Bab:1 ☑

18.2K 335 46
                                    


SUASANA malam ini seperti malam-malam yang lain juga. Ayah dan emak sedang menonton berita sambil aku melayan si kecil Raysha. Raysha adalah anak kepada kakakku dan Abang Adam. Berusia dua tahun enam bulan. Setiap hari, emak akan mengasuhnya apabila kakakku, Arianni dan Abang Adam bekerja.

Sedang leka melayan Raysha, tiba-tiba emak bersuara.

"Ada ke kakak telefon Yana bagi tahu lambat balik?" Aku menggeleng. Sambil mataku melirik ke arah jam di dinding. Sudah hampir jam sembilan malam. Biasanya, kalau mereka lewat kerana menyinggah ke mana-mana, pasti akan memberitahu terlebih dahulu.

"Hati saya ni tak sedaplah, bang. Kenapa ye?" adu emak kepada ayah pula. Ayah mengalih pandangan dari televisyen ke wajah emak.

"Jangan fikir yang bukan-bukan. Doakan semuanya selamat."

Emak diam. Namun, jelas emak keresahan. Entah kenapa, aku pun tidak pasti. Mungkin kerana kakak dan Abang Adam yang masih belum pulang.

Betul juga, melihat keresahan emak, aku juga turut merasakan yang sama. Hatiku berdebar-debar. Risau! Ke mana kakak? Selalunya, paling lewat pun jam 8.30 malam sudah sampai di sini. Itu pun kalau mereka menyinggah ke mana-mana. Kalau tidak, sebelum jam tujuh petang sudah sampai.

Aku membelek telefon bimbit. Manalah tahu ada panggilan yang aku terlepas. Aplikasi Whatsapp pun aku buka, juga tiada mesej baru. Kenapa tak bagi tahu apa-apa? Ke manalah mereka?

Tidak lama, telefon bimbit ayah berbunyi. Ayah merenung ke skrin telefon lalu tersenyum. Kemudian ayah menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum. Ya, Adam. Kenapa lambat balik? Mak kamu dah risau sangat, ni." Mata ayah melihat kepada emak sambil tersenyum mengusik. Sesaat kemudian, riak wajah ayah bertukar. Seperti terkejut.

"Astaghfirullah. Kamu kat hospital mana, ni? Baik-baik. Kejap lagi ayah sampai dengan emak. Sabar sekejap." Luas terbuntang mataku.

Hospital?

Emak sudah berdiri mendekati ayah.

"Kenapa bang, siapa kat hospital?" Sebaik ayah menamatkan panggilan, emak terus menyoal. Ayah menarik nafas dalam.

"Kamu bertenang. Jangan nak terkejut sangat." Ayah menggantung ayat. Seperti emak, aku juga tidak sabar ingin mengetahui perkara sebenar.

"Kakak dengan Adam, diaorang accident." Ya Allah.

Kemalangan?

Emak sudah meraung sambil menarik-narik lengan ayah.

"Macam mana keadaan kakak? Teruk ke? Ya Allah, anak aku!" Raung emak tidak berhenti. Aku mendekati mereka. Raysha aku lepaskan untuk bermain.

"Abang pun tak tahu, awak pergi bersiap, kita pergi hospital." Emak laju menaiki tangga untuk ke biliknya.

"Yana, kamu jaga Raysha dekat rumah. Apa-apa nanti ayah bagi tahu." Aku diam sahaja mendengar arahan ayah.

Ikutkan hati, aku ingin bersama-sama ke hospital. Tetapi, Raysha macam mana pula?

Pemergian ayah dan emak ke hospital aku iringi dengan doa. Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan.
Aamiin.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now