🍁B A B 28

3.7K 210 16
                                    

'Takdir, Naluri, Kehidupan dan Karma itu semua benar. Percayalah!'

Cincin berlian yang tersarung di jari manis tangan kanannya diusap lembut. Cincin yang disarung sendiri oleh Datin Aini pada jarinya beberapa jam lepas. Cincin yang menandakan dia dan Umar sudah terikat dengan satu ikatan yang dipanggil pertunangan.

Pertunangan tanpa kerelaan hati sang jejaka. Begitu juga dirinya. Mereka lakukan ini kerana keputusan kedua belah keluarga. Dia relakan dalam keterpaksaan dan Umar masih membantah sehingga saat ini.

Sejak kejadian dua minggu lepas, wajah Umar tidak lagi singgah di depan matanya. Lelaki itu seakan sudah lenyap ditelan bumi. Semua persiapan pertunangan mereka dilakukan sendiri oleh papa dan keluarga Umar. Tidak sedikit pun Umar mengambil tahu. Sama seperti mama dan Hazira.

Mama dan Hazira dari hari ke hari semakin membencinya kerana dia gagal memujuk papa supaya membatalkan majlis pertunangan ini. Sudah dia lakukan segalanya tetapi masih gagal. Keputusan papa yang muktamad memang sukar untuk dibantah lagi.

Akhirnya dia redha saja dengan keputusan papa dan kebencian mama yang semakin bertambah. Sekarang semua itu tidak perlu difikirkan lagi kerana dia telah pun selamat menjadi tunang kepada lelaki bernama Umar Qaiser.

"Umai."

Suara papa memanggil membuatkan Umairah menoleh laju. Tangan kiri yang sedang mengusap cincin itu turut terhenti dan diletakkan di bawah. Dato' Hazril berjalan perlahan kearah katil anak perempuannya.

Wajah Umairah yang cantik dalam persalinan pertunangan itu direnung dalam. Sebak hatinya mahu melepaskan Umairah pada lelaki yang tidak mencintai anaknya tetapi dia yakin Umar mampu membahagiakan Umairah.

Umairah hanya diam menanti bicara papanya. Dia lihat air mata sudah bergenang di mata lelaki itu. Perlahan-lahan Umairah bangun dan mendekati Dato' Hazril.

"Umai minta maaf." Rasanya sudah berjuta kali perkataan maaf itu keluar dari mulut Umairah sejak dua minggu lepas tetapi perasaan bersalah itu masih bersisa dihatinya.

"Umai tak salah. Papa yang patut minta maaf sebab papa terpaksa tunangkan Umai dengan lelaki yang tidak mencintai Umai. Papa takut kalau Umar tak mampu bahagiakan Umai tapi dalam masa yang sama papa tak mahu Umar jadi lelaki yang tak bertanggungjawab. Dia perlu bertanggungjawab atas apa yang dia sudah lakukan pada anak papa ni."

"Papa jangan risau, Umai yakin cepat atau lambat Umai tetap akan bahagia dengan Umar." Umairah meyakinkan papanya sekaligus menyedapkan hatinya sendiri. Benarkah akan ada kebagiaan dalam ikatan tanpa cinta ini? Dia sendiri tidak pasti untuk soalan itu.

Dato' Hazril tersenyum mendengar bicara anaknya. Kepala Umairah yang berlapik tudung itu diusap. Dia tahu Umairah seorang yang kuat.

Air mata yang bergenang disapu perlahan. Teringat dia akan tujuan utama dia masuk ke bilik Umairah. Sampul putih bersaiz A4 yang dibawa bersama sebentar tadi dihulurkan pada Umairah.

Umairah memandang hairan tetapi tangan masih menyambut huluran itu. Wajah papanya direnung tanda menanyakan apa isi yang terkandung di dalam sampul itu.

"Bukalah." Arah Dato' Hazril bersama senyuman lebar.

Dengan lafaz bismillah, sampul putih itu dibuka. Sehelai kertas yang terkandung dalam sampul itu ditarik keluar. Mulut membaca perlahan. Tergamam dia melihat isi yang tertulis.

Air mata sudah bergenang ditubir mata. Tanpa kata tubuh papanya dipeluk erat.

"Terima kasih." Ucap Umairah tulus. Impiannya untuk memasuki Universiti seperti rakan-rakan lain menjadi kenyataan. Tidak sangka dia akan diterima secepat ini.

Seindah Takdir UmairahWhere stories live. Discover now