Tikar kecil dihampar sebagai alas lalu Ashraff duduk bersila. Yasin dibuka dan dibaca. Setelah berhari-hari dia jalankan tugas, hari ini baru berkesempatan menziarahi Insyirah.
Tersayat hatinya. Rasa sakit itu menjalar. Mana tidaknya? Bakal isteri meninggal di depan mata sendiri. Ditambah pula empat hari yang lalu mereka sepatutnya melalui hari bahagia. Namun, semuanya hancur sekelip mata.
“Assalamualaikum.” Ashraff mengukir senyuman kecil.
“Maaf, saya lambat. Hari ni saya baru dapat lawat awak dan bacakan yasin untuk awak.” Bibir dikemam seketika. Sesak dadanya menahan gelora hati.
“Nur Insyirah Raisha, maafkan saya untuk kesilapan saya. Maaf sebab tak berupaya selamatkan awak,” tutur Ashraff.
Ada genangan di dalam mata, namun Ashraff cuba menahan tangisnya. Jika dia hambur tangisannya, dia mungkin tidak akan berhenti dalam masa terdekat.
“Maafkan saya, Insyirah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ujar Ashraff. Lantas, kaki dihayun pergi dari situ.
Semakin lama berada di situ, dia makin tidak dapat membendung air mata daripada keluar. Sebaiknya dia pergi untuk menenangkan diri kembali.
Kereta dipandu ke rumah Puan Riana. Sejak kematian Insyirah, dia belum meminta maaf secara tulusnya lagi kepada wanita itu. Terlalu sibuk dengan penangkapan orang yang terlibat dengan aktiviti haram Haqim sehingga dia terpaksa pergi di saat-saat akhir.
Langkah diatur keluar, namun dia berjalan seperti tiada arah. Matanya kabur dengan genangan air mata. Tubuh terasa melemah.
Hatinya tidak kuat. Terlalu banyak kenangan bersama Insyirah yang bermain di kepala. Dari detik awal pertemuan, hingga ke akhirnya.
“Encik buat apa dekat sini?” Kepala ditoleh saat suara seseorang menyapa pendengaran.
“Kerja.” Tanpa teragak-agak soalan dijawab. Langkah diatur setapak ke hadapan mendekati Insyirah yang berbasikal.
“Kerja apa dekat kawasan ni?”
“Kenapa cik nak tahu?” Ashraff bercekak pinggang sambil tangan kanan menyua air ke mulut.
“Sebab ni kawasan rumah saya.”
“Oh....” Tidak mempedulikan Insyirah lagi, Ashraff melangkah pergi. Namun langkahnya dipintas laju oleh Insyirah. Gadis itu selamba mengayuh basikal melepasinya.
Detik ketika kali mereka bertemu terimbas kembali. Di tempat dia berada inilah di mana mereka bertemu buat pertama kalinya.
Lamunan Ashraff hilang apabila tubuhnya terlanggar dengan seseorang. Dahi Raihan berkerut halus sambil tangannya menarik bahu Ashraff. Lelaki itu hampir terjatuh akibat pelanggaran tadi.
“Kau okey tak?” tanya Raihan.
“Aku okey. Kau nak pergi mana?” Ashraff lorek senyuman hambar.
“Nak pergi kedai sekejap. Masuklah dalam. Umi tengah tunggu kau.” Kata-kata Raihan dibalas anggukan.
Kaki dihayun ke hadapan pintu rumah Puan Riana. Seketika pintu diketuk bersama laungan salam. Apabila salamnya dijawab, barulah dia masuk ke dalam.
“Mari duduk Raff,” pelawa Puan Riana. Meski tidak jadi bermenantukan Ashraff, dia tetap menganggap Ashraff seperti keluarganya sendiri.
Ashraff duduk, tetapi bukan di atas kusyen. Dia duduk di atas lantai berhadapan dengan Puan Riana. Wajah menunduk ke bawah. Mahu memandang seraut wajah tua itu, dia tiada kekuatan.
“Kenapa ni hm? Mari duduk dekat atas. Tengok, banyak lagi tempat duduk kosong tu.”
Ashraff menggeleng.
KAMU SEDANG MEMBACA
TAKDIR DIA
Action[COMPLETE] [ACTION/ROMANCE] Tragedi yang meragut nyawa seseorang dan kehadiran bayi lelaki merubah hidup Wana sepenuhnya. Wanita itu terpaksa menghadapi bermacam tuduhan serta kata makian. Saat bahaya mendekat, Farhan datang melindungi. Misi yang di...