🍁B A B 50

7.7K 337 92
                                        

"Ikhlas melepaskan lebih menenangkan daripada bertahan namun penuh luka atau menanti tanpa kepastian."

Air dikocak-kocak menggunakan kaki. Matanya memandang dada langit yang kian cerah. Matahari mula memunculkan diri. Terlalu bersinar. Dia tersenyum pahit.

Jika boleh dia mahu menjadi seperti matahari lagi. Walaupun tidak disukai kerana menyebabkan kepanasan, tetapi matahari tetap muncul memberi sinaran. Jika dulu mungkin dia begitu tetapi kini dia bukan lagi Umairah yang dulu.

Umairah yang hanya tahu menangis dan membiarkan saja dirinya diperlakukan seperti sampah. Umairah yang hanya mendiamkan diri saat dirinya dihina dan dicaci oleh ibu kandung sendiri. Dipukul dan dijadikan tempat Umar melepaskan amarah.

Dia bukan lagi Umairah itu. Bukan!

Kenangan pahit dan derita yang diterimanya sepanjang 20 tahun hidup sudah cukup membuatnya serik untuk terus memberi sinaran pada yang tidak menghargai.

Setitik demi setitik mutiara jernih itu jatuh membasahi pipinya.

Hidupnya terlalu sukar di sini. Dia tidak tahu apa yang dia perlu lakukan sekarang. Terasa seperti keputusannya pulang ke Malaysia adalah keputusan yang salah.

Hatinya kucar kacir dengan pelbagai rasa.

Kejadian malam tadi kembali terulang di matanya.

Dia sangkakan Umar akan melepaskan dia dengan mudah apabila permintaannya diutarakan semalam. Nampaknya lelaki itu masih sama seperti dulu. Mahu terus mengikatnya sehingga nyawa terpisah dari badan. Selama-lamanya.

Umar juga dilihatnya sudah banyak berubah. Wajah itu sudah tidak sama seperti dulu. Sekali pandang saja dia sudah boleh mengetahui yang Umar yang kini tidak lagi sama. Sama seperti dia juga.

Ya, manusia boleh berubah.

"Umairah."

Umairah menoleh ke sisi apabila Aariz Faith memanggil namanya. Melihat saja wajah itu, air matanya tanpa segan membanjiri wajah.

"Kenapa hidup ni terlalu sukar?" Tanyanya dalam tangisan yang semakin menjadi-jadi.

Aariz hanya memandang wajah itu. Memberi ruang untuk Umairah meluahkan. Sejak semalam Umairah hanya diam. Dia tahu gadis ini terluka tapi disorokkan agar orang lain tidak melihat luka itu.

"Mai dah tak mahu teruskan tapi abang nampak kan semalam muka mommy, daddy dan papa? Mai tak sanggup nak lukakan mereka. Mai tak sanggup." Kepala ditundukkan. Terasa berat beban yang dipikulnya kini.

"Fikirkan hidup Mai. Kerana Mai takut orang yang Mai sayang terlukalah Mai menderita selama ini. Mai tahukan abang akan sentiasa ada untuk Mai? Abang akan ada untuk lindungi Mai. Selamanya akan ada."

Gadis ini sebenarnya sama seperti dulu. Gadis yang begitu mementingkan kebahagiaan orang lain melebihi diri sendiri. Nampak saja kasar. Sebenarnya Nur Umairah tidak pernah berubah walau sedikit.

Baginya Umairah masih mencintai Umar. Cinta itu tidak lagi terlihat kerana ditutupi dengan rasa kecewa, derita dan marah Umairah pada perbuatan Umar selama ini.

Walaupun Umairah tidak pernah memberitahu, tetapi dia tahu akan hal itu. Hari ini membuktikan segalanya.

Kalau tidak cinta mengapa perlu memikirkan lagi? Kenapa tidak teruskan saja niat yang sering dikata-katakan itu?

"Apa yang perlu Mai buat?"

"Berbincang semula dengan Umar. Dari hati ke hati. Beri peluang untuk dia jelaskan semuanya. Mai pun, luahkan semua yang terpendam selama ini. Yang paling penting, jujur dengan Umar siapa Ayra yang sebenarnya dalam hidup kita berdua."

Seindah Takdir UmairahCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang