"Apabila kamu benar-benar mencintai seseorang, belajarlah untuk menunggu. Mungkin kalian tidak ditakdirkan untuk bersama saat ini tapi di masa depan."
"Angah." Panggil Aishah perlahan apabila kelibat abangnya menyapa mata.
Umar tidak mengendahkan. Kata-katanya pada Aishah beberapa bulan lepas di hadapan semua orang dia tunaikan. Sejak hari itu, dia tidak pernah lagi memperlakukan Aishah seperti seorang adik. Kewujudan Aishah di anggap tidak pernah ada.
Setiap panggilan Aishah padanya selama ini dibiarkan bagai angin lalu. Kalau ikutkan hatinya, bayang Aishah pun dia tidak mahu pandang. Tapi apakan daya daddy memaksa dia untuk terus tinggal di sini. Mahu atau tidak terpaksalah dia turutkan.
"Angah." Aishah mengejar langkah Umar. Tangan memegang perut. Maklumlah usia kandungannya sudah mencecah 6 bulan. Dengan tubuh yang kecil sangat sukar untuk membawa perut yang semakin membesar.
Langkah dilajukan. Sedikit pun hatinya tidak terusik dengan keadaan Aishah. Biar dia rasa bagaimana sakitnya kehilangan orang yang tersayang.
"Sampai hati angah buat Aishah macam ni." Raung Aishah di muka pintu sambil melihat kereta yang dipandu Umar meninggalkan perkarangan rumah.
Sudah empat bulan dia cuba untuk berbaik-baik dengan Umar tapi tiada satu pun usahanya berjaya. Umar dilihat semakin membenci dirinya. Usahanya untuk menghubungi Umairah yang jauh di bumi Canada juga belum berjaya. Umairah sama seperti Umar. Benar-benar membencinya.
Mungkin inilah harga yang harus dibayarnya apabila menghancurkan hidup keluarga sendiri.
"Aishah. Kenapa ni?" Syafiqah yang sedang mendukung anak sulungnya mendekati Aishah. Niatnya mahu ke dapur terbantut apabila melihat Aishah menangis di hadapan pintu.
"Kak long, sampai bila angah nak hukum Aishah? Sampai bila Aishah kena hidup dalam dosa dan rasa bersalah ni? Sampai bila?" Adu Aishah pada kakak iparnya.
Dia tahu Syafiqah juga seperti yang lain cuma wanita ini masih menegur dan mengambil berat tentang dirinya. Dalam rumah ini bukan hanya Umar bersikap dingin dengannya tetapi mommy, daddy dan Yusuf juga.
Mommy tidak lagi mengendahkannya seperti selalu. Panjang pertanyaanya yang dibalas hanya sepatah. Daddy pula dilihat semakin menyibukkan diri di pejabat walaupun hari minggu. Dan Yusuf akan pulang ke rumah sendiri setiap hujung minggu. Kelakuan itu membuktikan yang mereka semua sememangnya tidak mahu berada dekat dengan dirinya.
Bila difikirkan, mungkin lebih baik dia mati sahaja tetapi dia tidak mahu mati tanpa mendapat kemaafan dari mereka semua. Sekurang-kurangnya biarlah dia tenang di sana.
"Aishah sabar ya. Kak long percaya angah dah maafkan Aishah cuma dia belum kuat untuk berdepan dengan Aishah." Syafiqah memujuk lembut.
Aishah kembali tenang mendengar ucapan itu. Air mata dilap menggunakan baju. Matanya jatuh pada Iman Haura yang baru berusia sebulan di dalam dakapan Syafiqah.
Tiba-tiba fikirannya melayang memikirkan nasib anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Bagaimana nasib anak ini nanti? Bolehkan anak ini membesar tanpa seorang ayah? Bolehkah dia membesarkan anak seorang diri dalam usia semuda ini?
Bahkan yang paling teruk membesarkan anak ini dalam kebencian semua orang. Mungkin beginilah apa yang dirasakan Umairah selama ini. Dibenci, disisih dan dibuang.
"Kak long rasa Aishah akan bahagia macam kak long?" Soalan itu meluncur di bibirnya.
Baginya Syafiqah wanita yang sangat beruntung. Dilayan bagai permaisuri oleh Yusuf. Tidak pernah sekali pun dia mendengar atau melihat Yusuf memarahi Syafiqah. Sebaliknya dihadapan khalayak ramai pun mereka masih boleh bermesra. Alangkah indahnya dia berada di tempat Syafiqah.
YOU ARE READING
Seindah Takdir Umairah
RomanceDibenci oleh ibu kandung yang melahirkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui oleh seorang gadis bernama Nur Umairah. Tidak pernah dipinta olehnya dilahirkan dalam keadaan begitu. Tidak pernah dipinta olehnya dibenci dan dipandang serong oleh...