ACIK semakin tidak menentu. Tak habis fikir dia mengenai Yana. Pagi ni, entah apa reaksi Yana bila mereka bertentang mata. Kusut fikirannya...Acik mundar-mandir di dapur rumah Mak Ngah. Kalau selalu, dia adalah orang pertama yang menunggu di pangkin, tapi hari ini tidak.
Dia gementar.
Gemuruh!
Dia mahu menunggu Yana keluar terlebih dahulu. Mak Ngah pula, sudah sedia menanti di pangkin bersendirian.
Mata acik asyik melihat jam di tangannya. Menanti Yana, menambah gelisah yang bukan kepalang!
Tidak lama, kelihatan pintu dapur Yana terkuak. Debaran di dada acik semakin mengencang.
Yana seperti biasa, keluar bersama dulang yang ditatang. Kelam kabut acik menyarungkan kasut kerjanya.
Ah, perasaan gemuruh ini menjadikan segala tindakannya menjadi serba tak kena. Menyarungkan kasut yang mudah pun, dia terhegeh-hegeh mengambil masa.
Siap sahaja, laju acik bangkit semula. Tujuannya, hanya mahu berdepan dengan Yana.
Tapi, acik tergamam. Kaku dia berdiri di tempat di mana dia selesai menyarungkan kasut tadi. Di depan pintu dapur rumah Mak Ngah.
Jatuh bahunya. Namun, matanya langsung tidak lepas daripada menatap Yana. Yana yang sedang mengatur langkah untuk masuk semula ke rumah.
Di tengah perjalanan, mata mereka bertembung pandang.
Acik cuba mahu mengukir sebuah senyuman ikhlas. Tapi tak sempat. Yana lebih pantas melarikan anak matanya dan melajukan langkahnya.
Sekelip mata... Yana hilang dari pandangan. Lemah langkahnya diatur mendekati Mak Ngah di pangkin.
Perasaannya kini, nyata tidak tenteram. Fikirannya, tidak pernah lepas daripada memikirkan Yana.
"Lambat kamu bersiap hari ni acik?" Acik pandang Mak Ngah... Kosong!
Apa yang Mak Ngah katakan, langsung dia tidak dengar.
Matanya, masih memandang Mak Ngah. Tetapi, fikirannya tidak bersama di situ.
"Kita makan roti je hari ni. Yana tak larat nak masak." Acik terpinga-pinga.
Kurang jelas kata-kata Mak Ngah. Namun, ayat akhir Mak Ngah itu...
"Yana apa Mak Ngah?" soalnya semula.
"Yana, dia tak berapa sihat hari ni. Tu yang masuk awal. Kesian dia." Acik terus tertunduk.
Tak sihat?
Diakah penyebabnya?
"Ha acik..." Tamparan lembut di peha acik menyentak lamunannya. Terangkat tinggi bahunya akibat terkejut.
"Kamu ni kenapa?" soal Mak Ngah lucu sambil ketawa kecil.
"Kenapa Mak Ngah?" soal Acik sambil tersengih malu.
"Mak Ngah kejap lagi nak ke rumah Mak Siah. Ada rewang, esok kenduri kahwin anak bongsu dia." Acik angguk kepala.
"Kamu balik awal, kan hari ni? Jadi, makan siap-siap la dulu kat luar. Mak Ngah tak sempat kot balik masak. Yana pun, tak sihat tu." Acik angguk lagi. Faham.
"Ha, makan la acik oi. Da pukul berapa ni? Lewat nanti." Acik garu pelipisnya.
Acik capai roti yang sudah di sapu dengan mentega dan sekaya. Hatinya tidak tenang, apa yang masuk dalam mulutnya pun hanya dikunyah dan terus ditelan. Tiada rasa!
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...