Syah kecilkan mata. Seawal enam pagi seperti ini, ada sebuah kereta di hadapan rumah Wan Deejah. Bila diperhatikan betul-betul, macam kenal sahaja kereta milik siapa.
“Tengok apa?” Sergah Qisya bersama pukulan kecil di bahu. Terhinjut bahu Syah dibuatnya. Dada diusap seraya menoleh.
“Tu, kereta tu. Aku pergi tengok jap.” Kain pelikat yang dirasakan melonggar diikat kemas. Setelah itu, selipar disarung lalu dia bergerak ke kereta tersebut.
Syah mengetuk cermin tingkap seketika. Dapat dia nampak dalam samar-samar Farhan sedang tertidur lena. Selang beberapa saat, cermin tingkap diturunkan.
“Buat apa tidur dekat sini? Kenapa tak masuk dalam?” Syah bercekak pinggang.
“Aku sampai lewat. Malas nak bangunkan orang dalam rumah.” Mata ditenyeh menghilangkan kabur. Farhan keluar dari kereta setelah itu. Badan digeliatkan puas. Penat.
“Mari masuk. Dah subuh ni,” kata Syah.
Mereka berjalan masuk ke dalam. Sempat Farhan berselisih dengan Wana di pintu bilik. Isterinya itu laju sahaja menutup pintu seolah-olah tidak melihat dirinya.
“Ha, Farhan! Bila sampai?” Wan Deejah yang kemas bertelekung menyoal. Ceria air mukanya ketika ini. Gembira melihat susuk tubuh Farhan di hadapan mata.
“Dekat pukul 4 pagi rasanya.”
“Ya Allah.... Lewatnya. Buat apa datang lewat-lewat malam sampai pagi buta macam ni? Bahaya bawa kereta malam-malam tau? Tak mengantuk ke?”
“Ashraff pun datang sekali, tapi dia dah balik dekat rumah dia. Han cuti hujung minggu sehari je ni tok wan. Malam nanti kena balik KL semula sebab esok kerja.” Farhan tersengih.
Wan Deejah terkelu. Balik untuk sehari je? Tak penat ke pandu berjam-jam datang, balik pun sama? Dia yang dengar saja pun rasa penat.
“Farhan pergi ambil wuduk dulu tok wan,” pamit Farhan. Sesekali dia mengurut belakang tengkuk. Tidur dalam kereta memang menambahkan rasa penat.
Sejadah dihampar. Qisya duduk seketika menunggu kehadiran Wana dan Farhan. Sesekali matanya mengerling ke arah Syah yang berada di hadapan pintu Wana.
“Wana, dah siap ke belum?” Soal Syah bersama ketukan. Dia menunggu seketika, menanti balasan daripada adiknya.
Saat pintu terbuka, langkah diatur menghampiri Wan Deejah. Sempat dia memerhati Farhan yang meraup wajah di belakangnya. Masing-masing mula mengambil posisi untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim.
Beberapa minit berlalu. Tangan yang ditadah, diraup ke muka mengaminkan bacaan doa. Tanpa memandang, tangan Farhan disalam oleh Wana sebaik sahaja dihulurkan. Tingkahnya laju melipat sejadah untuk lari ke bilik. Dia belum cukup kuat mahu bertentang mata dengan Farhan.
“Wana.”
Mendengar nama dipanggil, Wana hentikan langkah. Air liur ditelan sebelum dia menoleh ke belakang. Wajah Farhan dipandang, namun laju dilarikan ke arah lain.
“Kenapa?”
“Farhan nak....”
Terhenti percakapan Farhan apabila telefonnya berbunyi. Sekilas mata memandang ke arah meja di mana telefon dia berada. Siapalah yang menelefon subuh begini?
Nafas dihela apabila telefonnya berbunyi sekali lagi. Pemberitahuan mesej tidak henti-henti masuk setelah deringan panggilan terhenti. Apa bendalah agaknya yang penting sangat sampai mesej dan telefon tidak henti?
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...