Bab:13 ☑

4.9K 156 2
                                    

SELEPAS menghantar aku dan Raysha, Abang Adam hanya singgah sebentar lalu meminta diri. Apabila kelibat kereta Abang Adam tidak lagi kelihatan, emak mula memandangku sambil tersenyum-senyum.

Pelik!

Macam ada yang disembunyikan! Memandangkan hari sudah lewat petang, aku tidak hiraukan emak dan berlalu ke bilik untuk mandi dan solat Asar.

Malam itu, selepas makan malam aku berkira-kira untuk berehat di dalam bilik kerana kepenatan. Tetapi, emak pula menyuruh aku ke ruang tamu. Ada yang ingin dibincangkan katanya.

"Yana, sebenarnya ada hal penting yang mak nak sampaikan." Serius bunyi nada suara emak. Aku mula terasa debaran.

"Yana ingat lagi, kan mak cakap Abang Adam nak kahwin semula?" Aku mengangguk sebagai jawapan.

Kenapa pula hal perkahwinan Abang Adam yang menjadi hal perbincangan kami?

"Mak nak cakap pasal nilah dengan Yana. Pasal Yana dengan Abang Adam." Semerta aku memandang  muka emak.

Aku?

Dengan Abang Adam?

Apa kaitannya?

"Mak nak cakap apa ni? Apa kena mengena Yana dengan Abang Adam nak kahwin ni?"
Aku semakin merasa tidak sedap hati.

"Sebenarnya..." Emak memandang ayah. Mataku turut terikut memandang ayah.

"Abang, awaklah yang bagi tahu pada Yana, ni." Aku memusatkan kembali pandangan mataku pada ayah.

Perasaan tidak enak itu semakin menguasai hatiku. Aku cuba meneka-neka, tapi cuma satu kemungkinan yang terus berlegar-legar di fikiranku. Adakah, aku perempuan yang dimaksudkan oleh Abang Adam tadi?

"Macam ni, ayah sebenarnya tak mahu campur tangan dalam soal jodoh kamu. Tapi, malam ni ayah nak bertanya. Andaikata, Abang Adam mahu kamu jadi isteri dia, kamu setuju atau tidak?"

Walau ayat ayah kedengaran sangat teratur, namun ianya seolah-olah peluru yang ditembak bertalu-talu ke telingaku.

"Yana, sebelum kamu buat keputusan, emak nak kamu fikir dulu perkara ini masak-masak. Paling tidak, fikirkanlah tentang Raysha."

Perbincangan itu tamat hanya di situ. Selepas mendengar nasihat dari emak, aku terus meminta izin untuk masuk ke bilik.

Sesungguhnya, aku amat terkejut dengan berita ini dan rasanya aku masih lagi belum sedar dari kejutan yang aku terima ini.

***

"BIAR betul, Yana! Wah, Abang Adam tu nampak je macam tu, tapi boleh tahan juga, eh!"

Aku memuncung mendengar komen dari Nadia setelah aku memberitahu hajat Abang Adam kepadanya.

Nadia adalah sahabat yang paling akrab denganku. Selalunya, kepadanyalah tempat aku mangadu atau meluahkan perasaan. Setahu aku, antara kami tidak pernah ada rahsia.

"Kau ni, Nad. Aku cakap betul, ni! Buntu aku fikir pasal ni. Tiba-tiba je. Tak sangka langsung Abang Adam tu nak pilih aku jadi isteri dia," luahku lagi pada Nadia.

"Alah, Yana. Tak payahlah nak serabut sangat. Ayah kau pun dah cakap, keputusan dekat tangan kau. So, nak risau kenapa?" Nadia cuba menyedapkan hatiku.

"Entahlah, Nad. Aku tahu yang aku tak akan terima Abang Adam jadi suami aku. Cuma, aku tak tahu macam mana nak cakap dengan emak. Kau tahu jelah perangai mak, kan. Kalau dia dah suka, boleh pula aku nak cakap tidak!" Terdengar keluhan di talian sebelah sana.

