'Seperti apa kita dilahirkan adalah Takdir.'
Mata memberi tumpuan sepenuhnya pada penerangan yang diberikan oleh Madam Durah. Sesekali tangan laju menyalin isi-isi penting dari bicara pensyarahnya. Tumpuan yang diberikan sedikit terganggu apabila lengannya ditolak-tolak menggunakan sebatang pen.
Umairah menoleh ke sisi kanan. Wajah Lily yang kebosanan dipandang sekilas. Geli hati pula dia melihat wajah itu. Bukan dia tidak tahu Lily begitu tidak suka masuk ke kelas ini. Katanya 2 jam pembelajaran terasa seperti dua tahun. Ayat yang sama akan diulang oleh Lily sebaik saja kelas tamat.
Dua bulan berkenalan dengan gadis comel berkaca mata ini membuatkan semua perangai Lily sudah dihafal Umairah. Segala apa yang disukai dan tidak disukai Lily pun dia sudah tahu.
"Umai, lambat lagi ke dia nak habis membebel? Aku dah bosan ni. Dah tepu dah kepala otak ni dengar dia bercakap tak henti-henti." Bisik Lily perlahan tetapi masih dapat didengar oleh Umairah.
"15 minit lagi." Balas Umairah selepas melihat jam tangannya. Mata kembali focus ke depan. Takut juga jika Madam Durah perasan mereka sedang bercakap.
"Aduh. Lamanya 15 minit tu. Aku rasa macam 15 jam dah ni." Bebel Lily lagi. Kepala dijatuhkan di atas meja.
"Lily Nurina." Jerit Madam Durah lantang menyebut nama penuh Lily. Tersentak semua pelajar yang berada di dalam kelas itu.
Umairah tidak kurangnya. Tercampak pen di tangan. Lily yang sedang meletakkan kepala di atas meja terus berdiri tegak apabila namanya dijerit.
Terkulat-kulat wajah Lily memandang Madam Durah.
"Kalau rasa tak berminat nak masuk kelas saya, drop je subjek ni. Saya pun tak berminat nak ajar orang macam awak ni." Jelas kelihatan raut marah diwajah pensyarah itu. Tanpa sebarang kata lagi, Madam Durah terus meninggalkan kelas itu tanpa sempat semua memberi ucapan terima kasih.
Seramai 25 orang pelajar di dalam kelas itu terus mengalih pandangan pada Lily. Lily sudah tertunduk sedih. Air mata yang sudah memenuhi tubir mata Lily, Umairah pandang gelisah. Berharap Lily tidak menangis disini.
"Saya minta maaf bagi pihak Lily. Assalamualaikum." Bicara Umairah lembut pada semua rakan sekelas sambil menunduk sedikit. Buku-buku diatas mejanya dan Lily dikemas pantas sebelum menarik tangan Lily keluar dari kelas.
Baru saja Umairah menutup pintu kelas, tangisan Lily mulai kedengaran. Kepala yang tidak gatal digaru. Memikir bagaimana cara mahu memujuk Lily. Sepanjang mereka berkenalan, hanya dia saja yang selalu menangis dan Lily akan jadi pemujuk setia. Tidak pernah lagi dia melihat Lily menangis dan dia juga tidak pandai memujuk.
Tangan Lily ditarik lembut menghampiri taman kecil yang berada di blok fakulti itu. Punggung dilabuhkan di kerusi batu yang disediakan.
Semakin lama semakin menjadi-jadi pula tangisan rakannya. Tubuh Lily ditarik dalam pelukan. Belakang badan Lily diusap-usap. Meniru gaya cara Lily selalu memujuknya.
"Aku malu. Macam mana aku nak hadap madam lagi lepas ni?" Adu Lily selepas lama berdiam.
"Minta maaf. Umai yakin dia akan okay kalau Lily pergi minta maaf."
"Umai teman?"
"Mestilah Umai teman. Lily nak pergi bila?" Wajah yang berendam air mata itu dipandang lembut.
"Sekarang. Esok tengah hari kan ada class dia." Cermin mata dibuka dan diletakkan di atas riba. Wajah yang basah dengan air mata itu dikesat menggunakan belakang tudung. Comot sungguh wajah Lily tika itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Seindah Takdir Umairah
RomanceDibenci oleh ibu kandung yang melahirkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang gadis bernama Nur Umairah. Tidak pernah dipinta olehnya dilahirkan dalam keadaan begitu. Tidak pernah dipinta olehnya dibenci dan dipandang serong oleh...
