🍁B A B 33

3.9K 235 18
                                    

'Orang yang berkata jujur akan mendapatkan 3 perkara indah iaitu KEPERCAYAAN, CINTA dan RASA HORMAT.'

Suasana di meja makan malam ini sunyi saja. Tidak seperti biasa. Masing-masing seakan sarat dengan hal sendiri di fikiran. Dalam diam Umairah merenung satu persatu wajah di hadapannya. Wajah yang sudah sebati di matanya sejak beberapa bulan lalu.

Tangan menguis-nguis nasi. Tiada selera untuk makan. Ayat yang dihantar adiknya petang tadi masih berlegar-legar dimata. Mahu atau tidak dia perlu memberitahu keluarga ini mengenai status dirinya. Cepat atau lambat perkara itu tetap akan diketahui juga.

Ada baiknya mereka tahu dari mulut dia sendiri berbanding dari mulut orang luar.

"Umai tak sihat ke? Tak ada selera?" teguran Dato' Uthman menghentikan tangan Umairah bermain nasi.

"Umai sihat je. Sebenarnya Umai ada nak beritahu mommy dengan daddy sesuatu." Bergetar hebat dada Umairah menahan rasa.

"Umai nak beritahu kami apa? Penting ke?" kalut Datin Aini bertanya. Wajah gelisah Umairah menyebabkan dia tidak sabar mahu mendengar.

"Makan dulu. Sekejap lagi kita sembang dekat depan. Makan. Makan."

Umairah mengangguk faham dan meneruskan suapan. Tangan kiri digenggam erat. Cuba mengalirkan kekuatan.

Semoga Allah mempermudahkan segalanya.


"Umar Qaiser. Sini duduk." Panggilan Dato' Uthman menghentikan langkah Umar untuk naik ke atas.

Sejujurnya dia malas mahu ikut serta disitu walaupun dalam hati tertanya-tanya juga perkara yang ingin disampaikan oleh Umairah. Bukan dia tidak perasan, wajah Umairah di meja makan tadi gelisah saja. Tapi dia sendiri tidak pasti kenapa. Andaiannya, Umairah takut akan dirinya.

Kaki mengorak langkah menuju ke ruang tamu. Tempat kosong di sebelah Yusuf dia tuju. Berhadapan dengan Umairah. Sedikit pun dia tidak memandang wajah itu. Pandangan dihalakan pada mommy dan daddy.

"Umai nak bagitahu kami apa?" Tanya Yusuf memulakan bicara.

Wajah tenang Yusuf, Umairah renung dalam. Mencari kekuatan di wajah tenang itu. Teragak-agak pula rasanya ingin memberitahu. Dia tidak sanggup jika keluarga ini turut membencinya.

Tubir mata sudah terasa berat dengan air mata. Bila-bila saja mutiara itu akan jatuh membanjiri pipi.

"Umai?" Yusuf memanggil perlahan.

"Umai nak beritahu mommy dan daddy tentang keluarga kandung Umai." Luah Umairah sebak. Pandangan dijatuhkan kebawah.

Umar yang dari tadi hanya diam tidak endah kini duduk menegak mendengar ayat Umairah. Ayat itu yang dia ingin dengar dari pihak Umairah. Bukan dia tidak pernah selidik mengenai asal usul Umairah tetapi sehingga kini orang yang disuruhnya masih tidak menemui jawapan itu.

"Umai tahu keluarga kandung Umai?" Tanya Datin Aini terkejut.

Mengikut cerita Datin Nora, Umairah diambil di rumah anak yatim. Rakannya itu sendiri tidak tahu tentang asal usul Umiarah. Kemungkinan besar keluarga Umairah sudah meninggal dunia, jadi mereka tidak pernah mencari.

Bagaimana Umairah boleh tahu keluarga kandungnya sedangkan gadis itu tidak pernah mencari?

Umairah mengangguk lemah.

"Mana Umai jumpa dia orang? Mereka setuju Umai kahwin dengan Umar?"

"Ayah Umai boleh jadi wali?"

Empangan air matanya pecah mendengar soalan-soalan itu. Teresak kuat Umairah di depan mereka semua. Terasa kerdil dirinya berada disitu.

Yusuf terus berdiri dan bergerak ke arah Umairah.

Seindah Takdir UmairahWhere stories live. Discover now