Bab:23 ☑

3.9K 136 14
                                    


Arianna

TERSELIUH!

Nasib baik cuma terseliuh. Tapi dia punya sakit, macam retak atau patah sahaja aku rasa. Mengada betul, kan? Sudahnya, berbalutlah kaki kiri aku itu. Untuk sakit-sakit yang aku rasakan di seluruh badan, mujur tiada kecederaan serius. Cuma kesan lebam sahaja sudah mula kelihatan di beberapa tempat.

Selepas pemeriksaan, aku dipapah sekali lagi dan dibawa ke ruangan menunggu. Doktor memberikan aku cuti sakit selama tiga hari. Semasa menunggu itu, aku dan Fahri sama-sama diam.

Sebenarnya, dari dalam kereta tadi lagi kami tidak bersuara. Kekok!

Aku langsung buntu untuk memulakan sebarang perbualan. Fahri sendiri, dia seperti sangat selesa bermain dengan telefon bimbitnya. Alahai.

"Sorry, susahkan awak." Akhirnya. Aku berjaya memecahkan tembok kesunyian antara kami. Fahri terus sahaja menoleh ka arahku.

"It's okey. So, macam mana sekarang? Rasa okey?" Aku mengangguk.

"Okey. Tapi badan ni rasa sakit-sakit jugak. Kaki lagi." Fahri menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar. Macam mahu memberi sepenuh perhatian kepadaku. Ceh, perasan!

"So, balik ni terus makan ubat dan rehat. Okey?" Aku mengembungkan pipi. Fahri tertawa kecil.

"Saya takut bila awak menangis tadi. Tak tahu nak buat apa." Aku mengetap bibir. Alamak, dia buka cerita menangis ni dah kenapa? Malu!

"Itulah. Saya pun tak sangka boleh sampai menangis. Sakit sangat, kot," bohongku. Aku menggaru kening.

"Arianna..." Aku menoleh memandangnya. Entah mengapa, setiap kali mendengar dia menyebut namaku, pasti jantungku akan bergetar.

"... actually, saya nak minta maaf. Pasal apa yang jadi hari tu." Aku terdiam.

Gusar bila peristiwa itu diungkit kembali. Aku menggaru kening lagi.

"Saya tahu, awak mesti fikir saya ni teruk. Kan?" Aku menggigit bibir bawah. Tepat apa yang dia katakan. Tapi, walau apa pun yang aku fikirkan tentang dia, aku tetap tidak mampu untuk membencinya.

"Betullah apa yang awak cakap tu."
Terbeliak matanya memandangku.

"Tapi sekarang, saya rasa awak taklah teruk sangat, kot?" Fahri mengusap belakang lehernya sambil tersengih.

"Mungkin awak tak seperti yang saya fikir. Boleh jadi ada sebab kejadian tu berlaku." Aku memandangnya. Dia juga. Kami saling bertatapan. 

"Hurmm, kalau saya nak tanya, boleh?" tanyaku. Dia mengangkat kening.

"Kenapa ye, kejadian tempoh hari tu boleh berlaku?" Jelas aku dapat melihat dia tersentak. Fahri mengusap lagi belakang lehernya.

"Arianna..." Dia memanggil namaku lagi. Haishh.

"Sebenarnya..." Fahri tidak sempat menjawab persoalan yang selalu bermain di dalam benakku apabila tiba-tiba Abang Adam muncul. Aduh, kacau daun betul!

"Yana buat apa kat sini?" Abang Adam meluru ke arahku dan terus menyoal. Aku tidak menjawab soalannya, sebaliknya hanya menunjukkan kaki kiriku yang sudah berbalut.

"Ya Allah! Kenapa ni? Kenapa tak call abang? Okey tak ni?" Entah kenapa soalan bertalu dari Abang Adam membuat aku tidak berasa selesa.

Aku memandang Fahri. Mata kami bertembung. Tapi sekejap, sebelum dia berpaling memandang ke arah lain. Tiba-tiba namaku di panggil. Fahri bangun dan memberi isyarat bahawa dia yang  akan ke kaunter. Aku kembali memandang Abang Adam.

"Yana okey. Terseliuh, je. Abang Adam buat apa kat sini?" Pelik juga Abang Adam tiba-tiba muncul di sini.

"Mama pesan suruh abang ambil ubat darah tinggi." Dalam masa yang sama Fahri telah kembali dari kaunter.

