Fahri
SEJAK menjadi suami, aku sudah jarang berkunjung ke rumah sahabat susah senangku, Wan. Hari ini, aku kembali menjejakkan semula kaki ke rumah di mana punca aku dan Arianna bersatu.
"Ceritalah." Aku naik muka memandang Wan. Tidak faham.
"Apa?" tanyaku pelik.
"Ala, aku tahu kau cari aku sebab kau tak tenang, kan?" Aku pandang muka Wan. Terharu...
"Entahlah Wan. Susah aku nak cakap." Keluhan aku lepaskan.
"Belum setengah tahun Arianna pergi, kau dah lemah semangat macam ni." Aku gelengkan kepala. Bukan masa yang menjadi alasan aku merasa resah kini. Bukan!
"Aku cuma nak tahu, apa perasaan dia, Wan. Kenapa dia sanggup pergi untuk setahun? Sebab dia juga cintakan aku atau kerana status isteri yang dia pegang?" Wan mendekati aku. Air yang berada di atas meja sedari tadi dia hulurkan padaku.
"Maksud kau?" soal Wan sambil mengambil tempat di sebelahku.
"Kadang-kadang aku yakin sangat, Arianna cintakan aku juga. Tapi, ada masa aku rasa semua macam fantasi aku, je." Aku lepas keluhan. Mengingatkan semua ni, membuatkan keresahan dalam hatiku semakin merebak.
"Arianna, tak pernah luahkan perasaan dia. Cinta ataupun tidak. Aku, sumpah keliru. Satu je, Wan..." Wan memberi perhatiannya kepadaku.
"Aku tak nak dia pergi sebab dia rasa dia perlu pergi. Sebab dia dah jadi isteri aku." Wan tepuk perlahan bahuku.
"Fahri, kalau bukan kerana cinta, sebab apa lagi dia sanggup terima syarat ayah dia?" Aku geleng kepala lemah.
"Kau jangan terlalu banyak fikir, Fahri. Kesian Arianna, dia jauh daripada semua orang. Kita tak tahu pun apa keadaan dia kat sana. Kau pula, nak fikir yang bukan-bukan kat sini."
Aku diam. Ya, aku kasihan pada Arianna. Kerana aku, dia terpaksa pergi.
"Sebab tu, aku nak tahu. Andaikata, hati dia bukan untuk aku, aku tak nak dia terus menyeksa diri." Laju Wan kalih pandangan ke arahku.
"Kau cakap apa ni?" soal Wan.
"Kalau betul, hati Arianna bukan untuk aku... aku akan lepaskan dia." Jatuh bahuku saat kata keramat itu terlafaz keluar.
Sebak di dada, aku tahan semampu mungkin. Tersayat rasanya, andai sahaja semua ini benar, aku tidak pasti... kekuatan mana yang mampu aku pegang untuk terus bernyawa lagi.
"Sudahlah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Semua yang terjadi, pasti bersebab. Kalau sampai sekarang, Arianna masih tak luahkan apa yang dia rasa, mungkin dia ada sebab sendiri."
Aku faham maksud Wan itu. Tapi, gelodak rasa dalam dada ini, sedikit pun tidak mahu mengalah. Tidak pernah reda.
"Ingat Fahri, saat kau juga terlalu sayangkan dia dulu. Tapi, kau memilih untuk bersembunyi dan meluah rasa dalam diam. Kau boleh pilih untuk berdepan, tapi kau pilih sebaliknya. Sebab apa?" Aku diam.
"Sebab kau terlalu sayangkan dia dan tak mahu kehilangan dia. Malah, kau sanggup lagi hadap jika dia tak punya apa-apa perasaan pada kau, daripada wujudnya rasa, namun hanya rasa benci, kan?" Aku diam lagi.
"Semua yang kau buat dulu, bersebab. Jadi, mungkin Arianna sedang alami keadaan yang sama. Ada sebab, dia terhalang untuk meluahkan rasa. Ada sebab, Fahri." Keluhan aku lepaskan lagi. Berat!
"Kau kena percaya. Percayakan rasa hati kau dan percayakan dia yang entah ada kat mana. Sia-sia dia berkorban, kalau semangat kau selemah ini."
Berkorban? Jika benar Arianna sedang berkorban kini, aku tidak patut merasa semua ini. Benar kata Wan, sia-sia untuk dia. Arghhh!
YOU ARE READING
Bukan Kerana Aku Tak Cinta
RomanceCover by :: @HeyL_AryaN Pencapaian :: >Perfect Storyline_ White Arlyz Award >Classic Romance Winner (Alleged Happines) _ Best Book Award (BBA) >Romance Winner _ Helios Award Arianna keliru dengan keputusan yang perlu diambil. Perlukah dia menerusk...