BAB 18

3.9K 160 2
                                    

Satu persatu bahan dimasukkan ke dalam mangkuk lalu dikacau. Sesekali dia memandang ke bawah ingin melihat keberadaan Adam. Bimbang pula dia akan terpijak mana-mana bahagian tubuh si kecil itu.

Terasa kainnya dipegang dan dipanjat seseorang, Wana menoleh ke bawah sekali lagi. Adam yang hampir terjatuh terus didukung. Si kecil itu tidak banyak bunyi, namun tangan dan kakinya sentiasa bergerak mengerjakan sesuatu.

“Kak ngah buat apa?” Aiman yang baru memasuki dapur bertanya.

“Puding jagung. Rasa nak makanlah,” balas Wana.

“Kak ngah pandai ke buatnya?” Mangkuk yang dikacau oleh Wana dipandang Aiman. Nampak macam okey sahaja, tetapi dia tidak tahu Wana memasukkan sukatan bahan yang betul atau tidak. Kakaknya itu tidak pernah membuat puding dan sejenis dessert lain.

“Resepi google.” Wana menyengih sambil menunjukkan skrin telefonnya yang tertera resipi puding jagung. Aiman ketawa kecil.

“Kenapa tak suruh Aiman yang buatkan?”

“Saja nak cuba sendiri. Alang-alang Aiman ada dekat sini, ajarlah kak ngah.”

“Okey. Biar Aiman tengok.” Mangkuk berisi campuran bahan-bahan ditarik mendekat. Sesekali tangannya mengacau adunan bahan itu.

“Aiman dah kemas-kemas? Esokkan dah nak balik kolej.” Wana mendongak sedikit memandang seraut wajah Aiman. Dia kakak, tetapi adiknya itu lebih tinggi. Kuat makan sayur agaknya!

“Baru kemas separuh. Pagi tadi Aiman ada jemur baju, tapi tak lipat lagi.”

“Ouh.... Nanti nak kak ngah tolong apa-apa, panggillah.” Bahu Aiman ditepuk beberapa kali.

Aiman hanya angguk mengiakan. Tahulah dia, namun dia jenis tak suka menyusahkan orang walaupun orang itu ialah keluarganya sendiri. Apa-apa perkara, dia akan usahakan semampunya. Setakat mengemas pakaian, itu dia boleh lakukan sekelip mata.

“Uih! Masak apa tu? Bau macam puding jagung je.” Tegur Asrul. Seguni beras diletak di atas meja. Kemudian, dia berjalan menghampiri Adam. Pipi Adam dicuit sebelum si kecil itu berpindah ke dukungannya.

“Ha'ah puding jagung. Abang hantar beras eh?” soal Wana.

“Hm. Ada atas meja tu.”

“Sekejap, Wana pergi ambil duit.” Kaki dihayun pergi.

Asrul mengorak langkah ke pintu dapur. Angin di situ sedikit kuat berbanding hari biasa. Langit mendung menandakan sebentar lagi akan hujan.

Saat hujan mula turun merintik-rintik menyembah bumi, Asrul melangkah ke dalam kembali. Duit yang dihulur oleh Wana diambil sebelum dia bergerak ke ruang tamu. Wan Deejah di sofa dihampiri.

“Tok wan nak ikut Asrul pergi kutip lada tak esok? Dekat kebun tak ramai orang.” tanya Asrul. Bertani di kebun sendiri, sudah pastilah dia boleh mengambil cuti bila-bila masa sahaja kerana bekerja dengan diri sendiri.

“Tadi mak Serol dah bagitahu. Haa esok tok wan ikutlah.”

“Okey. Asrul datang ambil pukul 8 pagi.” Kata-kata Asrul dibalas anggukan. Wana yang menghidang teh dipandang sekilas. Hujan-hujan seperti ini memang sedap minum teh panas sambil cecah biskut.

“Assalamualaikum,” Syah dan Qisya serentak memberi salam. Apabila salam dijawab, barulah mereka masuk ke dalam.

Qisya labuhkan punggung di atas sofa. Sementara itu, Syah ke dapur untuk meletakkan plastik berisi barangan dapur.

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang