"Mungkin jodoh tidak datang tepat waktu tetapi jodoh akan datang di waktu yang tepat."
Umairah menyelak langsir bilik memandang dada langit yang sudah kelam ditutupi awan hitam. Titisan hujan mula turun menitik-nitik.
Tangan dihulur keluar merasai titisan kecil itu.
"Umai, buat apa tu? tutup tingkap. Nanti basah pula baju kamu."
Teguran suara maksu membuatkan Umairah menarik tangan ke dalam. Senyuman segaris dihadiahkan pada wanita itu.
Maksu menghampiri Umairah. Tangan anak saudara kesayangannya dipegang erat. Mengusap lembut pada tangan kecil itu.
Bukan dia tidak tahu kegusaran yang melanda Umairah. Dia tahu gadis ini tidak bahagia tetapi senyuman yang terukir di bibir sering kali menutup kesedihan Umairah. Tidak semua sedar akan mata yang menanggung seribu kesakitan ini.
"Terima kasih sebab ada dihari bahagia Umai." Ujar Umairah lembut.
Terharu dirinya apabila maksu sanggup pulang ke Malaysia semata-mata hanya mahu ada disampingnya sewaktu dia bernikah dengan Umar nanti.
Mama yang serumah dengan dia pun tidak mengambil kisah langsung majlis ini. Keberadaan mama tika ini juga tidak di ketahuinya.
"Umai bahagia dengan pilihan ni?" Maksu bertanya ragu-ragu.
Sejujurnya dia sendiri terkejut mendengar apa yang terjadi pada Umairah. Dia sangkakan Umairah akan baik-baik saja tinggal dengan abangnya rupanya sangkaannya salah belaka. Buktinya Umairah hampir dirogol dan sekarang perlu menikah dengan lelaki yang tidak mencintainya.
Kenapa hidup gadis ini selalu dirundung kelam?
"Umai akan cuba bahagia."
"Umai masih ada masa kalau nak batalkan semua ni. Maksu yakin papa faham. Hidup dengan orang yang tak cintai kita hanya menambah derita. Tambah-tambah Umar bencikan Umai. Maksu tak nak hidup Umai terumbang-ambing nanti."
Umairah menggeleng perlahan.
"Umai yakin cepat atau lambat Umar akan terima Umai. Umai tak mahu lukakan papa lagi. Maksu tolong beri restu ya?"
"Maksu sentiasa beri restu pada Umai. Maksu doakan Umai bahagia." Dia tidak mampu berkata apa lagi apabila Umairah sendiri memilih untuk menikahi Umar.
"Terima kasih." Tubuh Maksu ditarik dalam pelukan.
Umairah melepaskan pelukan sebaik saja mendengar bunyi ketukan pintu.
"Masuk." Laung Maksu agak kuat.
Terjenggul wajah Lily disebalik pintu.
"OMG. OMG. Umairahhhhhhhhh..." Jerit Lily nyaring apabila memandang wajah rakan baiknya.
Lily terus berlari memeluk Umairah erat. Umairah menolak badan Lily sedikit apabila terasa sesak.
"Weh, cantiknya kau. Mak, nak kahwin. Nak kahwin." Terkinja-kinja Lily di hadapan Umairah.
Maksu dan Umairah hanya tertawa memandang perangai Lily.
"Maksu turun bawah dulu. Nanti apa-apa maksu panggil kamu turun. Jangan bising sangat." Bahu Lily ditepuk lembut dan terus keluar dari bilik itu.
"Sumpah kau cantik gila sekarang ni. Untung bakal laki kau dapat kau. By the way, kau nikah pukul berapa ni? Aku tengok tak ada pun pengantin lelaki dekat bawah."
Untung? Beruntungkah Umar memilikinya?
"Lepas Isyak. Mungkin dia belum sampai lagi. Lagipun baru pukul 7.15." Umairah membalas perlahan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Seindah Takdir Umairah
RomanceDibenci oleh ibu kandung yang melahirkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang gadis bernama Nur Umairah. Tidak pernah dipinta olehnya dilahirkan dalam keadaan begitu. Tidak pernah dipinta olehnya dibenci dan dipandang serong oleh...
