Haqim mencangkung. Seraut wajah ketakutan Insyirah dipandang dengan senyuman di bibir. Air mata di pipi gadis itu disapu menggunakan jari telunjuk, namun laju ditepis Insyirah.
“Kau nak apa daripada aku?”
“Aku cuma nak kau. Apa masalahnya sampai menangis?” Haqim masih cuba mengelap air mata di pipi Insyirah.
“Kau sengaja buat-buat bodoh atau apa? Lepaskan aku!”
“Lepaskan kau, huh?” Haqim mendecit benci. Daripada mencangkung, dia duduk di birai katil. Kaki disilang seraya tangan berpeluk tubuh.
“Lepaskan kau supaya kau dapat kahwin dengan lelaki bodoh tu? Aku tahu minggu depan kau bakal kahwin dengan dia. Aku takkan biar benda tu sesekali terjadi.”
“Kenapa? Apa salahnya aku nak kahwin dengan dia?”
“Kau milik aku, Insyirah Raisha. Hanya milik aku. Ingat tu! Aku takkan lepaskan kau kepada sesiapa.”
“Kau gila! Aku bukan milik kau! Lepaskan aku!” Insyirah cuba turun dari katil, namun lengannya laju ditarik oleh Haqim.
Tangan Insyirah direntap kuat sehingga gadis itu terbaring kembali di atas katil. Haqim mendengus geram. Kedua belah pergelangan tangan Insyirah digenggam kuat.
“Aku dah cakap, aku takkan lepaskan kau. Jangan cabar aku, Insyirah Raisha. Kau takkan dapat pergi dekat lelaki tu selamanya. Baik kau ubah perangai kau sebelum perkara yang kau tak nak jadi terjadi.”
“Pergi mampuslah! Puih!” Air liur diludah ke muka Haqim.
Lelaki itu hanya ketawa sambil mengelap air liur yang melekat di wajah.
Di kesempatan itu, Insyirah cuba melarikan diri. Tombol pintu dipulas lalu dia lari. Malang nasibnya kerana bertemu dengan konco-konco Haqim.
Air liur ditelan. Insyirah cuba lari ke arah lain, namun tanpa disedarinya, Haqim berada di belakang. Laju tangannya ditarik oleh lelaki itu. Tanpa amaran, tubuh diangkat ke bahu.
Insyirah meronta. Dia mahu melepaskan diri dari situ. Takut juga dengan apa yang Haqim bakal lakukan kepadanya.
“Lepas! Lepas! Lepas!” Ronta Insyirah. Dipukul belakang badan Haqim berkali-kali, tetapi lelaki itu tidak memberi reaksi. Hanya berjalan menuju ke bilik tadi.
Saat tubuh dihumban kasar di atas katil, Insyirah mendesis kesakitan. Dada sudah berombak kuat, penat meronta-ronta.
Bunyi pintu ditutup kasar membuatkan bahu Insyirah terhinjut kecil. Debar menerjah diri apabila Haqim mengunci pintu.
“Kau yang minta Insyirah Raisha. Aku takkan serahkan kau kepada lelaki bodoh tu walaupun terpaksa risikokan nyawa sendiri.” Ujar Haqim.
Butang baju kemeja dibuka satu persatu. Insyirah semakin takut melihatkan itu. Dalam hati sudah berharap ada seseorang yang akan menyelamatkan dia. Namun, langsung tiada tanda-tanda sesiapa akan datang.
Dirinya bakal musnah. Haqim akan menghancurkan segala-galanya.
Siapa mampu mengawal lelaki obses seperti dia? Kesudahan tidak selalunya berakhir dengan baik.
•••
Tangan kanan Wana digenggam. Sesekali dikucup. Isterinya itu masih belum sedarkan diri dan kata doktor, Wana dalam keadaan kritikal. Entah masih berpeluang untuk sedar diri atau tidak.
Bunyi daun pintu ditolak membuatkan Farhan kalih pandangan. Syah berjalan mendekat sambil membawa dua beg kertas.
“Aku bawa makanan dengan pakaian. Makanlah dulu sebelum pergi kerja,” kata Syah.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...