Masuk kali ini, sudah kali yang keberapa aku terserempak dengan dia, aku sendiri tidak ingat. Yang aku tahu tiap kali aku nampak dia, dia selalunya keseorangan.
Aku lihat dia didalam train. Ketika yang lain sedang sibuk bersama gadjet masing-masing, gadis ini sedang ralit melihat pemandangan diluar. Meski ada tempat kosong, dia tetap akan memilih untuk berdiri di penjuru pintu memandang ke luar tanpa berkelip, entah apa agaknya yang difikirkan, aku tidak tahu. Diketika yang lainnya, jika tidak berdiri melihat pemandangan diluar, dia aku lihat khusyuk membaca buku yang dibawanya.
Pernah aku terlihat dia di tepi jalan, sedang menunggu untuk melintas jalan barangkali. Tapi malangnya kereta-kereta seolah tiada simpati, terus memandu laju tanpa sedikit pun mahu memberi laluan. Tetapi aku lihat dia masih tenang, dia cuma menunggu kereta reda, sambil kaki menguis-nguis jalan raya dan pandangan yang terus tertumpu ke dada langit. Melihat bintang-bintang suram yang sepertinya tidak sudi menemani dia. Bulan juga, seolah-olah menyembunyikan diri tidak mahu diperhati.
Dan aku terlihat lagi dia, di dalam sebuah kedai buku. Dia sedang tenggelam bersama keasyikan membaca buku, menikmati bau-bau buku baru yang padanya cukup menenangkan. Dan kemudian, aku terlihat lagi dia, didalam bas menuju ke rumahnya mungkin. Dia seperti ada didunianya sendiri, merenung ke luar jendela bas, menikmati pekat malam yang dingin.
Kali ini, aku kebetulan berada dekat dengan gadis itu. Di dalam keriuhan orang ramai, dia cuma diam menunggu bas tiba. Aku lihat wajahnya biasa-biasa sahaja, tiada ekspresi. Dan juga tiada senyuman. Aku kerling kearahnya dan aku tergamam.
Kenapa wajahnya persis seperti---
--wajah aku?
YOU ARE READING
Tulisan-tulisan patah
PoetryTiada apa di sini. Duduklah di sisi jendela, menikmati alam yang sedang kehujanan dan menghirup secawan kopi bersama bait-bait kata yang sedang kepatahan.