"Kita keluar."
"Keluar Wana. Lari!" Jeritan Haris menyentakkan Wana.
"Lari sekarang!" Jerit Haris lagi.
"Tak nak. Wana kena bawa Haris keluar."
"Haris cakap lari! Selamatkan diri Wana! Dah tak ada masa Wana. Lari! Keluar!"
Dengan keterpaksaan kaki melangkah menjauhi. Haris yang sudah separuh nazak ditinggal di situ.
Bum!
“Haris!” Wana duduk mengejut. Menggigil tangan dan bibirnya. Anak mata pula bergetar kecil memandang sekeliling. Tangisan Adam seolah-olah tidak dapat didengar.
“Wana,” panggil Syah disertakan ketukan pada pintu. Dia tidak mendengar jeritan Wana malah Farhan yang membangunkan dia. Lelaki itu sudah duduk di atas sofa di ruang tamu. Tidak berani hendak masuk ke dalam bilik Wana mahupun melihat ke dalam.
“Nah, kunci.” Aiman menghulurkan kunci bilik kepada Syah. Laju tangan Syah membuka pintu bilik itu sebaik sahaja kuncinya dapat dibuka. Suis lampu ditekan lalu Wana dihampiri. Qisya pula mengangkat Adam yang sudah tersedu-sedan menangis.
“Wana, kenapa ni?” Bahu Wana digoyangkan Syah, cuba untuk menyedarkan adiknya itu.
“Syah, senyapkan Adam dekat luar. Biar aku tengokkan Wana.” Ujar Qisya.
Adam diserahkan kepada Syah sebelum punggung dilabuhkan di birai katil. Tangan Wana yang menggeletar hebat dipegang seraya tangan kiri menyelit rambut Wana ke belakang telinga.
Mata Wana masih bergetar. Ada genangan di dalamnya. Tidak lama, genangan itu menjadi setitik air mata yang menuruni tubir mata. Wajahnya kosong dan matanya seolah-olah sedang mencari sesuatu.
“Wana, sedarlah.... Wana mimpi buruk hm?” tanya Qisya lembut. Wana tidak menjawab malah masih mendiamkan diri.
“Apa kata Wana minum air sikit? Tenangkan diri dulu.” Segelas air yang dihulur oleh Aiman diambil. Lantas gelas tersebut disua ke mulut Wana.
“Wana nak tidur,” tutur Wana. Badan dibaringkan kembali. Tangan yang masih menggigil menarik selimut sehingga ke dada.
“Okey. Ada apa-apa nanti bagitahu aku,” pesan Qisya. Dia berdiri semula dan keluar bersama Aiman.
Setelah pintu bilik ditutup rapat, Wana mengetap bibir. Telapak tangan dibawa menutup wajah lalu esakkannya terhambur. Perit dada mengingat kembali mimpinya tadi. Betul ke dia punca Haris meninggal?
Qisya melangkah ke ruang tamu. Adam di riba Farhan sudah tidak menangis. Dipujuk Farhan barangkali.
“Kenapa dengan Wana?” soal Syah. Qisya menggeleng.
“Tak tahu. Dia tak nak cakap apa-apa. Dia cuma bagitahu yang dia nak tidur,” jelas Qisya membuatkan Syah menghela nafas. Mungkin esok Wana mahu menjelaskan sesuatu. Bagi sajalah adiknya itu menenangkan diri dahulu.
“Tadi dia jerit nama Haris. Mungkin ada kaitan dengan Haris.” Ujar Farhan.
“Tak apalah, esok aku tanya dia semula. Kau sambunglah tidur. Esok nak bawa kereta mengantukkan. Sini Adam.” Tangan dihulur ingin mengambil Adam dari dukungan Farhan. Si kecil itu terus menangis apabila Syah memegang tangannya. Agaknya Adam masih terkejut dengan situasi tadi.
“Biar Adam tidur dengan aku malam ni.”
“Tak susahkan kau ke?” Segan pula Syah asyik biarkan Adam bersama Farhan.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Azione[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...