Wana dipandang sekilas. Bibir teragak-agak ingin meluahkan kata-kata. Soalan Qisya siang tadi bagaikan bergema dalam kotak fikirannya.
“Kenapa kau tak cuba buka hati kau untuk mana-mana perempuan?”
Saat itu entah mengapa nama Wana terlintas di hatinya. Patut ke dia cuba untuk menerima Wana? Sekali lagi, Wana dipandang. Wanita itu tidak kurangnya cantik juga. Tingkah pun sopan sahaja.
“Farhannah Shafwana,” panggil Farhan. Wana yang mendengar namanya dipanggil mengerutkan dahi. Langkah diatur ke arah Farhan.
“Ya?”
“Jom kita bercinta,” ajak Farhan.
Mimik muka Wana jelas terkejut. Buang tabiat agaknya kawan abang dia ni.
“Encik dah kenapa?”
“Saya cuba buka hati saya untuk awak. Jom cuba bercinta.”
Wana lorek senyuman manis. Kepala diangguk sebagai tanda bersetuju.
Tuk! Tuk! Tuk!
Gedebuk!
Farhan jatuh tergolek dari sofa. Dengan mamainya, dia berjalan pergi membuka pintu rumah sewa. Terpampang wajah Tengku Ahmad dan Puan Zulaikha. Tidak bercakap banyak, Farhan mempelawa mereka masuk ke dalam.
“Mama dengan papa datang melawat Farhan ke?” soal Farhan. Tubuh dibaringkan di atas sofa semula. Mengantuk sungguh setelah memandu berjam-jam semalam.
“Mama nak cakap sikit dengan Han.”
“Cakaplah.”
“Farish nak jalani pembedahan.”
“Haa!” Terduduk Farhan dengan muka terkejut.
“Bila lagi dia setuju? Bila tarikh dia buat pembedahan?” soal Farhan. Dalam hatinya sudah mengucap kata-kata syukur. Nampaknya pertemuan dia dengan Fatisha bukanlah sia-sia. Gadis itu sudah berjaya memujuk kembarnya!
“Minggu depan. Semalam mama telefon Farhan nak bagitahu, tapi telefon Farhan mati. Mama datang sini, tak ada orang pula. Farhan pergi mana?”
“Terengganu ma. Salah seorang penjenayah dah ditemui. Ini pun, Farhan baru sampai dekat subuh semalam. Mengantuk!”
“Patutlah. Papa suruh uruskan syarikat tak nak. Duk buat kerja ni juga. Pergi sana, pergi sini. Main dengan senjata bahaya pula tu,” bebel Tengku Ahmad.
“Farhan suka bergerak. Tak suka duduk atas kerusi lama-lama.” Bibir dijuihkan. Kalau dengan Tengku Ahmad, telinga dia memang tak lepas makan bebelan lelaki itu. Mengalahkan Puan Zulaikha membebelnya!
“Sudahlah pergaduhan tak matang bapa dan anak ni. Mama nak pergi luar negara dengan papa. Nak uruskan Farish. Arshad cakap dia tak nak ikut. Budak tu esok baru balik. Han tolong tengokkan.” Ujar Puan Zulaikha.
“Han sibuk. Mama bawa jelah budak tu pergi sekali.” Farhan rebahkan tubuhnya kembali.
Tidak semena-mena sisi punggungnya ditampar kuat oleh Puan Zulaikha.
“Asyik sibuk je! Tengok seorang adik yang dah besar macam tu pun tak boleh. Nanti isteri nak jaga macam mana? Mama cubit nanti baru tau!” Marah Puan Zulaikha.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...