Untuk ayahanda yang punyai hati seperti angkasa

200 8 0
                                    

Aku lihat dia makin dimamah usia. Kerutan diwajah makin jelas kelihatan. Lelah barangkali seusai kerja dan kemudian harus menempuh satu jam perjalanan pulang ke rumah menunggang motorsikalnya. Aku lihat dia makin menua, rambutnya kian berkurang, dia cepat lesu, urat-urat dilengannya yang berselirat jelas timbul.

Hari ini setelah sekian lama, aku berada lagi dibelakang abah, diatas motor kesayangannya. Baru beberapa minit perjalanan, langit mulai kelabu, guruh berdentum kuat, petir menyinggah sekali. Dan kemudian hujan turun sikit demi sedikit dan semakin lebat. Sosok kesayanganku ini perlahan-lahan memberhentikan motornya ditepi jalan, kemudian menghulur baju hujan pada aku dan dengan perlahan dia menyarung baju hujan ketubuhnya. Aku perhatikan dia. Dia sudah tidak segagah dahulu. Waktu dulu yang mana dia masih mampu mengangkat aku yang ketiduran didepan televisyen lalu dikendong masuk ke dalam bilik. 

Beberapa minggu yang lalu, ketika aku pulang kerumah dan semuanya ada, dia tanyakan pada anak-anaknya, "Apa bisa abah pencen tahun hadapan?" Pertanyaan yang bikin hati aku sebak. Bukan kerana apa tapi seharusnya soalan itu tidak perlu dituju pada kami anak-anaknya ini. Tetapi pada dirinya sendiri. Aku tahu abah sudah penat, hampir 30 tahun berulang-alik dari Ulu Yam ke Kuala Lumpur yang memakan masa satu jam bukanlah hal yang mudah. Aku saja pernah menangis waktu pertama kali membonceng abah. Pinggang lenguh, punggung kebas. Apatah lagi dia yang makin menua.

Abahku yang punyai hati seluas angkasa, yang baiknya dia, luhurnya dia, semua orang tahu. pernah nenekku berpesan suatu ketika dahulu, "Nanti hendak bersuami, cari orangnya yang seperti abah, tidak banyak bicaranya tapi punya hati yang sangat baik." Kalau dulu aku tidak mengerti mengapa tapi sekarang aku kira, aku tahu.

Abahku, orang yang paling mengutamakan keluarganya. Dia tak banyak bicara tapi orang-orang menghormatinya. Dia tidak pernah makan diluar tanpa ada keluarganya. Kadang pulang lewat dari kerja bagaimana sekalipun, dia tetap akan makan dirumah. Walau ketika bulan puasa, dia boleh sahaja makan dahulu di hotel semasa berbuka, tapi tetap juga dia akan makan dirumah. Ada ketikanya azan berkumandang tatkala dia masih diatas motor, dia akan berhenti tepi jalan makan sebiji dua kurma dan seteguk-dua air sahaja, lalu diteruskan perjalanan pulang ke rumah.

Abahku yang berhati angkasa. Pernah suatu ketika dia sudah kekeringan duit, sudah hampir tiba dihujung bulan dan ketika itu juga dia baru sahaja selesai menghantar aku pulang ke johor. Dan ketika itu adik iparnya meminta pertolongan untuk meminjam sedikit uang bagi keperluan anaknya yang juga mahu pulang ke universiti. RM 50 yang cuma abah aku ada itulah yang diberikan dia pada adik iparnya.

Ahh kalau mahu diceritakan semuanya tentang abah, tidak mungkin cukup seluruh kata ini. Terlalu banyak dan tak tergambarkan.

Abahku yang berhati angkasa,

Moga Tuhan masih sudi memanjangkan usia dia, hingga aku mampu berikan seluruh kebahagiaan pada dia. 

Hujan lebat, basah kuyup, tangan kecut--

--dan aku memeluk dingin kenangan-kenangan bersama abah.

Tulisan-tulisan patahWhere stories live. Discover now