"Kenapa? Mak kau nak sangat ke kau kahwin dengan Abang Adam?" Aku pula mengeluh dengan soalan Nadia ini.

"Umm... macam tulah nampaknya. Emak macam harap sangat aku setuju," kataku lemah.

"Kalau macam tu, susahlah. Haa... kau cuba bincang dengan Abang Adam! Cuba bagi dia faham." Aku mencebik mendengar saranan Nadia itu.

"Eeii... tak naklah aku. Kau tahu tak, sejak aku dapat tahu pasal ni, aku dah tak bertegur lagi dengan dia, tau! Patutnya, kat situ pun dia dah boleh tahu aku tak sudi." Nadia ketawa mendengar kata-kataku.

"Kau jangan, Yana. Mana tahu kalau dia faham pun tapi dia sengaja buat tak faham. Janji dapat kahwin dengan kau." Nadia ni, nak mengusik pun agak-agaklah.

"Haishh... kau ni, kan! Aduh, tension betul aku ni!" Semerta ketawa Nadia mati.

"Dahlah tu, Yana. Jangan nak kusut sangat. Ha, ni aku dah lama tak dengar pasal Fahri. Dia okey ke?" Nadia pasti mahu mengalihkan perhatianku dari terus memikirkan tentang hajat Abang Adam.

"Biasalah Fahri. Aku ni jelah yang angau kat dia. Dia, macam tu juga!" jawabku padanya.

"Yang Fahri ni pun satu hal. Apa kata kau cuba tackle dia. Mana tahu, selama ni dia tunggu kau mulakan dulu."

Meletus ketawaku mendengar idea bodoh yang keluar dari mulut Nadia.

"Banyaklah kau! Ingat aku ni, apa? Buatnya aku pergi tackle dia, lepas tu dia reject aku. Buat malu, je. Alah Nad, lelaki macam Fahri tu, tak ada maknanya nak tunggu perempuan mulakan dulu. Mana tahu dah berderet girlfriend dia. Kita je yang tak tahu," kataku panjang lebar.

"Eleh, macam mana pun, itu jugalah lelaki yang kau dok gila, kan?" Meletus ketawa kami serentak.

"Yang 'AF' tu pulak, masih hantar bunga kat kau?"

Ha, ini pun satu lagi masalah. Aduh!

"Masih! Macam tulah dan tetap berahsia. Aku tak fahamlah, apa motif dia agaknya, kan?"

Sekali lagi aku meluahkan kemusykilan tentang pengirim bunga misteri itu kepada Nadia.

"Entah! Apa jenis pengecut la lelaki seorang ni. Berani luahkan cinta, tapi tak berani nak bersemuka. Macam mana nak bercinta?"

Nadia pula meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

"Itulah, Nad. Kadang-kadang aku rasa macam kena gantung tak bertali." Nadia ketawa terbahak-bahak.

"Kau ni! Aku cakap kau gelak-gelak, kan! Betul apa aku cakap? Nak bercinta dengan orang lain, takut si dia tu Mr. Right. Nak tunggu, takut pula si dia tu tak muncul-muncul. "

Nadia masih lagi dengan ketawanya .

"Alah, macam mana pun, kau tetap juga ada perasaan pada Fahri, kan? Gantung tak bertali, konon! Geli aku dengar!" Kami ketawa lagi.

Kemudian, kami terpaksa menamatkan perbualan kerana Raysha yang nyenyak tidur terjaga kerana mendengar ketawaku. Cepat-cepat aku bancuhkan susu dan menidurkannya semula.

Haih... mujur sahaja aku punya Nadia untuk meluahkan segala perasaan. Sekurang-kurangnya, reda sedikit perasaan tekanan yang aku alami semenjak hajat Abang Adam sampai ke pengetahuanku beberapa hari lalu.

Bukan Kerana Aku Tak CintaWhere stories live. Discover now