BAB 35

3.6K 141 2
                                    

Wana meramas hujung baju tatkala melihat Farhan masuk ke dalam biliknya. Terkejut dan rasa berdebar menerjah diri. Dia lupa sejenak malam ini dia akan berkongsi bilik dengan lelaki yang bergelar suami.

Senyuman janggal dilorek Farhan. Matanya memandang sekilas Wana yang tidak memakai tudung. Saat rasa gementar hadir, mata laju dikalihkan ke arah lain. Belakang leher diusap.

"Farhan nak tidur?" Wana mengajukan soalan.

"Em." Anggukan diberi. Sejujurnya dia tidak menjangka suasana akan menjadi sejanggal ini setelah berkahwin.

Sebelum ini, nak bagi surat pun rasa macam nak gugur jantung. Sependiam dia pun masih ada perasaan.

Punggung dilabuhkan di atas katil. Farhan memerhati tingkah Wana yang sedang memasukkan baju ke dalam almari.

"Wana," panggil Farhan.

"Hm?"

"Duduklah sekejap. Saya nak cakap sikit dengan Wana." Ujar Farhan.

Wana aku. Birai katil diduduknya. Senyuman nipis dilorek menanti bicara daripada Farhan.

"Sebelum ni, Farhan ada cakap yang Farhan akan balik esok. Wana serius nak ikut? Atau nak tinggal dekat sini beberapa hari lagi?" tanya Farhan. Agak serba salah dia mahu membawa Wana pulang terus walhal baru sehari mereka bernikah. Dia terpaksa pulang awal pun disebabkan kerja terdesak.

Lainlah Farish. Farish dan Fatisha akan berada di rumah Wan Deejah selama beberapa hari lagi sebelum pulang.

"Macam mana pun, Wana dah jadi isteri Farhan. Wana kena ikut Farhan. Tapi, kalau kerja Farhan terdesak sangat sampai tak boleh jaga Wana, Farhan boleh bagitahu Wana. Wana akan faham." Senyuman dilebarkan.

Dia masih cuba untuk memahami kerja Farhan. Kes yang disiasat bersama Ashraff juga belum selesai. Pasti Farhan sibuk.

"Kalau Wana ikut Farhan balik, ada mama untuk teman Wana. Jangan risau. Farhan cuma takut Wana rasa mendadak sangat Farhan bawa Wana pergi dari rumah tok wan."

"Taklah. Wana dah siap sedia sejak awal. Jadi, Wana akan ikut Farhan balik. Nanti bolehlah Wana luangkan masa nak kenal-kenal dengan mama. Kan?"

Farhan angguk mengiakan. Ada benarnya kata-kata Wana. Perkenalan mereka tidak lama. Dia juga tidak begitu mengenali Wana. Apatah lagi mama dan papanya.

•••

"Tok wan, Wana pergi dulu." Tutur Wana seraya memeluk Wan Deejah. Air mata yang ingin mengalir cuba ditahan daripada keluar. Saat-saat ketika ini seakan sama seperti saat dia hendak pergi belajar.

"Jaga diri elok-elok. Jangan lupa telefon tok wan nanti. Tok wan dah pandai video call tau!"

Wana ketawa kecil. Hari tu punyalah marah sebab Syah beli telefon jenama terkini. Katanya tak pandai nak guna. Lagi seronok pakai telefon lama. Pasti Aiman yang hasut dan ajar Wan Deejah cara guna telefon baru tu.

Insyirah menapak mendekati Ashraff. Tersengih-sengih dia menghulur beg kertas di tangan.

"Hadiah. Jangan lupa guna," tutur Insyirah.

"Benda apa dekat dalam?"

"Rahsia. Buka nantilah. Dah balik sana, jangan curang pula. Benda tu akan awasi awak untuk saya."

"CCTV eh?" Ashraff kecilkan mata. Geli hati pula dia. Nak ketawa, tapi bimbang Insyirah merajuk. Dia dahlah nak balik dah. Pasti susah kalau nak kena pujuk dari jauh.

"Lebih kurang macam tulah. Ingat, jangan curang." Insyirah memberi amaran.

"Kalau saya curang juga, macam mana?" Duga Ashraff. Sengaja nak tengok dan tahu apa reaksi Insyirah.

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang