AriannaCUTI seminggu yang aku ambil, hanya berbaki dua hari lagi. Aku semakin pasrah dengan keadaan ini. Aku akan terima apa sahaja yang bakal berlaku. Untuk berdepan dengan Fahri, aku perlu membina semula kekuatan. Ya, aku rapuh. Sangat rapuh!
Andai sahaja dia tahu betapa dalamnya perasaan yang telah terbit dalam hatiku ini istimewa hanya untuk dirinya, pasti dia tidak akan mengabaikan aku sebegini mudah.
Air mata yang mengalir di pipi
kusapu. Aku tahu, kesedihan ini tiada siapa pun yang akan peduli. Emak, sejak kejadian malam itu, aku seolah sudah kehilangan kasih dan sayang daripadanya. Kami tidak lagi seperti pasangan emak dan anak. Aku faham, emak benar-benar marahkan aku.Adakalanya, emak saat dia marahkan sesuatu boleh mengambil masa yang sangat lama untuk hatinya pulih seperti sediakala. Aku juga sangat faham, emak tidak akan pernah terpujuk andai aku memujuk sekalipun. Sekali dia benci, tanggunglah sendiri akibatnya. Aku pasrah, namun aku tetap tidak putus berdoa semoga emak akan memaafkan aku dan menerima aku seperti sediakala.
Ayah pula, aku tahu dia memendam rasanya. Ayah tidak sama seperti emak. Kalau sekalipun ayah marah, dia masih bersikap rasional. Aku sangat terharu, kerana ayah lebih mementingkan perasaan aku yang diabaikan suami dan emak sekarang ini, daripada memikirkan perasaan malu dan marahnya.
Di rumah ketika ini, aku hanya ada ayah. Ayah seorang sahaja yang masih mahu mengambil berat tentang aku. Adakalanya, sikap ayah benar-benar membuatkan aku merasa sangat-sangat bersalah. Aku tidak rasa, aku layak dilayan sebegitu.
Sepatutnya, ayah meluahkan rasa marahnya padaku. Memarahiku atau memukul aku. Biar separuh mati aku dipukul sekalipun, aku tidak akan salahkan ayah. Yang penting, aku dapat mengurangkan perasaan bersalah yang menggunung dalam hatiku ini. Atau, adakan ini bentuk hukuman dari ayah untuk aku? Membiarku terus dihantui oleh perasaan bersalah?
Ah, rupanya itu lebih menyakitkan daripada dipukul separuh mati!
Malam ini, aku kuatkan hati untuk bersama-sama ayah dan emak di ruang tamu. Sebenarnya, sejak kejadian malam itu aku banyak berkurung sahaja di dalam bilik. Cuti yang aku ambil, lebih mendera perasaan. Raysha juga tidak lagi tidur denganku. Entah alasan apa emak mengambilnya daripada aku. Kalau ada pun, hanya sekejap-sekejap sahaja aku dapat bermain dengannya.
Kemudian, emak akan membawanya jauh daripada aku. Aku tahu, kalau sakit yang aku rasakan kerana sikap emak itu, emak pasti jauh lagi sakit daripada itu. Jadi, aku harus abaikan perasaan ini. Tabahlah engkau wahai hati. Ini adalah akibat dari perbuatan bodoh tuan badanmu.
Saat aku ke ruang tamu, emak dan ayah sedang leka menonton televisyen. Raysha pula, sibuk dengan alat permainannya. Teragak-agak aku mengambil tempat di sofa berdekatan emak. Aku tahu, emak sedar akan kehadiran aku, tapi emak berlagak seolah-olah aku tidak wujud pun di situ.
"Dah solat?" Aku mengangguk sebagai jawapan kepada soalan ayah.
"Yana, ayah nak tanya sikit dengan kamu, ni." Semerta debaran di dadaku dipalu kuat. Aku rasa, aku tahu apa yang ingin ayah katakan. Aku cuma memandang ayah. Menanti butir bicara selanjutnya.
"Suami kamu..." Ayah terhenti dan melepaskan keluhan. Berat kedengaran keluhan ayah itu. Adakah, ayah juga menanggung berat yang sedang aku rasakan kini?
"...dia tak cakap apa-apa? Dah seminggu ni, Yana." Aku menggigit bibir bawah.
Sumpah, tiada jawapan yang mampu aku berikan saat ini. Aku sendiri masih tertanya-tanya tentang status perkahwinan aku. Masih bergelar isteri, dalam proses diceraikan atau terus digantung tidak bertali!
"Yana tak pasti, ayah," jawabku perlahan sambil menunduk.
