Aku duduk di kerusi yang disediakan di dalam taman berhadapan restoran. Angin malam membuatkan aku memeluk tubuh, terlalu sejuk ku rasakan.Mungkin juga kerana kemeja yang ku pakai nipis sahaja.
Air mata semakin menjadi-jadi lajunya apabila duduk di tempat yang sunyi begini. Berkecamuk rasa di dalam diri dijemput rasa bersalah yang datang semula. Apabila dimanjakan Mirza dan sibuk dengan aktiviti kerja, aku hampir lupa terhadap keluarga yang ku tinggalkan. Hari ini agaknya Allah menghantar Dhina padaku untuk mengingatkan semula dosa yang telah aku lakukan.
Aku cuba menahan esakan tetapi gagal. Tersedu-sedu dibuatnya akibat mahu mengawal suara agar tidak didengar orang.
"Tak sejuk ke?"suara lelaki menegurku. Aku menoleh dan melihat Wahyu menghampiriku. Dia duduk di sebelahku. Perlukah aku bangun dan lari? Malu dan takut rasanya berhadapan dengan lelaki ini.
Aku mengangkat punggung. Mahu lari dari situ. Wahyu menarik tanganku laju membuatkan aku terduduk semula.
Dia memusingkan badanku dan memelukku spontan. Erat hingga aku tidak lagi merasakan kesejukan. Aku menyambung tangisan tadi.Kali ini lebih bersungguh-sungguh.Bagaikan aku mendapat perlindungan secara tiba-tiba.Hangat tubuhnya yang melekat di tubuhku dan usapan tapak tangannya di rambut dan belakang badanku membuatkan aku rasa selamat dan lega.
Pelik.Aku melakukan kesalahan pada Wahyu sebaliknya dia yang menenangkan aku malam ini.
"Wahyu...marahlah aku..."pintaku padanya. Marahlah.Pukullah aku supaya rasa bersalah ini boleh berkurang.
"Syhh...tak payah cakap hal tu malam ni.."Wahyu berbisik padaku perlahan.
Lama dia memelukku. Hingga tangisanku berhenti sendiri.Seperti biasa, sejak kecil inilah lelaki yang akan menyelesaikan masalahku.Tapi buat pertama kali dia menenangkanku dengan memelukku erat dan lama.
Aku melepaskan tangannya dari tubuhku. Wajahnya rapat denganku membuatkan jantungku berdegup laju.Dalam kesamaran diterangi lampu jalan baru aku tersedar Wahyu mempunyai tahi lalat kecil di pipi kirinya.
Aku menolak tubuhnya agar jauh sedikit dariku dan berdehem sedikit untuk menyembunyikan rasa malu.
"Okay dah?"tanya Wahyu perlahan.Aku mengangguk.
"Mana tahu aku duduk sini?"aku bertanya untuk menghilangkan suasana kekok di antara kami.
"Aku nampak kau tadi. Dhina pun ada bagitahu.."
Aku mengesat saki baki air mata di pipi dengan jari.Wahyu menghulurkan sapu tangannya padaku, aku menyambut dan mengelap pipi yang basah.
"Macam mana lah kau ni duduk kat KL aku tak ada ? Kuat sangat menangis."Wahyu mengejekku. Aku mencebik, pura-pura meluat mendengar kenyataan perasannya itu.
"Okay je lah. Cuma Dhina marah aku tadi, terus sedih tak boleh tahan. Aku dah lama tak menangis."aku menjawab, mahu mempertahankan ego. Tapi sememangnya aku jarang bersedih akibat sibuk dengan aktiviti sama ada kerja ataupun keluar dengan Mirza. Sesekali sahaja perit teringat mak, Dhina dan kau, Wahyu Hanafi.
"Adik marah pun nangis.."ejek Wahyu lagi. Aku mencubit lengannya. Dia tergelak. Rindunya aku mendengar gelak itu.
Wahyu mencapai tangan kiriku dan menggenggamnya erat.Aku cuba menarik semula namun semakin kuat genggamannya.
"Jaga diri kau tahu.Aku tahu kau kuat.Jangan biar orang ambik kesempatan pada kau.."katanya perlahan.
Aku tahu itu nasihat ikhlas darinya tapi kenapa telingaku seolah-olah mendengar bicara romantis dari bibirnya.
Seketika aku terasa di awangan.
"Faham tak ni?"tanyanya lagi.
Aku mengangguk sahaja tanpa suara.Aku risau akan menangis lagi akibat rasa terharu yang datang tiba-tiba.
"Wahyu, aku nusyuz.Kesian kau berdosa tanggung isteri derhaka macam aku.."aku bersuara perlahan.
Perlahan-lahan aku mengajak dia untuk membincangkan permasalahan di antara kami berdua.
Aku mendengar dia menarik nafas.Tanganku yang di dalam genggamannya dibawa ke bibirnya, dikucup perlahan.
Sungguh, aku tak pernah melihat Wahyu seromantis ini.
"Kan aku dah kata jangan cakap hal tu malam ni..Biar masa menentukan.Kau cari dulu apa yang kau nak kat sini.Paling penting jaga diri kau.Tapi lagi penting, mak.Kau kena balik, minta maaf pada mak."
Air mataku meleleh lagi mendengar kata-katanya.Beranikah aku balik untuk menghadap mak.
"La..menangis lagi.."tegur Wahyu.Jari-jemari kirinya menyeka air mataku yang jatuh sementara tangan kanannya masih mengenggam tangan kiriku.
Sesekali diciumnya lagi tanganku.
Betapa aku berharap untuk mendapat pelukannya lagi. Ianya seolah-olah ubat mengkhayalkan yang menghilangkan rasa sedih.
Sayangnya suasana mengasyikkan itu diganggu oleh bunyi dari telefon Wahyu.
Dia menjawab namun masih lagi sebelah tangannya memegangku."Okay Iman, kejap lagi saya sampai.."kata Wahyu.
Serta merta hatiku diusik cemburu.Pasti wanita yang duduk di sebelahnya tadi.
"Perempuan yang duduk sebelah kau tadi ya? Siapa perempuan tu?"tanyaku terus tidak bertangguh.
"Perempuan tu ada nama.Iman.Executive admin..Banyak tolong aku untuk urusan company dengan goverment ."
"Lain macam je aku tengok dia pandang kau.Entah-entah dia ada hati pada kau.."tekaku.Susahnya hendak selindung rasa cemburu ini.
"Hai, jeles ke? Dah kau sibuk cari jutawan dekat sini.Aku pun kenala standby cari lain jugak.."jawab Wahyu selamba. Dia melepaskan tanganku dan terus bangun.
"Aku masuk dulu..Jangan duduk lama-lama sini.Sejuk.Tak ada siapa nak peluk kau.."kata Wahyu dalam nada mengusik.Selepas itu dia berlalu meninggalkan aku.
Aku mengetapkan bibir.Apa permainan yang cuba ditunjukkan Wahyu malam ini?Memujuk dan membuai hatiku dan kemudiannya berlakon seperti tiada apa-apa.
Apa sebenarnya perasaan Wahyu terhadapku?
Ah,biarlah masa menentukan.Frasa dari Wahyu tadi ku ungkap perlahan di bibir.
YOU ARE READING
Suami Bukan Pilihan
RomanceDhia Qaireen dilamar oleh jutawan muda industri fesyen Malaysia, Mirza Fadhli. Apa yang dimimpikannya selama ini bagai mimpi jadi nyata. Jadi isteri jutawan. Tapi realitinya tidak semudah itu. Dhia ada rahsia besar. Kisah rekaan semata-mata.Tiada ke...