalanya tapi masih ada mereka yang diluar sana yang serba kekurangan.

Lalu tuan, cuba kau lawati pula rumah-rumah anak yang tidak bernasib baik. Kau lihat bagaimana mereka lalui hidup dalam kekurangan. Dan cuba kau bayangkan bagaimana hidup mereka jika tiada rumah-rumah perlindungan ini.

Tuan, aku bukan apa. Aku lihat kamu terlalu asyik dengan program berimpak besar yang kamu kelola. Jumpa menteri sana sini. Berkot dan berkemeja. Ya, tuan segak sekali. Dan kerana kamu berkot dan berkemaja, semua mesti dengar kata-kata kamu. Sedang cerdik pandai yang dijalanan ini, kamu pandang umpama sampah yang tiada nilai. Bukankah ijazah terbaik itu datangnya dari jalanan yang kotor dan penuh debu? Tapi kalau kamu rasa dari bilik yang berhawa dingin wangi dan selesa. Tak mengapa. Kita masing-masing punya pandangan sendiri.

Cuma tuan, aku ingin tahu. Bagaimana ya rasanya duduk diatas dan lihat orang dibawah masih ditindas?

Tulisan-tulisan patahWhere stories live. Discover now