Bagaimana mampu aku bertentang memandang ke dalam mata ayah, setelah apa yang telah aku lakukan?
"Tak usahlah awak nak kisah pasal hidup dia, bang! Dia sendiri yang minta jadi macam ni, biarkan je." Penuh sinis nada emak. Aku menarik nafas sedalam mungkin. Cuba untuk tidak terasa dengan kata-kata emak.
"Awak ni kenapa?" soal ayah tidak senang.
"Abang, awak jangan sesekali cuba nak salahkan saya. Saya ni, malu tau! Semua orang sibuk dok cerita pasal anak dara awak tu, dah nak nikah boleh pula gatal nak cari jantan! Mana saya nak letak muka saya, ni!" Aku tertunduk.
Seperti emak, aku juga malu. Sangat-sangat malu! Tapi, apa lagi yang mampu aku lakukan. Nasi pun sudah menjadi bubur.
"Sekarang, padanlah dengan muka dia. Lelaki baik macam Adam tu, dia tak dapat, jantan yang dia dok kejar tu pulak, tak ingin pun dengan dia!"
Tersentak saat aku mendengar kata-kata emak itu! Hatiku terguris. Aku sedar, itu adalah kenyataannya. Kenyataan yang sangat pahit untuk aku telan.
Air mataku sudah mula bertakung. Bila-bila masa sahaja akan jatuh. Namun aku cuba menahannya. Aku tidak mahu menangis di hadapan emak, apatah lagi di hadapan ayah. Yang lebih banyak memendam perasaannya itu.
"Ayah tak tahu nak cakap apa, Yana. Yang ayah tak faham, kenapa terima pinangan mereka kalau Yana tak nak kahwin dengan Abang Adam." Aku memandang ke arah emak.Air liur kutelan. Perlulah aku ceritakan pada ayah? Yang aku pernah berterus-terang dengan emak, juga Abang Adam?
"Yana cuba nak terima Abang Adam. Tapi, makin Yana cuba, makin Yana tak boleh." Aku memandang emak lagi. Tapi, sedikit pun emak tidak pedulikan aku.
"Dah, tu! Perlu ke Yana lari? Kan, boleh bincang?" Aku mengetap bibir.
"Yana dah cakap dengan mak. Abang Adam pun dah tahu. Tapi, semua suruh Yana teruskan juga." Teragak-agak aku meluahkan. Ayah terus memandang emak. Emak pula memandang aku.
"Dah kalau nak tolak tuah, jangan nak salahkan orang! Kau ingat, kalau kau kahwin dengan lelaki kau suka, dia suka ke kat kau?" Sekali lagi kata-kata berbisa emak menikam ke tangkai hatiku. Ayah menggeleng kepala berkali-kali.
"Arianna. Kamu tu anak ayah. Kuasa menikahkan kamu ada di tangan ayah. Bukan emak atau Adam. Dari awal, ayah tak pernah setuju, juga tak membantah! Ayah ikut apa sahaja yang kamu mahu. Kalau sekali sahaja, kamu berikan keputusan kamu pada ayah, kamu tak akan lalui semua ni. Kenapalah kamu tak letak kepercayaan kamu pada ayah?"
Sebaik mendengar itu, air mataku jatuh bercucuran. Ya Allah, kenapa sekalipun aku tidak diberikan kekuatan untuk berterus-terang pada ayah? Kenapa aku memilih untuk lebih takut akan tindakan ayah daripada mempercayai ayah?
"Sudahlah. Kamu berserahlah. In Sha Allah. Kalau ini memang dah ditakdirkan, pasti akan ada hikmahnya. Dugaan yang Allah turunkan, hanya kepada hamba yang mampu untuk melaluinya. Ayah yakin, kita semua mampu lalui semua ini."
Aku menangis lagi. Ayah, dia langsung tidak memarahiku. Malah, menunjukkan padaku betapa besar kasih sayangnya terhadapku. Aku benar-benar berasa bersalah terhadap ayah.
Setelah aku tidak lagi mampu menahan sakitnya apabila cuba menahan sebak di dada, aku meminta diri naik ke bilik. Biarlah aku meluahkan segala tangisan di dalam bilikku. Biar hanya aku sahaja yang tahu kesakitan dan kepedihan yang aku lalui ini.
Aku yang menempah bencana ini, jadi biar aku menanggung akibatnya. Aku tidak perlu menunjukkan kesakitan ini kepada emak dan ayah. Kalau pun, kekuatan aku sudah memang tiada lagi, itu bukan masalah untuk mereka fikirkan. Aku yang perlu mencari sendiri kekuatan itu.
Harus!
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...