PAGI-PAGI lagi acik sudah menanti Yana di pangkin. Dadanya terasa penuh dengan debaran. Tangan digosok berulang kali. Dengan harapan, segala gemuruhnya akan terus jatuh berguguran.
Acik yakin benar, ini masa terbaik untuk dia mendengar pengakuan dari Yana sendiri. Semalam, Mak Ngah menawar diri untuk memasak mee goreng basah untuk santapan mereka pada pagi ini. Jadi, pasti Yana akan punya banyak masa terluang.
Acik masih sabar menanti. Akhirnya, pintu dapur rumah yang didiami Yana terbuka. Senyuman lebar terus terukir di bibirnya. Laju langkah diatur mendekati Yana.
Acik seperti biasa, akan membantu Yana membawa dulang yang berisi air panas dan tiga biji cawan lalu dibawa ke pangkin.
"Mak Ngah tak siap lagi ke?" Yana seperti biasa akan terus mahu bergerak ke rumah Mak Ngah.
"Yana... " Acik cuba menahan.
Kalau dibiarkan Yana ke rumah Mak Ngah, sia-sia sahajalah usahanya menunggu Yana sedari tadi.
"Kan Mak Ngah dah cakap, Mak Ngah nak masak pagi ni. Bagilah can, nanti Mak Ngah kecil hati pula."
Yana merasa serba salah.
"Meh la sini, acik nak borak dengan Yana sikit." Acik menepuk pangkin di ruang kosong sebelahnya.
"Acik nak borak apa?" soal Yana sambil tertawa kecil. Namun, langkah diatur juga menuju ke pangkin.
"Adalah... duduk dulu." Yana terasa pelik. Tak pernah pula acik bersikap begini.
"Ha, dah duduk ni. Cakaplah." Yana tertawa lagi. Sebenarnya, lebih kepada pelik dengan sikap acik pagi ni.
"Ermmm, Yana..." Acik garu kepalanya, dia teragak-agak.
"Cakaplah... acik ni kenapa?" soal Yana lagi. Berkerut dahinya.
"Betul ke, Mak Ngah cakap yang Yana..." Yana menanti. Namun acik tidak meneruskan.
"Apa dia, acik?" Yana menanti lagi. Acik pula kelihatan semakin gelisah.
"Mak Ngah kata, Yana pregnant..." Laju Yana menoleh memandang acik.
Acik pula terus menjadi serba salah. Adakah Yana terasa dengan soalannya?
"Kalau ya, kenapa acik?" soal Yana bersahaja.
Acik senyap. Yana seolah mahu mengelak daripada menjawab. Kalau begitu, dia tidak mahu memaksa.
"Tak ada apalah Yana, acik tanya je." Tiba-tiba ketawa kecil Yana meletus.
"Kenapa acik serius sangat ni?" Acik pantas mengangkat muka memandang Yana. Mahu melihat reaksi Yana. Sumpah, dia keliru.
"Ye acik. Betullah apa yang acik dengar tu." Acik tergamam!
Jadi, benarlah Yana mengandung?
Tapi, baru dia mahu membuka mulut, kelihatan Mak Ngah sedang terkocoh-kocoh keluar dari dapur.
"Eh, Mak Ngah dah siap tu..." Seperti biasa, acik akan segera mendapatkan Mak Ngah. Bekas berisi mee goreng basah bertukar tangan.
Mak Ngah bersaing dengan acik menuju ke pangkin.
"Adoi, macam ni la bila umur dah banyak. Baru masak sikit, dah tak cukup nafas." Yana tertawa.
Bekas berisi mee goreng basah itu Yana sambut dan mula mencedok untuk mereka semua.
"Tulah, Yana kata biar Yana yang buat. Mak Ngah tak nak dengar." Mak Ngah masih tercungap mencari nafas.
"Mana boleh macam tu, Yana. Sejak Yana ada sini... Mak Ngah ni dah manja sangat. Setiap hari Yana buatkan sarapan. Sekarang tak pe la juga, nanti bila dah sarat? Mak Ngah kena juga buat, kan?" Yana tertawa sahaja. Malas mahu melawan kata Mak Ngah.
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...