Yasin ditutup seusai menghabiskan bacaan. Tangan ditadah, kemudian doa dibaca. Setelahnya, Wana memandang batu nisan dengan bibir yang melorek senyuman nipis.
Haris Ikhwan bin Wan Izman
18/7/1992 - 10/5/2011Haris... insan yang selalu menghadirkan senyuman bahagia di bibirnya. Seorang anak dan sahabat yang baik terhadap orang di sekeliling. Sesiapa yang mengenalinya sudah pasti akan merasa senang. Tingkahnya sopan dan tutur katanya lembut.
“Assalamualaikum Haris. Maaf, Wana datang melawat lambat sangat.” Wana menjeda seketika. Ada banyak perkara yang mahu dikatakan, namun perkara itu seolah-olah tidak dapat diluahkan dengan bibir. Terlalu berat mahu diungkap dan tidak tahu bagaimana ingin mengungkapnya.
“Susahnya nak luahkan semua sekali.” Wana ketawa hambar. Air matanya yang menuruni tubir mata diseka menggunakan jari jemari.
“Haris.... Wana nak minta maaf atas apa yang Wana buat dekat Haris. Maaf sebab tak dapat lindungi Haris sepertimana Haris lindungi Wana.” Wana jeda lagi.
Air matanya tidak dapat ditahan daripada mengalir keluar. Kejadian yang berlaku betul-betul membuatkan dia trauma. Haris mati di hadapan matanya. Dia pula tidak terdaya mahu berdiri untuk menarik Haris pergi.
“Maafkan Wana sebab nangis. Wana tak dapat tahan.” Terhinjut-hinjut bahu Wana menahan sedu tangisan. Dia tidak mahu menangis, tetapi dia tidak dapat menahannya. Rasa bersalah masih berbekas di hati walaupun dipujuk oleh Puan Wardah serta orang lain.
Wajah dilap menggunakan telapak tangan apabila tangisan mereda. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak menangis lagi. Kubur Haris dipandang semula.
“Wana nak ucap terima kasih kepada Haris sebab lindungi Wana serta Adam. Wana janji, Wana akan jaga Adam sepenuh hati Wana sebagai seorang ibu.” Tutur Wana. Air liur ditelan dengan mata terpejam seketika. Kenapa dia lemah sangat? Langsung tak dapat tahan genangan air mata memenuhi ruangan mata.
“Dah lewat. Wana kena pergi. Ada masa, Wana datang lawat lagi. Assalamualaikum,” ujar Wana. Dia berdiri lalu beredar.
Kereta yang dipandu oleh Syah bergerak keluar dari kawasan perkuburan menuju ke rumah Puan Wardah. Cukup satu hari sahaja mereka bermalam di sana dan mereka perlu pulang semula memandangkan Syah bekerja esok.
Syah hulur tisu. Merah muka adiknya itu kerana menangis. Setelah Wana mengelap wajahnya, barulah dia mematikan enjin kereta.
“Lega?” tanya Syah. Wana mengangguk. Sedikit lega setelah satu persatu perkara diselesaikan. Kini, dia perlu menunggu berita tentang penangkapan Ikmal dan Arifah. Selagi mereka berdua tidak ditangkap, hidupnya akan berada dalam bahaya memandangkan dia ialah sasaran mereka.
“Jomlah masuk,” kata Syah. Langkah diatur ke dalam rumah Puan Wardah. Sebelum pulang, Puan Wardah mempelawa mereka untuk makan tengahari bersama-sama dahulu.
Sofa kosong di sebelah Puan Wardah diduduk oleh Wana. Sesekali Adam kedengaran ketawa setelah diagah Puan Wardah. Bahagia sungguh wanita itu dapat berjumpa dan bermain dengan Adam.
“Baik tak perangai Adam dekat rumah?” tanya Puan Wardah.
“Adam suka menempel dengan Abang Syah. Bila dah dapat menempel tu, memang dia akan diam. Macam tulah perangainya.” Wana ketawa kecil.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...