SAMPAI sahaja di rumah, emak menyambut kepulanganku di muka pintu.
Pelik!
Keluar sahaja dari kereta, aku hanya melepasi emak sambil cuba memberikan senyuman. Sesungguhnya, hatiku masih belum tenang. Masih jelas terbayang drama tengah hari tadi di mindaku.
"Yana..." Emak memanggil saat melihatku terus mahu menuju ke tangga.
Aku melepaskan satu keluhan yang panjang. Aku sangat ingin berkurung di dalam bilik saat ini. Sangat!
"Mak, Yana penatlah. Kita cakap nanti, boleh?" Aku ingin meneruskan langkah tetapi sekali lagi emak memanggil.
"Kejaplah Yana. Mak dah tak boleh nak sabar ni."
Aduh, apa lagi ni? Aku berpaling juga melihat emak. Alahai, kasihan pula dekat emak. Mungkin memang dia sudah menungguku dari tadi. Akhirnya, aku melangkah juga mendekati emak.
Emak terus membawaku duduk di sofa. Aku ikutkan sahaja.
"Apa yang penting sangat ni, mak?" soalku.
Kalau boleh, biarlah cepat selesainya hal dengan emak ini. Mood aku sudahlah ke laut sekarang ni.
"Ni ha... mak nak tanya pasal Yana dengan Abang Adam."
Aduh!
Perlukah hal ini dibincangkan sekarang? Emak, anak emak sedang kecewa sekarang ini... Kalau sahaja mampu aku kongsikan perasaanku kepada emak sekarang ini...
Emak menyambung lagi apabila aku tidak bersuara.
"Emak bukannya apa, semalam mak Abang Adam dah telefon bertanya. Sebenarnya, pihak lelaki nak terus bertunang kalau Yana setuju." Terbuntang mataku. Bertunang terus? Biar betul?
"Bertunang? Betul-betullah mak," soalku tidak puas hati.
"Betullah. Yana pun kenalah ingat, Abang Adam tu bukannya bujang lagi. Dia tak mahu tunggu lama-lama."
Aku menelan air liur. Terasa perit tekakku. Apa semua ini? Keputusan belum aku fikirkan pun lagi, sudah ada isu baru.
"Emak, Yana belum bersedia lagi nak kahwin." Aku berterus-terang. Harapnya emak akan faham.
"Ala, sekarang baru nak bertunang, bukan nak kahwin terus. Tak perlulah nak ambil masa lama-lama nak fikir, Yana. Kita bukan tak kenal dengan Abang Adam tu. Dia tu, baik. Nak dapat lelaki macam dia sekarang ni, bukan senang." Mendengar kata-kata emak, terus aku teringatkan Fahri.
Betul sangat apa yang dikatakan mak itu. Lelaki zaman sekarang susah sangat nak dipercayai. Nampak baik, belum tentu lagi baik. Abang Adam pula, biar pun dia nampak tidak sabar nak berkahwin semula selepas pemergian isteri, sekurang-kurangnya dia tidaklah berfoya-foya dengan sebarang perempuan. Tapi, masalah sekarang, aku tidak punya perasaan padanya.
"Tapi mak. Yana tak cintakan Abang Adam. Yana dah anggap dia macam abang Yana sendiri. Macam mana kami nak hidup bersama?" Aku cuba meluahkan isi hatiku kepada emak.
"Perasaan ni Yana, boleh berubah-ubah. Orang yang kamu benci pun kamu boleh sayang. Lagi-lagi kalau kamu berusaha untuk sayangkan orang itu. Inikan pula Abang Adam. Kamu bukan benci pun kat dia. Mak rasa, tak susah pun kamu nak cintakan dia." Aku menggigit bibir bawahku. Kenapa kata-kata emak hari ini banyak kebenarannya?
"Betul ke mak rasa Yana akan bahagia dengan Abang Adam?"
Sebenarnya, soalan itu aku tidak mahu tahu pun apa jawapannya. Aku yakin emak pasti akan menjawab 'ya'. Abang Adam itukan pilihannya.
Tetapi, aku bertanya kerana inginkan satu sokongan dalam aku cuba membuat sebuah keputusan. Aku tahu, bodoh kalau aku masih menagih cinta Fahri. Menunggunya bagai buah yang tidak gugur.
Akhirnya, aku sendiri yang akan kecewa. Dia, sudah terang lagi bersuluh sudah punya kekasih. Mungkin kejadian tengah hari tadi hikmahnya untuk aku sedar yang aku dan Fahri tidak berjodoh. Haha, jodoh apalah kalau bertegur pun tidak pernah. Itu bukan jodoh, tapi bodoh! Haih, aku memang bodoh selama ini, kan?
"Yana, emak ni dah makan garam dulu dari kamu. Mak boleh nilai mana lelaki yang betul-betul ikhlas. Kamu sendiri dah tengok macam mana dia layan arwah. Arwah dulu pun, macam kamu juga. Tak cintakan Abang Adam, tapi bila kahwin, bahagia juga." Aku diam. Kata-kata emak cuba aku cernakan.
"Yana, kamu bertunanglah dulu. Kenal hati budi masing-masing. Kalau kamu rasa tak sesuai, sudahlah. Mak tak akan paksa kamu lagi waktu itu."
Aku seolah terpujuk dengan kata-kata emak. Benar apa yang emak katakan. Aku kena kenal Abang Adam dengan lebih rapat sebelum menolaknya. Barulah adil untuk kedua belah pihak. Fahri pun sudah berpunya. Sudah tentu gadis seperti aku bukan pilihan untuknya. Sampai bila aku nak berharap?
"Jadi, macam mana?" soal emak mematikan lamunanku.
Aku memandang emak. Terukir seribu harapan di wajah emak supaya aku bersetuju.
"Hmmm... ikut emaklah. Yana ikut je mana yang baik."
Sesungguhnya, aku belum benar-benar yakin dengan jawapan ini. Tetapi, aku cuba untuk percaya bahawa pilihan orang tua itu yang terbaik untuk kita. Buat masa ini, aku harus teguh dengan keputusan yang aku telah persetujui ini.
"Betul ni, Yana?" Aku mengangguk mengiakan. Emak sudah berseri-seri wajahnya. Gembira benar dengan jawapanku.
"Kalau macam tu, minggu depan kamu akan bertunang."
Apa?!
Minggu depan?
Cepatnya!!
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...