SEPANJANG perjalanan pulang, Arianna masih juga mendiamkan diri. Saat diberitahu bahawa Fahri akan membawa dirinya pulang juga, dia langsung tidak membantah... mahupun bersetuju.
Dari hospital, mereka terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Barang-barang Arianna, semuanya Nadia yang kemaskan.
Nadia, masih menyambung cuti. Mereka pulang hari ini juga menaiki kereta Nadia. Tetapi, Fahri yang memandu.
Wan... selepas dua hari di sini, dia terpaksa pulang semula. Dia terpaksa meninggalkan Fahri. Tuntutan kerja, memaksanya pulang.
Mujur juga Nadia masih ada. Jadi, hari ini mereka bertolak pulang bersama.
"Kau kena banyak sabar, Fahri. Yana tu... Insya Allah akan okey nanti." Fahri angguk lemah.
Sebaik sampai, Arianna terus masuk ke biliknya. Berkurung!
Nadia juga tidak dia pedulikan lagi. Mujur Nadia tidak mengambil hati.
"Aku nak gerak dulu ni. Apa-apa hal, kau call je aku." Fahri menghantar Nadia sehingga ke pintu.
Entahlah, sukar untuk Fahri mengerti. Mengapa Arianna begitu? Dia marahkan siapa?
Nafas ditarik dalam. Dia tahu, dia perlu banyak bersabar. Cuma, mampukah dia terus bersabar?
Hampir tujuh bulan dia terpaksa berjauhan dengan Arianna. Setiap hari, dia tidak pernah berhenti mahu mengetahui akan isi hati isterinya itu.
Akhirnya, dia mendapat jawapan yang sangat dia inginkan, iaitu balasan cinta daripada Arianna.
Tapi, begini pula jadinya.
Arianna, sangat terkesan dengan kehilangan bayi mereka. Sehingga dia mendadak berubah begitu.
Fahri atur langkah lemah menuju ke dapur. Mahu menyediakan makanan untuk Arianna.
***
ESOKNYA, kedua ibu bapa Arianna berkunjung ke rumah. Mereka sangat risaukan keadaan Arianna.
Kedua ibu bapanya dapat merasa perubahan ketara anak perempuan mereka itu.
Arianna tidak lagi tersenyum mesra. Tiada lagi sapaan mesra.
Saat mereka tiba, Arianna menyediakan minuman. Dihidangkan dan dia duduk sebentar bersama di ruang tamu.
Tetapi, belum sampai sepuluh minit, dia sudah membawa diri ke dalam bilik semula.
"Macam tula Arianna sekarang." Mata mereka masih mengekori Arianna yang menuju ke biliknya.
"Dari tadi, sepatah pun dia tak bercakap." Fahri mengiyakan kata-kata ayah mertuanya itu.
"Ayah risau. Yana bukan macam ni." Jelas dapat melihat kerisauan di raut tua itu.
"Saya pun tak tahu nak buat apa ayah." Mereka diam.
Masing-masing memikirkan keadaan Arianna yang agak merunsingkan itu.
Tidak lama, kedengaran sayup suara Arianna mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran.
"Buat masa ni, saya tahu Arianna tak akan bertindak bodoh. Cuma, entahlah... dia lebih selesa memencilkan diri." Fahri pandang kosong pintu bilik Arianna.
"Fahri..." Fahri alih pandangan ke arah ibu mertuanya.
"Yana mungkin masih tak percaya... yang anak dia dah tiada."
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...