Bab:5 ☑

6.2K 195 26
                                    


SELEPAS pemergian kakak, aku bercuti lagi. Tetapi tidak selama yang sebelum ini. Hanya tiga hari, selepas selesai majlis tahlil yang ketiga hari barulah aku bekerja semula. Mujurlah pengurus dan rakan sepejabat memahami keadaanku.

Dengan itu, seperti biasa pulang dari bercuti, aku dilambakkan dengan kerja yang bertimbun.

Sehari suntuk aku akan terperangkap di ruang kerjaku sahaja. Keadaan sebegitu berlarutan untuk beberapa hari.

"Akak, tak keluar makan? Nina tengok dah berapa hari akak tak keluar." Aku melihat jam. Sudah sampai waktu makan tengah hari. Patutlah perut terasa agak pedih.

"Nak keluar jugak ni. Aduh, banyak sangat kerja sampai jam pun tak sempat nak tengok," keluhku. Nina menyengih.

"Nina gerak dulu. Sofi dah tunggu kat bawah." Aku mengangguk.

Sofi itu sahabat Nina yang bekerja di pejabat sebelah. Pejabat yang sama di mana si dia yang selalu aku perhatikan itu bekerja. Mendengar nama Sofi, teringat pula pada si dia.

Teringatkannya, membuatkan aku ingin segera turun ke kedai makan di tingkat bawah. Harap-harap dapatlah melihat si dia hari ini. Hampir sebulan aku tidak bersua dengannya. Gara-gara aku kerap mengambil cuti dan terperangkap dengan kerjaku yang berlambak itu.

Sebaik kakiku melangkah masuk ke kedai makan tersebut, mataku terus sahaja menangkap susuk tubuh yang aku rindui itu. Dia sedang duduk di meja makan yang agak terlindung. Di situlah biasanya pun tempat kegemarannya. Dengan baju kemeja bewarna biru gelap, tali leher bewarna kelabu, duduk bersendirian, emm... indah sungguh pemandangan ini.

Sambil aku mengambil makanan, mataku sempat lagi mencuri-curi pandang ke arahnya. Tetapi, sudah pasti aku harus bijak untuk menyembunyikannya.

Aku tidak melakukan dengan terang-terangan. Risau, manalah tahu kalau dilihat orang lain akan timbul fitnah pula nanti. Ialah, aku ini perempuan. Tidak manis, seorang dara terlalu terhegeh-hegeh kepada si teruna. Buruk perangai. Memalukan sahaja.

Lagi pula, dia itu memang sudah terkenal dengan ramainya peminat. Mana aku mendapat tahu? Sudah tentulah dari Nina yang bersahabat baik dengan Sofi. Adakala, aku dan Nina ada juga berbual-bual mengenai si dia ini. Apabila Nina sudah mula membuka cerita, aku apa lagi. Menadah telinga dengan seluas-luasnyalah. Banyak juga maklumat yang aku peroleh. Info paling penting, bahawa si dia yang bernama Fahri itu masih belum berpunya. Belum memiliki kekasih, belum bertunang apatah lagi berkahwin.

Jadi, masih ada lagi harapan untukku. Cuma, apa yang menghalang hanya satu.

Malu!

Mustahil aku yang perlu memulakan langkah pertama. Meluahkan rasa yang terpendam ini. Aku ini masih lagi perempuan melayu tipikal.

Pendirianku, lelaki haruslah memulakan langkah pertama. Timba mana boleh mencari perigi. Tapi, timba yang satu ini, nampakkah kewujudan si perigi ini? Adakah banyak semak dan hutan yang melindungi? Hingga terhalang pandangannya dari melihat aku?

Hurmm... bagaimanalah agaknya dia akan terperasan akan kewujudan aku. Kalau dirinya sudah sangat semak dengan gadis-gadis sunti yang merebut perhatian darinya. Aku pula, hanya menanti dan berharap dia menyedari kewujudanku tanpa ada usaha sedikit pun untuk menarik perhatiannya.

Bolehkah begitu? Atau, aku akan dikecewakan oleh pendirianku ini?

Fahri, kenapalah semudah ini hatiku terpaut padamu? Kenapa aku begitu suka dengan semua yang ada pada dirimu? Kenapa aku merasakan yang dirimu sangat sempurna hingga tiada siapa pun yang dapat menandingi dirimu?

Entahlah, sampai bilalah aku akan berkeadaan seperti ini. Memendam rasa dan terus membaja cinta untuk dirinya.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now