Beberapa buah kereta tiba tidak jauh dari perkarangan rumah Mak Una. Rata-rata anggota polis berpakaian khas meluru keluar dan mengepung kawasan itu. Syah yang baru sahaja pulang kerja agak hairan dengan situasi tersebut.
“Puan berdua tak apa-apa?” Soalan diaju. Wan Deejah angguk mengiakan.
“Tuan, cucu saya ada dalam rumah. Saya nak panggil dia keluar. Boleh?” soal Wan Deejah. Dia bimbangkan keselamatan Adam dan Wana. Kedudukan rumahnya dengan rumah Mak Una tidak begitu jauh. Risau pula rumahnya turut terkena tempias jika benar ada bom lain di dalam rumah Mak Una.
“Biar saya pergi tengok. Puan berdua jangan dekati rumah tu. Kekalkan jarak jauh ni.” Pesannya sebelum beredar pergi.
Puan Khadijah berlari anak ke arah Wan Deejah. Tadinya dia pergi ke kedai. Tidak disangka pula keadaan sudah jadi seperti ini. Kawan-kawan Wana semuanya sudah pulang sejam setelah Ashraff bertolak pergi pagi tadi.
“Apa dah jadi? Tadi orang dengar ada benda meletup mak. Ada benda terbakar ke?” Puan Khadijah memandang Wan Deejah dan kepulan asap hitam silih berganti.
“Bom yang meletup.”
“Uih ada bom juga dekat kawasan sini.” Seriau pula Puan Khadijah mendengarnya.
“Semua ni salah Una, kak. Una tak berani keluar bagitahu polis yang Arifah bersekongkol dengan penjenayah. Sekarang tak pasal-pasal jadi macam ni.” Serba salah Mak Una.
“Tak apalah Una. Una pun ada kesulitan sendiri. Sini....” Tubuh Mak Una dipeluk oleh Puan Khadijah. Sudah lama dia tidak melihat adiknya itu. Pergi ke rumah pun asyik dihalau.
Kelibat Farhan mendukung Adam sambil berjalan keluar dari rumah Wan Deejah kelihatan. Wana turut mengikuti lelaki itu dalam keadaan sedikit terhuyung-hayang. Nasib baik sahaja Farhan membiarkan dia berpaut pada lengan agar tidak jatuh.
“Allah.... Berdarah teruk ni Farhan.” Terkejut Wan Deejah melihat bahagian lengan, dahi serta pinggang Farhan berdarah. Adam yang didukung oleh Farhan diambil.
“Terpelanting sikit je. Kena ranting ni. Tak ada apalah tok wan. Wana, mari duduk dulu.” Fokusnya beralih ke arah Wana yang masih memaut lengannya. Wanita itu dibiarkan duduk di atas pangkin kayu rumah jiran.
“Kenapa dengan Wana ni?” Puan Khadijah menyoal.
“Dia cakap dia sakit kepala. Hampir-hampir nak pengsan dalam rumah tu,” jelas Farhan.
“Inspektor Farhan Adham,” seorang lelaki menghampiri Farhan. Kalau tak kerana panggilan Farhan, dia tidak akan datang kemari membawa pasukannya menggeledah rumah Mak Una.
“Ya tuan!”
“Kerja yang bagus! Kami dah periksa rumah tu dan kami dapati tiada bom lain. Namun, ada satu beg besar berisi dadah serta senjata berupa pistol yang kami temui. Boleh saya tahu siapa pemilik rumah tu?”
“Saya tuan, tapi barangan tu milik anak saya.” Jawab Mak Una berani. Tiada guna dia menyembunyikan kegiatan anaknya itu. Arifah langsung tidak menggangap dia sebagai emak malah menengking dan memakinya sesuka hati. Sungguh kurang ajar!
“Boleh puan ikut kami ke balai untuk beri keterangan?”
“Boleh tuan,” balas Mak Una. Segera dia mengikuti langkah lelaki itu menuju ke arah kereta.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...