"Ni, siapa?" Aku menjadi serba-salah. Juga malu kepada Fahri. Nada Abang Adam agak kasar. Aku dapat mengesan aura cemburu di situ. Cemburukah, dia?

"Abang Adam, kenalkan ni Fahri..." Aku memandang Fahri. Dia memandangku terkejut.

Alamak, kantoi aku sebenarnya tahu nama dia. Tapi, aku terus berlagak biasa.

"... dia yang tolong Yana tadi. " Sambungku lagi. Abang Adam bangun dan mendapatkan Fahri yang duduk di sebelah kiriku. Cuak aku ketika ini. Muka Abang Adam mencuka! Aku takut dia pengapakan Fahri.

"Thanks." Lega. Dia mahu berterima kasih rupanya. Abang Adam menghulur tangan kepada Fahri. Hulurannya bersambut.

"Adam Armand. Tunang Yana." Aku memandang tidak percaya ke arah mereka.

Abang Adam betul-betul buat aku bertambah tidak selesa. Fahri mengangguk kepala sambil tersenyum. Dalam masa yang sama dia sempat menjeling ke arahku. Aku terus melarikan pandangan. Abang Adam kembali duduk di sebelah kananku. Fahri juga kembali duduk.

"Lepas ni, Yana nak ke mana? Abang hantar Yana balik?" Aku terasa berat hati dengan usul Abang Adam.

"Tak apalah, Yana balik dengan Fahri. Sebab, kereta dengan barang-barang Yana masih ada kat ofis." Ah, alasan sebenarnya. Aku tidak mahu dibawa pulang oleh Abang Adam. Aku tidak mahu dipapah oleh Abang Adam.

"Tak apa. Kita pergi ofis Yana dulu. Ambil barang je dulu. Kereta biarlah nanti kita ambil bila dah sihat." Mati akal.

Aku memandang Fahri. Fahri yang sedang mendengar perbualan kami cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain.

"Abang Adam, Yana..." kata-kataku terhenti apabila telefon bimbit Abang Adam berbunyi. Abang Adam membuat isyarat supaya aku menunggu dan menjawab panggilan tersebut.

"Oh my... Okey.  Sekejap lagi saya sampai." Sejurus mematikan talian, Abang Adam memandang aku dan Fahri silih berganti.

"Abang ada meeting penting dengan papa hari ni. Abang terus terlupa bila tengok Yana tadi. Aduh, macam mana ye?" Abang Adam mengurut pelipisnya.

"Tak apa. Saya boleh hantarkan Arianna. Jangan risau." Fahri mencelah tiba-tiba. Abang Adam memandangnya.

"Saya minta maaf sangat susahkan awak." Fahri tersenyum cuma. Kemudian Abang Adam mengalih pandangan kepadaku.

"Sorry, abang tak dapat sama-sama dengan Yana time macam ni. Janji malam ni, abang akan datang rumah." Aku mengembungkan pipi. Abang Adam buru-buru berlalu setelah mengambil ubat di kaunter.

Selepas Abang Adam berlalu, Fahri memapah aku ke keretanya. Kami kembali semula ke pejabat. Maklumlah, semasa turun untuk makan tadi, aku cuma membawa dompet dan telefon bimbit sahaja. Sampai di kawasan parkir, aku menelefon Nina dan meminta dia membawakan tas tanganku turun ke bawah. Sampai sahaja dia kepadaku, terus bertubi-tubi soalan dia ajukan padaku.

Aku cuba menerangkan padanya seringkas yang boleh. Tidak selesa kerana denyutan di bahagian kaki yang terseliuh itu semakin menyucuk. Mungkin kerana banyak bergerak.

Aku menyerahkan sijil cuti sakit kepada Nina untuk diberikan kepada pengurusku. Nina juga tidak boleh berlama-lama kerana sekarang adalah waktu bekerja. Cepat-cepat dia kembali semula ke pejabat selepas selesai semuanya.

Fahri menghantar aku ke rumah dengan menaiki keretaku. Kemudian dia akan kembali ke pejabat menaiki teksi. Mulanya, aku tidak bersetuju. Kasihan padanya. Sudahlah bersusah payah membawa aku ke klinik. Kemudian menghantarku pulang pula. Selepas itu, dia pula kena pulang menaiki teksi. Tapi, dia pula terus  berkeras. Malas mahu bertengkar, aku ikutkan sahajalah.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now