BAB 31

3.6K 137 3
                                    

Kain pelikat yang dililit di kepala dibetulkan sedikit. Ashraff memandang kawasan perairan sungai. Ada beberapa orang penduduk kampung berada di sekitar situ.

“Aku nampak macho lagi pakai pakaian ni, kan?” tanya Ashraff dengan sengihan. Dia depakan tangan sambil memandang tubuh. Pakaian lusuh tersarung untuk menyamar sebagai seorang nelayan. Wajah pula digelapkan. Farhan dan Azim turut berpenampilan sebegitu.

Semuanya kerana misi untuk mencari kenalan Ikmal yang terlibat dengan dadah. Identitinya masih belum dapat dipastikan. Kerana itu, mereka menyamar agar dapat mengaburi mata penduduk di situ.

“Tuan nampak macam nelayan sebenar,” komen Azim. Ibu jari dinaikkan membuat thumbs up.

Farhan menggeleng kesal. Menyempat lagi Ashraff nak puji diri sendiri.

Mereka turun dari bot yang dinaiki menuju ke darat. Langkah diatur memasuki kawasan perumahan di kampung tersebut.

“Orang tu betul-betul ada dekat kampung ni ke tuan?” tanya Azim. Kawasan kampung itu agak tenang pada pandangan matanya.

“Tak tahu. Jejak terakhir yang dikesan, dekat sini. Mungkin dia penduduk biasa yang terlibat dengan dadah.” Ujar Ashraff.

“Tanya beberapa orang penduduk dulu. Mungkin ada yang pernah tengok atau kenal dia.” Farhan mengeluarkan sekeping gambar dari poket seluar.

“Untuk elakkan sebarang kecurigaan, korang berdua tunggu. Biar aku seorang yang tanya.” Kata Farhan lagi. Setiap keputusan yang dibuat mempunyai risiko tersendiri. Mereka perlu berhati-hati.

“Baik tuan,” balas Azim separa berbisik. Ashraff pula hanya angguk mengiakan.

Farhan berjalan pergi. Seorang lelaki tua yang berada tidak jauh daripada mereka dihampiri.

Ashraff dan Azim memandang. Daripada gelengan lelaki tua itu, mereka tahu apa jawapannya. Namun Farhan masih tidak berputus asa. Seorang demi seorang penduduk kampung di kawasan itu ditanyanya.

Setengah jam berlalu, Farhan menghampiri mereka semula. Gelengan diberi disertakan helaan nafas mengah. Gambar yang dipegang dimasukkan ke dalam poket seluar.

“Kita berjalan ke dalam lagi, lepas tu tanya. Mana tahu dekat sana kita dapat jawapan.” Cadang Azim. Ini baru di perairan sungai. Belum menjelajah seluruh kampung itu lagi.

“Macam inilah.... Kita berpecah. Azim pergi ke sebelah sana, kau jalan lurus, aku ke sana. Kita tanya dekat kawasan berbeza pada masa yang sama lagi cepat. Telefon hidup tak?” Ujar Farhan.

Azim dan Ashraff mengeluarkan telefon bimbit. Masing-masing bergerak sedikit cuba mencari isyarat.

“Hidup, tapi tak ada isyarat. Dekat dalam sana belum tentu ada juga,” tutur Ashraff.

Farhan keluarkan telefon bimbitnya pula. Bateri tu ada banyak, tapi isyarat telefon pula tak ada.

“Tak ada isyarat juga.”

“Tak apa, jam ada. Tepat pukul 6 petang, jumpa dekat sini semula. Jangan pergi jauh sangat.” Kata Ashraff.

“Okey, berpecah sekarang.” Farhan terus beredar. Masing-masing berpecah ke arah yang sudah ditetapkan.

TAKDIR DIATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang