Jari jemari dan mata Wana bergerak perlahan. Berat dirasakan mata mahu membuka, namun Wana tidak putus asa mencuba. Buka sahaja mata, siling putih menyapa pandangan. Wana dapat mengagak di mana dia berada.
Perlahan, mata dikalihkan ke tepi. Tiada sesiapa berhampirannya. Tangan cuba digerakkan untuk bangun, tetapi gerakkannya terhenti tatkala mendengar derap kasut seseorang.
Susuk tubuh Qisya dan Syah dilihat sebaik sahaja pintu wad dibuka. Namun, keadaan mereka tidak terlihat baik. Qisya sangat berang saat ini manakala Syah tidak putus-putus memujuk.
"Sanggup dia cakap macam tu! Kau tak patut halang aku, Syah! Elok aku cilikan je mulut sorang-sorang. Berani mereka cakap benda tak elok pasal Wana! Aku baru bagi penampar tau! Belum lagi kaki aku naik dekat muka diorang," marah Qisya.
"Jangan marah dah. Kau buat kecoh macam ni, tak pasal-pasal kena gantung kerja."
"Aku geram la. Eee!" Bahu Syah menjadi sasaran pukulannya. Tak dapat lepaskan geram dekat orang sepatutnya, lepas dekat Syah pun jadilah.
"Ya, aku tahu kau geram." Qisya ditarik masuk ke dalam pelukan. Biar isterinya itu menenangkan diri sebentar. Marah sangat jururawat bercakap buruk pasal Wana.
"Ops!" Farhan yang baru mahu masuk ke dalam kembali menutup pintu. Selang beberapa saat, dia masuk semula.
"Nak cakap salah masa, tak betul tu. Ni bukan bilik hotel yang kau orang berdua nak bermesra. Ni wad tau. Isteri aku ada dekat dalam," ujar Farhan.
Syah mendecit.
"Yalah. Aku cau dulu." Qisya ditarik pergi. Bagi ruang untuk Farhan dan Wana sekejap memandangkan hari ini Farhan akan pulang.
Wana yang tersenyum nipis mendengar kata-kata Farhan, terus memadam reaksi. Mata ditutup semula, mahu mendengar apa yang Farhan katakan serta lakukan saat matanya terpejam.
Bunyi kerusi diseret kedengaran. Tidak lama selepas itu, tangan terasa dipegang. Pipinya diusap lembut.
"Hari ni, hari terakhir saya datang lawat awak. Esok saya kena balik sebab kerja. Mungkin tak ada kesempatan untuk datang ke hospital dah." Farhan jeda.
Tangan Wana dibawa ke pipi. Seketika Farhan melorek senyuman manis. Mata masih lagi memerhati seraut wajah Wana.
"Wana. Bila nak bangun? Dah cukup lama Wana tidur. Adam pun dah rindu sangat. Farhan tak harap Wana tidur lebih lama. Wana kena tengok Adam membesar dengan mata Wana sendiri. Kesian Adam tunggu Wana," ujar Farhan.
Tangan Wana dilepas. Farhan berjalan ke tepi tingkap lalu permandangan di luar dilihat. Gerimis hujan turun membasahi bumi. Patutlah dia rasa agak sejuk tadi.
Tubuh dipusing seraya kaki melangkah ke arah katil semula. Dahi Wana dikucup.
"Farhan kena pergi dah. Jaga diri elok-elok. Cepat sedar sayang."
Kata-kata Farhan membuatkan Wana menahan diri daripada membuka mata. Entah mengapa dirinya tidak mahu membiarkan Farhan tahu bahawa dia sudah sedar.
Bunyi derap kasut serta pintu yang ditutup membuatkan Wana yakin bahawa Farhan sudah beredar. Lantas mata dibuka.
"Awak sangat baik Farhan. Tapi saya dah kecewakan awak."
Masih dia ingat kata-katanya tempoh hari sebelum ditembak. Tidak tahu apa anggapan Farhan terhadap dirinya. Lelaki itu tak marah ke? Namun daripada kata-kata Farhan tadi, jauh sekali dia hendak merasakan amarah dalam diri lelaki itu.
"Uhuk! Uhuk!" Wana terbatuk beberapa kali. Tekaknya terasa perit. Badan agak sukar digerakkan, tetapi dia mahu mencapai segelas air yang berada di tepi.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...